Pertahan kedaulatan undang-undang

Pertahan kedaulatan undang-undang

SEBAGAI negara berdaulat, Malaysia perlu mendefinisikan naratif sejarah undang-undangnya berdasarkan acuan sendiri, bukan semata-mata mengikut tafsiran kolonial atau luar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJARAH bukan sekadar rakaman masa lalu, ia adalah cermin masa kini dan kompas masa hadapan. Begitu juga sejarah undang-undang, ia bukan hanya koleksi teks atau peraturan silam, tetapi warisan hidup yang membentuk watak, identiti dan arah tuju negara. Dalam konteks Malaysia, sejarah undang-undang menjadi akar kedaulatan, panduan pentadbiran adil, wadah reformasi, serta jambatan antara tradisi dan modeniti demi kelangsungan maruah dan jati diri negara bangsa. Melalui penghayatan sejarah undang-undang, kita berupaya mencungkil dan mengupas pelajaran berharga untuk pembangunan undang-undang dan negara, demi kegemilangan masa depan.

Sistem perundangan Malaysia hari ini berkembang daripada perjalanan sejarah yang panjang, bermula dengan hukum adat, budaya dan hukum Islam di zaman kesultanan, diwarnai oleh penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris, sebelum membentuk sistem perundangan hibrid pasca-kemerdekaan yang kita amalkan kini. Kefahaman terhadap akar sejarah ini penting, bukan sahaja bagi ahli akademik atau pengamal undang-undang, tetapi juga seluruh rakyat yang berada di bawah lindungan prinsip kedaulatan undang-undang.

Sejarah undang-undang turut memainkan peranan penting dalam mempertahankan hak Malaysia di peringkat antarabangsa. Dalam kes Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), tuntutan Sabah oleh Filipina, pertikaian persempadanan maritim di Laut Sulu dan Celebes, isu tanah KTM di Tanjong Pagar, kawalan ruang udara Johor, serta pertikaian kedaulatan Sipadan dan Ligitan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), bukti sejarah undang-undang seperti perjanjian kolonial, surat rasmi dan amalan pentadbiran digunakan sebagai instrumen perundangan yang ampuh. Ini membuktikan sejarah undang-undang bukan sekadar memori, tetapi senjata diplomasi dan kedaulatan.

Walau bagaimanapun, terdapat ruang besar dalam sejarah undang-undang Malaysia yang masih kurang diteroka. Kajian mengenai undang-undang maritim, persempadanan wilayah di Selat Melaka, sempadan Malaysia–Indonesia yang melibatkan warisan Kesultanan Melayu, sempadan Malaysia–Thailand di Teluk Siam yang kaya dengan sumber dan pertindihan tuntutan di Laut China Selatan yang melibatkan China, Filipina, Vietnam, Brunei dan Taiwan, memerlukan perhatian akademik yang mendalam. Begitu juga kajian berkaitan struktur asas Perlembagaan, interaksi undang-undang transaksi Islam dengan undang-undang berasaskan Common Law, berserta undang-undang adat perbankan antarabangsa, evolusi undang-undang tanah dari sistem adat ke sistem Torrens dan isu dasar serta undang-undang perumahan berkaitan projek terbengkalai yang menguji keseimbangan tercetus akibat cabaran dinamik antara kebajikan rakyat dan kepentingan pelabur. Semua ini adalah khazanah ilmiah yang perlu diperkukuh demi identiti dan kelestarian negara bangsa.

Kajian mendalam terhadap sejarah undang-undang bukan sekadar keperluan akademik, tetapi benteng kedaulatan negara. Jika kita tidak menggali, mengkaji dan mengolah warisan ini mengikut acuan kita sendiri, maka tafsiran pihak luar akan terus mendominasi naratif sejarah undang-undang Malaysia.

Setiap dokumen lama, setiap perjanjian dan setiap undang-undang silam adalah khazanah bernilai yang menunggu untuk dibuka demi memperkukuh jati diri dan maruah negara.

Cabaran utama dalam mengembangkan sejarah undang-undang ialah kurangnya integrasi interdisiplin dan ketiadaan rekod rasmi yang komprehensif. Ramai sarjana undang-undang tidak menelusuri sejarah secara mendalam, sementara minat generasi muda terhadap bidang ini semakin pudar.

Dokumen perjanjian lama dan rekod perundangan pula banyak tersimpan di arkib luar negara, belum didigitalkan dan sukar diakses. Keadaan ini menuntut strategi pembaharuan yang terancang.
Langkah pertama yang disyorkan ialah penubuhan Institut Sejarah Undang-undang Malaysia (ISUM) sebagai pusat penyelidikan, dokumentasi dan kerjasama dengan agensi dalam dan luar negara. ISUM berpotensi menjadi pusat rujukan serantau yang bebas, beridentiti dan tidak terikat sepenuhnya dengan tafsiran kolonial atau sumber Barat. Infrastruktur, logistik, dan dana yang mencukupi mesti diperuntukkan bagi memastikan matlamat ini tercapai.

Langkah kedua ialah pengenalan modul “Undang-undang dan Sejarah” di semua fakulti undang-undang, bukan sebagai kursus elektif tetapi sebagai kursus teras. Penekanan kepada sejarah undang-undang akan melahirkan graduan yang memahami akar sistem perundangan negara serta mampu mengimbangi prinsip tempatan dengan piawaian dan tuntutan global.

Langkah ketiga ialah galakan kepada para penyelidik untuk menghasilkan tesis sarjana, kedoktoran, monograf, penulisan jurnal, prosiding, buku dan dokumentari sejarah undang-undang Malaysia dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Usaha ini perlu disokong dengan pembangunan rekod digital, pangkalan data, dan analisis data raya yang menyeluruh. Pendekatan ini akan memperkukuh kemampuan analitik, pemikiran kritis, kesedaran awam dan pemahaman moral dalam kalangan pelajar serta masyarakat.

Selain itu, seminar, bengkel, forum, dan kerjasama dengan pusat kajian sejarah undang-undang antarabangsa perlu digiatkan.

Namun, wacana akademik sahaja tidak mencukupi. Naratif sejarah undang-undang juga perlu dibawa ke ruang awam melalui dokumentari televisyen, siri rencana media, buku sejarah undang-undang untuk sekolah dan bahan bacaan popular. Pendedahan yang meluas akan menyemai rasa hormat terhadap institusi perundangan serta membina budaya kedaulatan undang-undang yang kukuh.

Sebagai negara berdaulat, Malaysia perlu mendefinisikan naratif sejarah undang-undangnya berdasarkan acuan sendiri, bukan semata-mata mengikut tafsiran kolonial atau luar. Sejarah undang-undang wajar dilihat sebagai asas moral dan intelektual dalam pembinaan negara bangsa. Kegagalan memahami dan menghayati akar perundangan kita akan melemahkan makna kemerdekaan serta menghalang usaha memanfaatkan pelajaran berharga daripada sejarah sebagai alat mempertahankan maruah, kedaulatan negara dan kepentingan rakyat.

Justeru, sejarah undang-undang harus diangkat sebagai agenda nasional bukan sekadar nostalgia, tetapi visi untuk masa hadapan yang berakar jati diri, beridentiti kukuh dan bermaruah. Pelajaran dan inti penting hasil daripada penghayatan sejarah undang-undang akan memperkukuh undang-undang dan dasar sedia ada bagi kesejahteraan rakyat, melindungi kedaulatan negara serta membawa Malaysia ke arah kemajuan gemilang tanpa mengorbankan kebajikan rakyat dan nilai identiti negara bangsa.

Sejarah undang-undang bukan sekadar kisah lama yang tersimpan di arkib, tetapi nadi perjuangan negara bangsa. Inilah medan yang menentukan sama ada kita berdiri sebagai bangsa merdeka yang tegas mempertahankan kedaulatan atau sekadar pewaris bisu kepada sejarah. Dengan penghayatan dan pemerkasaan sejarah undang-undang, Malaysia akan terus teguh di pentas dunia, bermaruah, berdaulat dan makmur untuk generasi kini dan akan datang. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Nuarrual Hilal Md. Dahlan ialah pensyarah di Pusat Pengajian Undang-Undang Universiti Utara Malaysia (UUM) dan exco Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN