‘HUJAN emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri.
Peribahasa Melayu ini bukan sekadar rangkai kata yang indah, tetapi membawa pengajaran mendalam tentang makna cinta akan tanah air.
Benar, negara luar tampak gah dengan ekonomi yang kukuh, teknologi serba canggih dan masyarakat yang progresif. Dari kejauhan, kelihatan seolah-olah kehidupan mereka disirami hujan emas, serba sempurna tanpa cela.
Namun tanah air kita juga mempunyai kisah tersendiri. Kita sering diuji dengan liku-liku, ketidaktentuan ekonomi, perbezaan budaya, malah kadang kala ketegangan politik. Ada masanya terasa seakan hidup di bawah hujan batu.
Walaupun begitu, di sinilah bumi tempat kita berpijak. Inilah tanah yang melahirkan jati diri kita sebagai bangsa Malaysia. Sama ada Melayu, Cina, India, Orang Asli mahupun masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak, semuanya berpaut pada akar yang sama. Tanpa tanah ini, kita ibarat pohon tanpa akar: rapuh, mudah goyah ditiup badai dunia.
Betapapun indah negeri orang, tanah air sendiri tetap tiada tandingan. Di sinilah lahir bahasa, budaya, kenangan dan warisan yang membentuk siapa kita.
Peribahasa ini mengingatkan kita agar tidak memandang ringan nilai tanah air sendiri hanya kerana terpukau dengan kilauan emas di negeri orang. Kekayaan tidak menjamin rasa kepunyaan dan kemewahan tidak menjanjikan kasih sayang. Di tanah sendirilah kita bebas menjadi diri sendiri dan mewarisi khazanah nenek moyang.
MENGIMBAS DETIK KEMERDEKAAN
Setiap kali Ogos menjelma, suasana tanah air berubah. Jalur Gemilang berkibar megah di serata tempat, menandakan keraian kelahiran negara bangsa pada 31 Ogos 1957. Di sebalik kemeriahan, wajar kita merenung semula perjalanan getir negara dalam menuntut kemerdekaan.
Kemerdekaan bukan datang bergolek. Ia lahir daripada darah, keringat dan air mata para pejuang bangsa. Dari zaman Portugis, Belanda, British, Jepun dan kembali semula ke tangan British selepas Perang Dunia Kedua, rakyat tidak pernah berhenti mendambakan kebebasan.
Pengenalan Malayan Union pada 1946 menjadi detik kebangkitan. Orang Melayu menentangnya kerana ia mengikis kuasa raja-raja Melayu dan melonggarkan syarat kewarganegaraan kepada orang asing. Penentangan ini melahirkan UMNO sebagai wadah perjuangan. Akhirnya Malayan Union dibatalkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948.
Pada era 1950-an, kerjasama antara UMNO, MCA dan MIC di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambanthan membuka jalan ke arah rundingan kemerdekaan.
Kemenangan besar Parti Perikatan dalam pilihan raya 1955 menjadi bukti rakyat tempatan sudah bersedia mentadbir tanah air sendiri. Rundingan demi rundingan akhirnya membawa kepada Perjanjian London pada 8 Februari 1956 dan pengisytiharan keramat 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka. Laungan “Merdeka!” sebanyak tujuh kali oleh Tunku Abdul Rahman kekal segar dalam memori bangsa.
Pengorbanan mereka bukan kecil. Perdana Menteri Pertama itu sanggup menjual rumah peribadi untuk membiayai rombongan ke London. Cheng Lock berjuang mewakili suara masyarakat Cina, manakala Sambanthan memastikan kaum India turut serta menyatakan kesetiaan kepada Tanah Melayu.
PATRIOTISME YANG HIDUP
Sempena ulang tahun kemerdekaan ke-68 ini, kita harus faham patriotisme bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang atau menyanyi lagu kebangsaan.
Patriotisme mesti dizahirkan dengan menghormati undang-undang, menjaga keamanan dan menghargai kepelbagaian kaum. Kita harus menolak provokasi perkauman dan fahaman ekstrem.
Jangan biarkan segelintir pihak memecah-belahkan kita. Bahasa Melayu wajar dijulang sebagai bahasa kebangsaan dan dalam masa yang sama kita menguasai bahasa lain demi menghadapi dunia global.
Sumbangan kecil melalui pendidikan, teknologi, ekonomi atau kerja sukarela adalah tanda cinta kita kepada tanah air. Inilah semangat yang perlu dihayati oleh generasi hari ini iaitu kemerdekaan bukan hanya sambutan simbolik tetapi amanah untuk kita teruskan.
Tahun ini, tema Hari Kebangsaan 2025 ialah ‘Rakyat Disantuni’, selaras gagasan Malaysia Madani yang ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Konsep Malaysia Madani mengangkat rakyat sebagai tunjang negara. Kesejahteraan tidak lagi diukur dengan bangunan pencakar langit tetapi dengan kualiti hidup rakyat yang sejahtera, adil dan berdaya maju.
Sejak penubuhan Kerajaan Madani, pelbagai langkah proaktif telah diambil antaranya meningkatkan pendapatan isi rumah B40 dan M40, menstabilkan harga barang, bantuan tunai dan subsidi bersasar, rumah mesra rakyat, pendidikan percuma berkualiti, menaik taraf sekolah daif, memperkukuh Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta pembelajaran digital. Inisiatif ini adalah bukti rakyat benar-benar disantuni.
Sokongan padu sebagai warganegara terhadap usaha ini juga adalah tanda patriotisme moden. Dengan cara inilah kestabilan dan kemajuan negara dapat dijaga bersama.
Bulan Ogos bukan sekadar bulan sambutan. Ia medan refleksi. Kemerdekaan yang dicapai lebih enam dekad lalu adalah amanah. Tugas kita ialah memeliharanya dengan semangat patriotik sepanjang masa.
Marilah kita hayati tema ‘Rakyat Disantuni bukan sekadar slogan tetapi diterjemahkan dalam sikap saling menghormati, bekerjasama dan menyokong pembangunan negara.
Malaysia yang harmoni dan sejahtera adalah hadiah terbesar buat generasi yang benar-benar mencintai tanah air.
DR. M. Jayakumary ialah pensyarah di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kampus Ipoh, Perak.










