PEMANDANGAN biasa di Kuala Lumpur – sebuah apartment kecil di tepi rel laluan transit aliran ringan (LRT) di pinggir kota dihuni satu keluarga – suami, isteri, dua anak kecil dan seorang bayi sewanya RM 2,000 sebulan. Nasib baiklah RM2,000, kalau di pusat bandar, makin kecil saiz rumah makin mahal sewanya sehingga lebih RM4,000 sebulan!
Kalau penghuninya orang bujang, boleh berhimpit-himpit lebih dua orang dalam satu bilik. Satu bilik harga sewaan dari RM600-RM1,300 sebulan. Jika ramai, setiap seorang bayar murah sedikit. Hal privasi, mahu selesa bukan keutamaan hidup di kota, yang penting siapa boleh ‘bertahan’ dalam menongkah kos sara hidup tinggi di ibu negara ini.
Itu belum termasuk deposit, bil elektrik, dan duit minyak kenderaan. Di ceruk-ceruk flat kos rendah pun, harga sewa mencecah RM1,200 hingga RM1,800, bergantung pada lokasi.
Ini hanyalah petala pertama kepada ‘siksaan hidup urban’. Kita belum lagi masuk kedai makan, harga nasi kosong RM2 hingga RM3 sepinggan! dengan teh ais RM3.30! Mahu makan seketul ayam goreng harganya RM4 hingga RM6. Harga petrol kalau naik satu sen pun di negara ini, peniaga akan naikkan harga makanan sehingga RM1!
Kalau sektor awam diumum naik gaji pun begitu. Harga barangan asas dan makanan turut ‘berpesta naik harga’ secara pukul rata semua – macam satu Malaysia ini semuanya kakitangan kerajaan.
Ramai warga kota yang bekerja keras melakukan lebih daripada satu kerja – bukan sebab mahu menyimpan duit apatah lagi berangan mahu cepat kaya, tetapi sebab sekadar mahu memenuhi keperluan asas – tidak mahu berlapar, salah satu sebabnya.
Siapa kata tidak bersyukur, merungut dan manja? Tetapi ‘agak-agak’ lah, belajar tinggi-tinggi masuk universiti, jadi kebanggaan ibu bapa, dapat gaji RM1,700 atau mungkin lebih sikit daripada yang kelulusan tahap Sijil Pelajaran Malaysia. Sama sahaja nasibnya untuk graduan dan bukan graduan. Bezanya cuma hutang PTPTN yang membelit leher graduan saban bulan. Akhirnya, emak ayah juga yang jadi ‘tukang bayar’, sampai mereka pencen.
Kalau dulu, orang tua kita selalu berkata, belajar rajin-rajin, nanti sudah besar, dapat gaji besar. Pendidikan akan mengubah nasib, daripada miskin menjadi senang. Betul, tetapi ia telah dinafikan oleh sistem upah yang gagal?
Graduan universiti ramai masih menerima gaji di bawah purata. Dilaporkan sebanyak 40 peratus pemegang ijazah universiti dan 75 peratus diploma terpaksa terima gaji bawah RM2,000 sebulan.
Justeru dua atau tiga kerja untuk survival kehidupan di KL bukan lagi perkara luar biasa. Ia satu kemestian untuk kelangsungan hidup jika bergaji rendah.
“ Kalau tak cukup duit, buat dua kerja.” Ingat lagikah kata-kata seorang pemimpin ini? Masih melekat di ingatan, kata-kata Datuk Ahmad Maslan pada 2015.
“Saya sendiri ada tiga kerja: anggota Parlimen, Timbalan Menteri, Ketua Penerangan UMNO. Ramai dah di Malaysia yang buat dua kerja,” kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu.
Dan saranan itu, disambut rakyat dengan amarah. Twitter dan Facebook meletup-letup dengan kecaman. Rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup ketika itu sebenarnya sudah letih dengan nasihat yang kedengarannya bagaikan satu ejekan dan memperlekeh. Disuruh berjimat atau menabung dengan gaji kecil?
Sekarang, sudah 10 tahun berlalu. Hakikatnya, rakyat bukan sahaja buat dua kerja. Malah ada yang buat tiga kerja!
Di lorong-lorong jalan di KL, kelibat pekerja-pekerja pagi hingga petang, kemudian mereka menjadi penghantar makanan di sebelah malam atau menghantar penumpang, bukanlah pemandangan asing.
Siang hari, menyusun fail di pejabat — kerja tetapnya bergaji RM1,800 sebulan. Tapi bila matahari terbenam, hidupnya berubah wajah. Menjadi ‘rider’ dari pukul 6 petang hingga ke tengah malam. Hujung minggu pula, menjual kek homemade secara online atau menjual barang-barang di platform jualan online sehingga subuh, sambung kerja hakiki pada waktu siang dan sambung semula menjual barang online di waktu malam.
Di negara jiran Singapura, tiada gaji minimum ditetapkan tetapi gaji graduan awam biasa antara S$4,000–6,000 (RM13–19k), pekerja biasa RM3–4k SGD (RM10‑14k). Di Jakarta, gaji minimum sekitar IDR 5 juta (RM1,500), Bangkok: THB 7,895 (RM1,030) manakala Manila: PHP 13,115 (RM1,110)
Ya, gaji minimum Malaysia paling tinggi di ASEAN dari segi angka mutlak. Tapi bandingkan dengan sewa rumah, harga makanan, kos pengangkutan di negara ini, ia tidak sepadan. Kalau diukur dengan keperluan hidup sebenar, gaji itu begitu mustahil untuk hidup selesa.
Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke‑13 (RMK13) pada 31 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan meneruskan pelbagai inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Payung Rahmah, Jualan Rahmah dan perprograman bagi mengawal harga makanan dan utiliti akan diperkukuh.
Objektif utamanya adalah untuk meringankan beban rakyat berpendapatan rendah melalui bantuan tunai langsung dan kawalan harga sepanjang rantaian bekalan.
Adakah ini mencukupi? Bolehkah ia menyelesaikan harga seketul ayam goreng RM6. Hanya masa dan tindakan seterusnya akan membuktikannya.
Secara logiknya, bantuan wang secara tunai langsung, tentu tidak dapat menyelesaikan isu gaji tidak setimpal dengan kelulusan akademik dalam jangka masa panjang.
Sampai bila rakyat tidak kira berpendidikan rendah atau tinggi kena melakukan banyak kerja dan menjadi penduduk yang paling lama bekerja dalam sehari, sebulan, setahun dalam dunia ini?
Dulu, orang kampung datang ke Kuala Lumpur dengan satu janji dan cita-cita: jika rajin, pasti hidup selesa. Tapi hari ini, rajin saja tidak cukup. Belajar tinggi pun belum tentu cukup. Apatah lagi cukup untuk membayar hutang.
Jadi, adakah rakyat kita malas atau suka merungut di media sosial? Apabila sampai perlu mengikat seterik-teriknya tenaga dalam tiga pekerjaan, semata-mata untuk menikmati hidup yang paling asas, inikah katanya memperjuangkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat yang sering dilaungkan oleh politikus?
FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan, Mingguan Malaysia