DALAM dunia yang kian mabuk dengan slogan pendigitalan dan kemudahan teknologi, muncul pula satu aplikasi bernama I-Mesra, kononnya pemudah cara kepada peniaga, mesra pengguna dan simbol ketelusan status halal inventori bahan mentah.
Sayangnya, kemesraan yang diuar-uarkan itu ternyata tidak mesra kepada ekosistem pensijilan halal Malaysia yang sudah terbina sekian lama dengan disiplin perundangan, standard piawaian antarabangsa dan sistem pengawasan patuh syariah yang ketat.
Di sebalik paparan kod pengimbas QR yang tampak canggih dan senarai pembekal yang kelihatan lengkap dalam I-Mesra, tersembunyi satu realiti masa depan yang mengerikan, iaitu keengganan, kedegilan dan ketidakjujuran sesetengah peniaga untuk mematuhi Sistem Pensijilan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.
Mereka sebaliknya cenderung untuk memilih jalan mudah. Daftar sahaja dalam sistem, muat naik resit bahan mentah dan terus berlagak seolah-olah restoran mereka sudah ‘halal’.
Mana sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)? Entah. Mana audit fizikal? Tidak tahu. Mana latihan pekerja? Seribu satu persoalan dan syak wasangka yang tidak akan pernah selesai.
KENAPA DEGIL MOHON SIJIL HALAL JAKIM?
Pertama, kerana prosedur pensijilan halal menuntut komitmen dan kesungguhan.
Ia bukan sekadar borang dan yuran, tetapi satu komitmen menyeluruh terhadap piawaian kebersihan bahan mentah, kebersihan premis, pemilihan bahan mentah, pemisahan peralatan, prosedur operasi standard (SOP) penyediaan, dokumentasi aktiviti kerja harian, latihan pekerja dan pemantauan berkala oleh auditor terlatih.
Pengusaha perniagaan yang pemalas, tidak jujur, tidak ikhlas dan tamak, melihat proses ini sebagai beban.
Maka, mereka berpaling kepada aplikasi tampak senang dan memudahkan seperti i-Mesra, yang tidak memerlukan audit fizikal, hanya input digital.
Kedua, kerana sikap ‘kami lebih tahu, lebih baik dan lebih yakin’. Ada yang merasakan cukup sekadar membeli bahan daripada pembekal bersijil halal, maka restoran mereka turut ‘dapat tempias barakah halal’.
Sedangkan halal bukan hanya tentang bahan mentah. Ia menyentuh kaedah penyimpanan bahan mentah, cara memasak yang tidak berisiko, peralatan dapur bersih, kawalan pencemaran silang dan latihan pekerja.
Halal bukan hanya pada niat, tetapi pada kesungguhan mengikut sistem jaminan halal yang disahkan.
Ketiga, ada yang melihat sijil halal sebagai lambang birokrasi, bukan amanah agama.
Mereka mula mempromosikan konsep no pork, no lard, Muslim friendly, istilah-istilah populis yang mengaburi persepsi pengguna Muslim, sedangkan sebenarnya ia menggambarkan keingkaran mereka terhadap standard halal kebangsaan.
Mereka tidak mahu tunduk pada kawal selia, tetapi ingin tetap menggunakan istilah yang mesra dengan pengguna Muslim untuk tujuan pemasaran.
I-MESRA KELIRUKAN PENGGUNA
Lebih membimbangkan ketika i-Mesra mula dilaksanakan, pengguna menjadi lebih keliru. Bila ada kod pengimbas QR, mereka menyangka itu adalah jaminan halal.
Sedangkan, seperti ditegaskan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 21 Julai lalu, hanya SPHM yang dikeluarkan oleh Jakim atau jabatan agama Islam negeri sahaja yang diiktiraf sebagai bukti halal sah. Perakuan melalui aplikasi seperti i-Mesra adalah tidak sah, tidak diiktiraf dan mengelirukan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah menegaskan menolak aplikasi itu malah penggunaan i-Mesra boleh dikenakan tindakan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, jika didapati menyalahgunakan istilah halal atau mencetuskan kekeliruan terhadap takrifan halal yang sebenar.
Maka, tidak timbul soal ‘niat baik’ jika hasilnya adalah kekeliruan dan penipuan kepada masyarakat.
Kita sedang menyaksikan sebuah paradoks. Di satu pihak, kerajaan melaungkan hasrat menjadi hab halal global.
Di pihak lain, kita benarkan aplikasi sukarela seperti i-Mesra dijadikan jalan pintas oleh peniaga untuk mengelak pematuhan sebenar.
Ini bukan sekadar soal prosedur. Ia adalah pengkhianatan terhadap prinsip syariah, terhadap kepercayaan pengguna dan terhadap maruah negara di pentas antarabangsa.
Kita juga tidak boleh menutup mata terhadap naratif licik yang dibawa oleh pihak tertentu kononnya pensijilan halal itu hanya untuk industri besar multinasional, mahal, lambat dan menyusahkan.
Namun, apabila disiasat, yang mereka mahu adalah berniaga tanpa beban tanggungjawab, tanpa audit, tanpa komitmen. Sedangkan ramai pengusaha kecil yang benar-benar patuh sanggup lalui seluruh proses pensijilan dengan ikhlas.
Lebih tragis, penggunaan sistem seperti i-Mesra bukan sahaja akan menipu pengguna Islam, bahkan mencalar nama baik pensijilan halal Malaysia di mata dunia.
Negara luar yang melihat kita sendiri tidak menghormati SPHM pasti akan meragui eksport negara ini.
Jika keyakinan antarabangsa merosot, siapa yang rugi? Bukan Jakim mahupun kerajaan semata-mata tetapi seluruh industri halal negara daripada petani kecil sehinggalah syarikat eksport gergasi.
JANGAN TUNGGANG ‘HALAL’
Maka, sudah tiba masanya kita berani bersuara. Cukuplah menunggang pendigitalan untuk lari daripada tanggungjawab.
Cukuplah mempermainkan istilah ‘mesra’ demi kepentingan perniagaan. Jika benar-benar ikhlas mahu berniaga secara halal, mohonlah sijil SPHM daripada Jakim.
Lalui proses audit, latih pekerja, pastikan SOP manual kerja terjaga. Jangan menipu dengan slogan. Jangan sembunyi di sebalik aplikasi.
Halal itu amanah. Ia bukan sekadar logo atau kod pengimbas QR. Ia adalah ikrar, tanggungjawab dan maruah.
Biarlah i-Mesra menjadi alat bantu, bukan pengganti. Biarlah peniaga patuh syariah secara menyeluruh, bukan separuh jalan. Kerana dalam ekosistem ekonomi halal sebenar, kemesraan digital tidak boleh menggantikan kejujuran syariah. – UTUSAN
DR. Muhammad Irhammudin Ibrahim ialah Pensyarah Industri Halal, Institut Penyelidikan dan Latihan Halal Antarabangsa (INHART), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










