TAHUKAH anda permainan video paling laris sepanjang zaman, Minecraft, kini boleh dimainkan sepenuhnya dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi sejak 2022?
Menariknya, ketika sebahagian daripada kita di Malaysia masih mempersoalkan relevansi tulisan Jawi dalam kehidupan moden tetapi permainan video berskala global ini pula sebaliknya mengiktiraf dan menyokong penggunaannya. Maka timbul persoalan bagaimana sebuah permainan antarabangsa boleh melihat nilai dan kelebihan Jawi, sedangkan kita sendiri kadangkala meminggirkannya?
Hari ini ramai yang mengatakan sukar untuk memperkasakan tulisan Jawi kerana ia sudah lama tidak digunakan secara meluas. Ada pula yang mengatakan Jawi sukar digunakan kerana sistem ejaannya yang berbeza berbanding tulisan Rumi.
Namun, jika kita benar-benar ingin memartabatkan bahasa kebangsaan, inilah antara perkara yang perlu dilakukan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Kepentingan tulisan Jawi sememangnya tidak dapat dipertikaikan. Jawi merupakan tulisan asal bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan. Bahasa dan sastera Melayu berkembang pesat pada zaman dahulu melalui tulisan Jawi. Ia bukan sekadar lambang identiti negara, tetapi juga akar yang menjadi tunjang pertumbuhan bahasa kita.
Namun sayangnya, akibat terlalu asyik mengejar kemodenan, kita semakin mengetepikan nilai-nilai tunjang asal bahasa. Yang adanya dianggap kolot dan mahu digantikan dengan sesuatu yang kononnya lebih mudah. Walhal, Jawi dan Rumi harus bergerak seiringan dalam segala usaha mengangkat nilai bahasa.
Malang sekali, disebabkan kurangnya permintaan untuk kandungan bertulisan Jawi hari ini, kita semakin kekurangan bahan-bahan yang diterbitkan di dalam tulisan ini. Hal ini juga menjadikan Jawi semakin jauh dari hati generasi muda.
Kini, akhbar Utusan Malaysia sahaja yang tetap terus menerbitkan kandungan Klinik Jawi setiap Jumaat. Itu pun berbeza berbanding dahulu apabila terdapat selitan berita penuh di dalam tulisan Jawi pada setiap Isnin. Walau bagaimanapun, usaha sebegini sangat besar ertinya dan harus disokong oleh kerajaan mahupun rakyat.
Memang benar, kini tulisan Rumi lebih diutamakan kerana umumnya lebih difahami. Namun bagi saya, andai memilih untuk mengabaikan tulisan Jawi hanya kerana dianggap sukar, maka kita sedang melepaskan akar tunjang bahasa dan warisan bangsa.
Ketika menghadiri Seminar Kebangsaan Penerbitan Majalah dan Media Baharu Berbahasa Melayu di Malaysia 2025 dua minggu lalu, saya membangkitkan hal ini semasa sesi soal jawab. Ada yang membalas memartabatkan Jawi adalah perjuangan peribadi yang harus dipupuk dalam diri masing-masing. Namun benarkah ini pendekatan terbaik yang wajar kita ambil?
Kita sering mengambil ringan dan mudah mengalah dalam hal menyentuh sistem tulisan Jawi. Sebagai contoh, apabila bentuk huruf hamzah tiga suku tidak disokong oleh sistem komputer, ia telah digugurkan daripada pedoman ejaan Jawi 2020.
Saat berbincang tentang semangat untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa, takkanlah masalah sekecil ini pun membuatkan kita berputus asa?
Mungkin nama Allahyarham Datuk Yusoff Zaky Yaacob agak asing bagi generasi saya. Yusoff Zaky dikenali kerana majalah Dian yang pernah beliau terbitkan dalam tulisan Jawi tetapi lebih penting lagi beliau adalah antara tokoh tulisan Jawi yang begitu besar jasanya.
Pada saat tulisan Jawi berada di hujung tanduk dan berhadapan cabaran pemodenan, beliau datang dengan langkah penyelesaian untuk menyemarakkan Jawi. Memahami akan lahirnya generasi baharu yang sukar memahami tulisan Jawi ketika itu, beliau merombak dengan memperbaiki sistem ejaan Jawi Za’ba, agar lebih mudah difahami.
Walaupun sistem ejaan Dian ini juga tidak sempurna, tetapi ia menjadi titik perubahan besar di dalam sejarah tulisan Jawi, sehingga ia kian disempurnakan pada 1983 semasa Konvensyen Tulisan Jawi.
Saya mengagumi usaha besar Yusoff Zaky dalam mengambil tanggungjawab menggerakkan sebuah penerbitan sehingga menjadi dian (pelita) yang menyuluhi masa hadapan bahasa kita. Malang sekali, dian itu semakin kelam setelah allahyarham meninggalkan kita.

KEMBALIKAN SEMANGAT YANG MATI
Hilangnya hamzah tiga suku ialah bukti semangat yang sudah mati. Sewajarnya, kita patut berusaha mengusulkan sehinggalah ia berjaya ditambah ke sistem komputer, bukannya mudah mengalah hanya kerana terdapat rintangan.
Jika mudah menyerah kalah sebegini, apa akan berlaku jika kita menghadapi cabaran lebih besar dalam pelaksanaan bahasa Melayu secara umumnya dalam teknologi pasca kini kelak? Adakah rela membiarkan bahasa kita ditalkinkan seperti terkuburnya hamzah tiga suku?
Hari ini, setiap kali kita membincangkan hal tulisan Jawi, ia umumnya dilihat dari sudut nostalgia semata-mata. Kita bercakap tentang kegemilangannya seolah-olah zamannya sudah pun berlalu. Jarang sekali kita menceritakan tentang masa hadapan kerelevanan penggunaannya dalam konteks semasa dan kelak. Kita bukan hanya ingin mengetahui bagaimana cara mengeja sesuatu dalam Jawi, tetapi sebaliknya bagaimana Jawi boleh terus diarusperdanakan.
Ya, tulisan Jawi masih boleh diarusperdanakan jika mahu. Yang menjadi halangannya sebenarnya ialah sikap kita, sama ada sanggup berusaha kuat bagi menghidupkan wawasan iltizam ini. Mahukah kita melakukannya? Tepuk dada, tanya selera.
Jawi tidak akan menjadi antara pilihan bahasa dalam Minecraft jika bukan kerana semangat kental, usaha yang kuat dan sikap tidak mudah menyerah kalah.
Sebenarnya, usul pertama saya kepada pembangun permainan Minecraft untuk menambah pilihan ini pada 2020 asalnya tidak menerima sambutan yang memberangsangkan.
Namun dengan kerjasama rakan-rakan, terutamanya Muhammad Nuruddin yang banyak membantu dari sudut transliterasi teks permainan, akhirnya usul saya seterusnya diterima.
Menarik lagi, ketika berjaya menjadikan Jawi sebagai salah satu pilihan bahasa rasmi Minecraft, usia kami tidak melebihi 20 tahun, dan empat daripada lima antara kami masih di sekolah. Ini membuktikan berbekalkan semangat dan daya usaha, banyak cabaran dan rintangan lain boleh dihadapi tanpa mengira usia dan pengalaman.
Jika sebuah permainan video moden dari Sweden boleh memartabatkan tulisan Jawi, apa lagilah yang boleh menghalang orang Malaysia daripada melakukan hal yang sama dengan bahasa sendirinya?-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










