Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) masih bermasalah

Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) masih bermasalah

Arveent Kathirtchelvan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Susulan kritikan Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengenai draf Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) bulan Mac lepas, kami mendapati bahawa masih tiada perkembangan dalam mengurangkan risiko akta ini terhadap orang ramai.
Persoalan utama dalam akta ini adalah: adakah pemilik asal dapat duduk semula di rumah asalnya ataupun dipaksa keluar? Seksyen 24 menyatakan bahawa Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan atau Jawatankuasa Eksekutif Negeri bertanggungjawab dalam memastikan orang berkepentingan ditawarkan untuk tinggal di dalam kawasan pembaharuan semula bandar melainkan jika orang yang berkepentingan itu memutuskan selainnya.
Akan tetapi, apakah kos yang perlu ditanggung jikalau hendak duduk semula di dalam kawasan sama? Adakah rumah yang ditawarkan ini percuma? Adakah apa-apa kos lain seperti kos penyelenggaraan yang terlalu membebankan rakyat? Sekarang pun ramai penghuni rumah pangsa kos rendah tidak mampu membayar kos penyelenggaraan. Adakah situasi sama akan timbul? Selain itu, adakah kepadatan yang sama dijamin untuk pembangunan semula atau adakah kepadatan akan ditingkatkan untuk menjana lebih banyak keuntungan? Adakah penghuni baharu ini juga orang susah ataupun orang kaya sahaja?
Jikalau tawaran faedah diambil kira pula, seksyen yang sama menyatakan bahawa ia perlu tidak kurang baiknya daripada tawaran faedah yang ditawarkan kepadanya sebelum projek pembaharuan semula bandar ini dijalankan. Walaupun nampaknya pampasan ini adil, tetapi nilai sebenar hartanah tersebut akan direalisasikan selepas pembaharuan semua. Rumah yang kelak dijual pada jumlah yang lebih besar ini menjana keuntungan untuk siapa? Sememangnya bukan rakyat asal!
Keuzuran rumah-rumah pangsa kos rendah ini adalah kegagalan kerajaan yang tidak mengendahkan mereka. Para penghuni rata-ratanya orang susah, mengapakah penyelenggaraan rumah-rumah pangsa kos rendah ini tidak diambil alih oleh majlis tempatan, sekali gus memastikan keadaannya kekal baik? Para pemilik pula terpaksa membeli rumah di lain tempat dan kehilangan nilai hartanah serta terpaksa keluar dari bandar. Oleh itu, hanya orang berpendapatan tinggi dapat memiliki rumah di kawasan bandar, manakala rakyat asal serta generasi mereka yang akan datang sudah disisihkan.
Tambahan pula, ramai penduduk di kawasan rumah pangsa kos rendah ini bukannya pemilik rumah tersebut, tetapi hanya mampu menyewa. Adakah ia adil bagi kerajaan menghalau mereka ini? Bagaimana dengan keadaan penghunian mereka? Nampaknya mereka pun terpaksa keluar, tidak mampu menyewa lagi akibat kenaikan nilai hartanah, dan terpaksa tinggal jauh dari kawasan bandar. Siapakah yang akan menanggung kos perjalanan mereka ke tempat kerja?
PSB jelas akan mendatangkan gentrifikasi kepada kawasan bandar. Cadangan PSM adalah supaya rumah mampu milik dan PPR dengan kadar sewa rendah dibina terlebih dahulu di kawasan berdekatan untuk memastikan para penyewa yang bakal keluar kerana projek pembaharuan semula mempunyai tempat tinggal yang terjamin.
Seksyen 17 seakan-akan memberi lebih banyak kuasa kepada pemaju untuk bermediasi dengan orang berkepentingan. Ini mungkin menyebabkan pemilik asal mendapat tawaran yang tidak adil. Malah, ini perlunya melalui sebuah Jawatankuasa Pengantaraan Pembaharuan Semula Bandar Persekutuan dan Negeri sepertimana dalam Seksyen 25. Akan tetapi, jawatankuasa ini perlu dipertingkatkan supaya ia lebih bersifat neutral.
Cadangan PSM adalah supaya komposisi jawatankuasa ini terdiri daripada individu yang berkecuali seperti seorang hakim bersara, seorang wakil Badan Peguam Malaysia, seorang ADUN kerajaan, seorang ADUN pembangkang dan wakil daripada dua buah NGO yang berkenaan untuk memastikan kepentingan pemilik terjaga.
Dengan sebab-sebab di atas, tujuan akta ini digubal masih kabur. Adakah ia memang untuk menolong orang susah atau menghalau mereka supaya hartanah mereka dapat diubah suai dan dijual dengan keuntungan yang besar?
Jikalau ia memang untuk menolong orang susah, berikut ialah syor-syor PSM untuk penambahbaikan yang diperlukan sebelum ia diluluskan:
1. Memastikan sebarang program pembaharuan semula tidak berpaksikan keuntungan.
2. Menubuhkan sebuah lembaga kerajaan, seperti Housing Development Board (HDB) di Singapura, yang akan menjadi pemilik hartanah ini, bukan syarikat pemaju swasta.
3. Memastikan tawaran kepada pemilik asal adalah lebih baik daripada rumah yang sedia ada dari segi saiz dan memberi keutamaan kepada pemilik asal untuk membeli balik rumahnya bukan dengan harga pasaran tetapi mengikut pendapatan pemilik tersebut atau secara percuma.
4. Memastikan caj penyelenggaraan tidak membebankan penduduk di kawasan yang telah dibangunkan semula.
5. Penyewa di kawasan pembaharuan semula perlu mendapat tawaran alternatif bagi penyewaan di kawasan lain.
6. Penyelenggaraan Rumah Pangsa Kos Rendah harus diambil alih oleh Majlis Tempatan sepertimana yang dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Harapan.
7. Jawatankuasa Mediasi Pembaharuan Semula Bandar perlulah bebas daripada kerajaan dengan komposisi neutral seperti seorang hakim bersara, seorang wakil Badan Peguam Malaysia, seorang ADUN kerajaan, seorang ADUN pembangkang dan wakil daripada 2 buah NGO yang berkenaan untuk memastikan kepentingan pemilik terjaga.
8. Jika kawasan yang dibangunkan semula meningkatkan kepadatan sedia ada atau menambahkan unit perumahan, komposisi kelas pemilik baharu perlu dikekalkan untuk menjaga keharmonian kawasan tersebut
Kerajaan perlu menggalas tanggungjawab kerajaan untuk membaik pulih rumah-rumah usang secara ikhlas dan tidak mencari keuntungan dalam kesengsaraan rakyat. Masih tidak dinafikan bahawa pembaharuan semua bandar memang penting. Biarlah ia tidak menghalau rakyat biasa dari tempat tinggal asal mereka dan menjadikan kawasan bandar khas hanya untuk orang berpendapatan tinggi.
Arveent Kathirtchelvan 
Ahli Jawatankuasa Pusat  merangkap ahli Biro Kajian DasarParti Sosialis Malaysia
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN