SEPANJANG pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan rejim Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza sejak lebih 20 bulan lalu, nama Yasser Abu Shabab antara yang paling dibenci.
Susuk tubuh yang menjadi ketua kumpulan samseng tanpa berselindung dan dengan bangga mengaku menjadi tali barut kepada seteru bangsa mereka sendiri, iaitu rejim zionis.
Yasser, 35 tahun memimpin kumpulan yang dikenali sebagai Popular Forces, juga mendedahkan berjuang secara langsung melawan Hamas di Gaza.
Lelaki berkenaan menegaskan mereka bukannya kumpulan pengganas atau penjenayah seperti mana yang dilabel seteru mereka.
Bahkan dakwanya, kumpulan bersenjata yang dipimpinnya cintakan keamanan dan persaudaraan.
Berdasarkan laporan portal Middle East Eye (MEE), Yasser menceritakan detik-detik yang membawa kepada usahanya menubuhkan Popular Forces.
Segalanya bermula selepas dia kembali ke Gaza dari Sinai, Mesir, dua bulan sebelum Hamas melancarkan serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Dia yang kemudian ditangkap telah dipenjarakan atas pelbagai kesalahan jenayah.
Yasser yang berada dalam penjara bagaimanapun berjaya meloloskan diri selepas rejim Israel menceroboh ke atas wilayah berkenaan.
Dalam laporan yang yang disiarkan akhbar harian Israel, Yedioth Ahronoth (Ynet), dia memberitahu segalanya bermula selepas berpindah bersama keluarga ke kawasan zon penampan al Mawasi.
Jelasnya, ketika itu keadaan mereka amat teruk dengan kebuluran dan kekurangan serta penuh penghinaan.
Ditambah dengan dendam lamanya dengan Hamas yang didakwa pernah membunuh suku sakatnya, dia nekad untuk tidak berdiam diri.
Bermula dari situ, Yasser mendakwa membuat hubungan dengan orang dalam Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Dia mendakwa mendapat restu daripada penasihat Presiden Mahmoud Abbas, iaitu Mahmoud al-Hashash untuk menubuhkan pasukan sendiri yang bangkit menentang apa yang didakwa kezaliman Hamas terhadap mereka.
Atas sokongan yang diberikan, dia kemudian menubuhkan Popular Forces yang didakwanya tidak dipengaruhi mana-mana parti dan ideologi politik.
Cita-citanya hanya satu untuk menjatuhkan Hamas yang dituduhnya melakukan rasuah dan cara yang dipilihnya akan memberi laluan kepada penubuhan kerajaan baharu.
Menurut Yasser, selari dengan peredaran masa, populariti Popular Forces mendapat perhatian dan berpuluh-puluh penduduk Gaza menyertai dan sanggup berjuang bersama.
Dakwanya lagi, Hamas semakin lemah dan pejuangnya lari macam tikus ketika bertempur dengan mereka.
Dalam hantaran di X, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga mendedahkan yang mereka mempunyai strategi sendiri bagi menghadapi penentangan berterusan di Gaza.
Caranya menggunakan penduduk Palestin di wilayah berkenaan sebagai sekutu untuk melawan pejuang Hamas.
Katanya lagi, melalui taktik berkenaan, ia membantu menyelamatkan nyawa askar zionis yang dihantar ke sana.
Kenyataan berkenaan bagi menjawab dakwaan anggota Knesset (Parlimen Israel) yang juga bekas Menteri Pertahanan, Avigdor Lieberman, mendakwa kerajaan memberi senjata kepada kumpulan penjenayah.
Perkata itu tidak mengejutkan kerana Tel Aviv akan melakukan apa juga jarum halus serta strategi untuk memusnah dan memadam kewujudan rakyat Palestin di tanah air sendiri.
Pengakuan berkenaan mengabsahkan kenyataan yang dibuat rejim pengganas Israel yang mereka menaja kumpulan penentang Hamas di Gaza dengan membekalkan dengan senjata dengan beberapa akses lain.
Dalam temuramah dengan stesen radio Israel berbahasa Arab, Makan, Yasser sendiri memberitahu anggotanya dapat bergerak secara bebas di kawasan yang dikuasai tentera pengganas zionis.
Tanpa memaklum dengan jelas, Yasser juga mengaku menerima bantuan logistik dan kewangan daripada pihak tertentu, yang dipercayai daripada Israel.
Melalui perlindungan yang diberikan, Yasser dan kumpulannya mendapat lesen besar daripada rejim Israel untuk melakukan kejahatan secara terang-terangan dan sesuka hati.
Salah satu buktinya disiarkan melalui rakaman yang disiar oleh pemilik akaun X, Dan Cohen.
Dalam insiden di Rafah, mereka dikenalpasti melepaskan tembakan ke arah penduduk yang kebuluran untuk mendapatkan bantuan makanan yang diagih Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditaja Amerika Syarikat (AS) di Rafah sehingga menyebabkan ramai yang terbunuh dan tercedera.
Perbuatan berkenaan sukar diterima akal waras kerana ketika masyarakat dunia bangkit menentang pembersihan kaum dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan rejim zionis terhadap penduduk Gaza, terdapat segelintir rakyat Palestin yang sanggup mengkhianati bangsa sendiri dengan menjadi tali barut Yahudi.
HAYAT TIDAK LAMA
Memetik laporan yang disiarkan portal MEE, gabungan kumpulan yang menentang tentera zionis, Palestinian Joint Operations Room dalam kenyataanya menegaskan akan mengambil tindakan tanpa belas ihsan kepada pengkhianat.
Pada 2 Julai lalu, Mahkamah Tentera di bawah Kementerian Dalam Negeri Gaza memberi masa 10 hari kepada Yasser bermula 2 Julai untuk menyerah diri kepada pihak berkuasa dan dibicarakan.
Dia berdepan tiga pertuduhan iaitu membelot dan bekerjasama dengan tentera musuh, membentuk kumpulan bersenjata dan memberontak.
Namun, dalam keadaan yang punah akibat serangan Israel, sebarang tindakan terhadap dirinya mustahil dapat dilaksana.
Dengan perlindungan serta restu yang diberikan zionis dan PA , dia dan kumpulannya kini ‘kebal’ selain terus diberi ruang untuk menjalankan tugasan menghapuskan Hamas dan penduduk Gaza yang setia dengan mereka.
Dalam keadaan di wilayah itu yang tidak menampakkan sebarang petanda keamanan akan pulih dalam masa terdekat, hayat Yasser dan kumpulannya tidak akan lama.
Dalam erti kata sebenar mereka hanya menunggu masa untuk dihapuskan.
Jika tidak di tangan Hamas, di tangan zionis.-UTUSAN
PENULIS ialah Penasihat Media Pertubuhan Alkhair Malaysia.










