KEDUDUKAN Malaysia sebagai destinasi pelancongan serantau semakin mendapat perhatian, seiring dengan peningkatan minat pelancong antarabangsa terhadap Asia Tenggara. Malaysia bukan sahaja dilihat sebagai destinasi pelancongan yang menarik, tetapi juga sebagai pintu masuk utama ke seluruh negara anggota ASEAN.
Faktor geografi, dasar terbuka dan kekayaan budaya menjadikan negara ini sangat strategik untuk memainkan peranan sebagai pintu masuk pelancongan serantau.
LOKASI STRATEGIK
Sebagai sebuah negara yang terletak di tengah-tengah jantung Asia Tenggara, lokasi Malaysia adalah titik transit yang ideal, menghubungkan pelancong dari Asia Timur, Asia Selatan, Timur Tengah dan Eropah ke pelbagai destinasi serantau seperti Thailand, Indonesia, Kemboja dan Vietnam.
Rangkaian udara dan darat yang luas dan efisien memudahkan pergerakan pelancong merentasi sempadan negara.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terus berperanan sebagai hab utama penerbangan serantau, menghubungkan pelancong antarabangsa ke destinasi lain dengan lebih cepat dan kos efektif.
MESRA PELANCONG
Data ketibaan pelancong dari China ke Malaysia sepanjang 2024 menunjukkan peningkatan sebanyak 130.9 peratus, menjadikan jumlah ketibaan mencecah hampir 3.73 juta orang. Ini disumbangkan oleh pelaksanaan dasar bebas visa kepada pelancong China serta penambahan laluan penerbangan terus dari bandar utama seperti Xi’an dan Kunming.
Malaysia turut memperkenalkan pelbagai inisiatif visa mesra pelancong, terutama kepada pelawat dari China dan India. dua pasaran pelancong terbesar dunia.
Pelaksanaan e-Visa serta pemerkasaan fasiliti ketibaan menjadikan negara ini lebih mudah diakses, sekali gus meningkatkan daya tarikannya sebagai pintu masuk ASEAN.
Tambahan pula, nilai ringgit yang kompetitif membolehkan pelancong menikmati lebih nilai untuk setiap ringgit yang dibelanjakan.
Kos penginapan, makanan dan pengangkutan yang berpatutan menjadikan Malaysia sebagai destinasi transit yang mesra bajet sebelum meneruskan perjalanan ke negara jiran.
Program Malaysia My Second Home (MM2H) turut menyumbang kepada pengukuhan sektor pelancongan negara. Dengan lebih 58,000 permohonan diluluskan setakat Disember 2024, program ini bukan sahaja menjana pelaburan dalam bentuk deposit tetap dan pembelian hartanah, malah menunjukkan keyakinan pelancong asing terhadap kestabilan, kemudahan dan kualiti hidup di Malaysia.
MM2H menjadi bukti bahawa Malaysia bukan hanya destinasi pelancongan jangka pendek, tetapi juga tempat tinggal pilihan untuk jangka panjang.
BUDAYA ASEAN
Malaysia boleh diibaratkan sebagai ‘Mini ASEAN’ kerana memaparkan kepelbagaian budaya, etnik dan agama yang menjadi ciri unik rantau ini.
Pelancong dari pelbagai benua dapat merasai pengalaman budaya yang mencerminkan seluruh ASEAN dalam satu negara daripada makanan ke seni, bahasa ke gaya hidup.
Faktor inilah yang memberi nilai tambah kepada Malaysia, bukan hanya sebagai destinasi pelancongan, tetapi juga sebagai platform pengenalan awal kepada budaya Asia Tenggara secara menyeluruh.
Malaysia menawarkan pengalaman awal yang inklusif sebelum pelancong meneruskan perjalanan ke negara jiran.
PERSAINGAN SERANTAU
Walaupun Malaysia memiliki kelebihan tersendiri, kita tidak boleh memandang ringan persaingan negara jiran.
Singapura menonjol dengan ekosistem pelancongan berteknologi tinggi dan pengurusan bandar yang cekap.
Thailand pula telah lama memposisikan dirinya sebagai destinasi pelancongan kesihatan dan budaya, manakala Indonesia semakin aktif mengembangkan ekopelancongan dan pelancongan komuniti.
Malaysia perlu melangkah lebih jauh dengan memperkukuh promosi destinasi sekunder seperti Perlis, Terengganu, Sabah dan Sarawak yang kaya dengan sumber pelancongan semula jadi dan warisan tempatan yang autentik. Penekanan juga perlu diberikan kepada pembangunan pelancongan mampan dan digitalisasi industri.
PELANCONGAN DUNIA
Malaysia kini berpeluang untuk memperkukuh reputasinya sebagai destinasi pelancongan global menerusi penganjuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia 2025 (WTC) yang bakal berlangsung di Melaka pada 27 hingga 29 September 2025. Acara ini merupakan peluang strategik untuk Malaysia mempersembahkan komitmennya terhadap pelancongan berkualiti, selamat dan mampan kepada dunia.
Malaysia juga memainkan peranan aktif dalam memacu kerjasama pelancongan serantau menerusi penyertaan dalam Forum Pelancongan ASEAN (ATF), pengiktirafan terhadap golongan profesional dalam industri pelancongan (MRA-TP) serta strategi pemasaran pelancongan ASEAN (ATMS).
Kempen bersama seperti Fly & Stay dan kerjasama dengan syarikat penerbangan serantau turut memperkukuh hubungan antara negara anggota.
Malaysia perlu tampil lebih berani dalam menawarkan pelan strategik bersasar, termasuk promosi destinasi pelengkap dalam laluan pelancongan serantau antaranya menambahbaik birokrasi visa, ketidakseimbangan promosi, dan tahap digitalisasi yang masih rendah di beberapa kawasan yang perlu diatasi segera.
Melalui pelan strategik Malaysia Truly Asia 2.0 dan kerjasama erat dengan operator pelancongan serantau, Malaysia berpotensi muncul bukan sahaja sebagai pintu masuk fizikal ke ASEAN, tetapi memperkenalkan kekayaan budaya dan pengalaman rantau ini kepada dunia.
Menjelang kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026), negara perlu memperkukuh peranannya sebagai gerbang ASEAN dengan strategi menyeluruh daripada dasar visa yang mesra, promosi digital yang agresif, pembangunan destinasi luar bandar, hinggalah kepada integrasi pelancongan lestari.
Dengan perancangan yang inklusif dan pelaksanaan yang mantap, Malaysia mempunyai peluang yang cerah menjadi destinasi pelancongan ASEAN dan dunia. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Mohd. Hafiz Hanafiah ialah Timbalan Rektor UiTM Cawangan Selangor. Akmal Adanan ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan, UiTM Cawangan Melaka.










