Tiba masa semua pihak bekerjasama membantu mangsa insiden Putra Heights

Tiba masa semua pihak bekerjasama membantu mangsa insiden Putra Heights

DATUK MOHAMED SHAFIE BP MAMMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebagai pemimpin kesatuan yang mewakili jutaan pekerja Malaysia, termasuk mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights, saya tampil menulis bukan kerana kepentingan politik atau publisiti – tetapi demi keadilan, ketelusan, dan maruah insan di sebalik setiap tajuk berita.

Insiden yang berlaku tidak seharusnya dianggap sebagai sekadar kegagalan infrastruktur. Ia adalah tragedi kemanusiaan yang meragut kedamaian hidup, harapan persaraan, dan keselamatan keluarga. Antara yang terkesan adalah para pekerja – termasuk ahli-ahli kesatuan – yang sebelum ini menyumbang tenaga mereka membina negara.

Kini, saya difahamkan mereka hilang tempat berteduh, hilang ketenangan, dan hidup dalam trauma. Kepada semua mangsa, saya hulurkan simpati yang mendalam. Tetapi simpati semata-mata tidak cukup – ia harus disusuli dengan tindakan segera.

Saya mengambil kesempatan untuk menyeru semua majikan, sama ada sektor awam atau swasta – sekiranya ada dalam kalangan kakitangan mereka yang turut menjadi mangsa – agar tampil memberikan sokongan yang sewajarnya. Bantuan kewangan, kelonggaran cuti, dan akses kepada khidmat kaunseling bukan lagi pilihan – ia adalah tanggungjawab moral.

Trauma yang dialami oleh mangsa, sama ada dari sudut fizikal atau emosi, sangat mendalam. Mereka tidak wajar menanggungnya bersendirian.

Saya juga menghargai tindakan PETRONAS yang telah tampil menyumbang kepada kos perubatan, pembinaan semula rumah, dan pelaksanaan pelbagai inisiatif komuniti. Sebagai individu yang tidak segan untuk mengkritik korporat besar bila perlu, saya nyatakan secara telus bahawa tindakan syarikat ini mencerminkan kebertanggungjawaban korporat, termasuk sokongan CSR yang konsisten, langkah keselamatan tambahan yang proaktif,
serta kesediaan untuk tampil bersemuka dengan media dan masyarakat, walaupun terdapat pelbagai kritikan terhadap mereka.

Namun, satu perkara yang sering dibangkitkan oleh penduduk ialah rasa kecewa kerana mereka tidak dimaklumkan tentang kewujudan paip gas tekanan tinggi yang terletak hanya beberapa meter dari rumah mereka, sewaktu pembelian hartanah.

Sebagai pembeli, mereka berhak mengetahui fakta sebegitu penting — bukan sekadar demi membuat keputusan berinformasi, tetapi juga untuk keselamatan jangka panjang. Tambahan pula, paip tersebut telah lama wujud sebelum projek perumahan itu dibangunkan.

Ini mencetuskan persoalan yang lebih besar: apabila wujud infrastruktur kritikal seperti paip gas, pencawang elektrik, talian voltan tinggi, loji rawatan air, laluan rel atau menara telekomunikasi — sama ada yang sedia ada atau yang bakal dibina — perlukah pemaju perumahan bertanggungjawab untuk memaklumkan perkara ini kepada bakal pembeli rumah?

Jika undang-undang yang sedia ada tidak mewajibkan perkara ini, sudah tiba  masanya undang-undang dan regulasi ini diubah atau diperkukuhkan. Dalam tragedi seperti ini, penduduk tidak hanya meminta pampasan; mereka mengharapkan sokongan, ketelusan, dan tindakan sewajarnya untuk membolehkan mereka meneruskan kehidupan.

Oleh itu, saya harap pihak-pihak lain juga turut tampil, atas dasar keprihatinan bersama. Dalam situasi sebegini, etika dan empati harus menjadi panduan, bukan semata- mata memberi kenyataan bahawa semua peraturan telah dipatuhi.

Saya juga harapkan agensi seperti PERKESO dapat menimbangkan skim khas bagi pekerja yang kehilangan tempat tinggal atau mengalami trauma akibat kejadian di luar jangkaan, seperti insiden ini. Keadaan luar biasa menuntut penyelesaian yang luar biasa. Institusi kewangan pula boleh menawarkan moratorium tanpa faedah atau penyusunan semula pinjaman secara fleksibel — agar mangsa tidak terus terbeban membayar ansuran rumah
yang telah musnah.
Satu persoalan yang timbul ialah, bagaimana projek perumahan berkapasiti tinggi boleh diluluskan begitu hampir dengan infrastruktur kritikal tanpa sebarang zon penampan yang jelas? Penemuan siasatan rasmi yang hanya merujuk kepada “pergerakan tanah” tidak menjawab persoalan sebenar — apakah punca tanah menjadi lemah?

Apakah ujian geoteknikal telah dilakukan sewaktu paip dibina? Apakah pembangunan lain di sekitarnya menyumbang kepada ketidakstabilan tanah? Persoalan ini masih tidak terjawab dan kini mengundang isu tentang ketelusan dan kepercayaan. Sementara itu, segelintir ahli politik telah mengambil kesempatan, menyalahkan sepenuhnya pihak tertentu demi meraih sokongan.

Kenyataan sebegini bukan sahaja tidak adil, malah mengelirukan rakyat. Kita tidak boleh membiarkan tragedi ini menjadi permainan tuding jari. Wajar untuk kita menghindar daripada permainan “siapa salah?” – seharusnya penekanan harus diberi kepada “apa yang boleh kita lakukan bersama untuk bantu komuniti ini bangkit semula?”\

Saya tidak bertujuan memberi sokongan kepada mana-mana pihak – malah, jika terbukti wujud kelalaian operasi, biarlah tindakan sewajarnya diambil. Namun, jangan jadikan syarikat sebagai sasaran tunggal semata-mata, hingga pihak lain yang turut berkepentingan terlepas dari tanggungjawab mereka.

Kita kini berada dalam zaman di mana pembangunan dan infrastruktur kritikal saling bersilang. Ketahanan bandar (urban resilience) tidak boleh hanya dipikul oleh pengendali utiliti. Pemaju, pihak berkuasa tempatan, perancang bandar dan pengawal selia – semua perlu bergabung dalam satu kerangka pengurusan risiko yang menyeluruh.

Penduduk Putra Heights — yang rata-rata terdiri daripada golongan pekerja dan pesara — berhak menerima lebih daripada sekadar simpati. Mereka berhak diberi jawapan dan penyelesaian, dan mereka berhak mendapat sokongan kolektif dari semua pihak. Saya harapkan insiden ini tidak ditenggelamkan oleh birokrasi dan keengganan untuk bertanggungjawab. Sekiranya ini berlaku, saya risau insiden seperti ini hanya menunggu masa untuk berulang.

Datuk Mohamed Shafie BP Mammal,
President of UNI Malaysia Labour Centre

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN