Sistem perundangan saksama mampu tegakkan roh keadilan

Sistem perundangan saksama mampu tegakkan roh keadilan

ISTANA KEHAKIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUAH ungkapan tradisional terkenal menyebut, “Yang syara’ (syarak) wajib ditegakkan, yang adat wajib dikukuhkan, yang lembaga wajib dijalankan supaya hukum boleh berjalan, supaya adil boleh ditegakkan, supaya hidup kekal beriman.”

Ungkapan itu sebenarnya ditujukan kepada pemimpin atau pemerintah yang bertanggungjawab mengurus kehidupan bernegara dan bermasyarakat.

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan serta memiliki institusi-institusi keagamaan yang kukuh, maka wajar agar prinsip keadilan dilaksanakan secara menyeluruh dalam setiap aspek pentadbiran dan pemerintahan.

Keadilan itu pula wajib ditegakkan mengikut perundangan yang ada dan tanpa mengamalkan sikap dua darjat. Ini penting supaya keadilan dapat dirasai semua pihak. Oleh itu, kerajaan yang memerintah memegang amanah berat iaitu menegakkan keadilan untuk semua.

Ungkapan al-Sultan Zillu ‘Ilahi fi’l-ard yang bermaksud sultan bayang Allah di bumi. Ayat ini menggambarkan betapa besar tanggungjawab menyempurnakan keadilan yang wajib ditegakkan oleh mereka memegang kuasa.

Justeru, politik Islam meletakkan hukum hakam (perundangan dan kehakiman) sebagai perkara wajib ditegakkan dalam kehidupan bernegara. Tidak dapat dinafikan hukum hakam dalam kehidupan umat Islam sangat mempengaruhi pemikiran orang Melayu di alam Nusantara ini.

Sejak Islam ‘masuk’ ke alam Melayu bermula sejak abad ke-13 masihi atau lebih awal, ia telah mencetuskan proses Islamisasi yang membawa perubahan besar dalam kehidupan masyarakat Melayu Nusantara. Justeru, ungkapan berkonsepkan Islam itu membayangkan sultan (pemerintah) bertanggungjawab melaksanakan keadilan Tuhan dengan melindungi yang lemah dan membela yang teraniaya.

Raja (pemerintah) yang adil itu akan ditempatkan pada kedudukan yang mulia di sisi Allah seperti yang disebut Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Nasihat al-Muluk (nasihat kepada raja-raja), “Dan diberi tempat mereka itu pada tempat yang terlebih mulia sebab adilnya seperti yang didengar pada segala hadis; Bermula raja itu bayang- bayang Allah pada hambanya”.

Dalam karya Bustan al-Salatin pengarangnya memberikan tumpuan kepada raja-raja dan pembantu raja yang meneraju pemerintahan supaya melaksana dan menegakkan keadilan. Karya itu lebih menekankan etika pelaksanaan undang-undang, menitikberatkan sifat-sifat golongan pelaksana hukum yang baik dan adil dalam memberi hukuman.

PELANTIKAN HAKIM
Keadilan yang mesti dilaksana dan ditegakkan oleh pemerintah meliputi skop yang luas atau cakupannya.

Antara yang mesti ditegakkan ialah keadilan undang-undang.

Malah, apabila kita memahami tujuan dan falsafah undang-undang, dapat difahami perkataan ‘keadilan’ itu sendiri adalah istilah undang-undang. Ini bermakna keadilan yang ingin ditegakkan mesti selaras dengan undang-undang, kerana menegakkan keadilan merupakan objektif utama undang-undang. Hakikatnya, undang-undang dan keadilan adalah dua perkara yang saling berkait.

Menegakkan keadilan adalah amanah besar di sisi Islam. Justeru, hakim atau kadi yang dilantik haruslah menjalankan tugas dengan adil.

Dalam konteks negara kita, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab melantik hakim berdasarkan nasihat Perdana Menteri. Hakim yang dilantik mestilah memiliki sifat keadilan yang tinggi kerana mereka memikul tanggungjawab mengendalikan hal-hal kehakiman dan undang-undang.
Selain adil, pelantikan hakim atau kadi haruslah mengambil kira syarat lain antaranya Islam, aqil, merdeka, lelaki, sempurna penglihatan, sempurna tutur kata dan mujahid (Bustan al-Salatin: 207).

Beberapa ciri ini sukar dipenuhi kerana sistem pelantikan hakim di negara kita lebih cenderung mengikuti kaedah perundangan Barat. Namun begitu, sifat keadilan mesti sentiasa diutamakan, kerana objektif utama perundangan dan sistem kehakiman adalah untuk menegakkan keadilan.

Dalam Islam, hakim yang adil akan dinilai di sisi Allah SWT. Hal ini dijelaskan dalam Bustan al-Salatin, di mana pengarang menegaskan pentingnya seorang kadi (hakim) menjatuhkan hukuman yang benar. Jika tidak, hukuman tersebut dianggap makzul, iaitu tidak sah lagi.

Dengan menjatuhkan hukuman yang benar, seseorang akan memperoleh pahala yang besar, baik di dunia mahupun di akhirat.

Sabda Nabi yang bermaksud, “pahala bagi kadi (hakim) yang menjatuhkan hukuman dengan adil dalam sehari adalah lebih utama daripada pahala seseorang yang beribadah solat di rumahnya selama 70 tahun.”

Jika hakim tegas berpegang pada prinsip menegakkan keadilan, maka sistem serta proses kehakiman akan berjalan lancar dan urusan negara serta rakyat akan berada di landasan yang sepatutnya.

Oleh itu, pelantikan hakim hendaklah dilakukan secara bebas daripada sebarang campur tangan politik atau kepentingan pihak berkuasa, kerana terdapat kes di mana penguasa yang bermasalah gagal mengutamakan prinsip etika keadilan dalam pemilihan hakim yang sesuai.-UTUSAN

PENULIS adalah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN