“PRINSIP kedaulatan undang-undang yang diterapkan sebagai Rukun Negara keempat, meletakkan undang-undang berada di kedudukan yang tinggi dan tiada kerajaan, tiada organisasi, tiada institusi atau orang perseorangan yang kebal, boleh melakukan sekehendak hati, mengatasi undang-undang yang telah ditetapkan dan memiliki keabsahan dan legitimasi.” – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Awal minggu ini dalam satu sidang akhbar, beberapa ahli Parlimen mendesak agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman.
Antara isu yang dibangkitkan sama ada mesyuarat tergempar Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) benar tidak memenuhi notis 10 hari yang disyaratkan mengikut Seksyen 13(2) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695).
Sidang akhbar ini berlangsung pada ketika tular video aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard, turut hangat diperkatakan.
Antara perkara yang disebutnya berkaitan dakwaan tentang wujud campur tangan dalam lantikan hakim serta ketelusan lantikan hakim Mahkamah Persekutuan yang dikatakan tidak memilik kredibiliti, ketelusan dan integriti yang wajar bagi jawatan penting itu.
Persoalan sama ada wujud ketidakpatuhan dalam pelantikan jawatan di cabang kehakiman adalah isu yang besar dan mampu mendatangkan kegusaran kepada rakyat yang berhak mendapat institusi kehakiman yang bebas dan telus.
Apabila kebebasan kehakiman dipertikaikan, seluruh negara menderita. Malah, sentimen inilah yang ditekankan Majlis Peguam dalam Pekeliling yang dikeluarkan pada 8 Julai bagi menuntut penubuhan RCI bagi menyiasat sebarang campur tangan dalam institusi kehakiman.
Majlis Peguam turut menyeru agar jawatan tertinggi cabang kehakiman diisi secepat mungkin oleh hakim yang berakhlak baik, berintegriti, dengan reputasi yang tidak bercela. Dalam Pekeliling yang sama, Majlis Peguam turut menjemput para peguam serta orang awam untuk menyertai Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman yang akan dianjurkan di hadapan Istana Kehakiman pada 14 Julai ini.
Agak pelik bagaimana isu melibatkan ketelusan dalam pelantikan cabang kehakiman dipertikaikan pada ketika pihak kerajaan masih merasa bangga dengan usaha mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 selepas akta itu dimansuhkan pada 1992 di bawah pentadbiran pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Kemelut pelantikan institusi kehakiman memberikan persepsi seolah-olah setiap reformasi institusi yang dijalankan kerajaan bersifat superfisial tanpa kesan yang kekal dan benar bermanfaat.
Sebagai negara berdaulat yang mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan, setiap peraturan mentadbir negara disematkan melalui pelbagai akta parlimen, peraturan, pekeliling dan garis panduan yang relevan.
Penggubalan peraturan pentadbiran supaya tiada seorang pun yang berhak menjalankan tugas mengikut kepentingan peribadi tanpa mematuhi peraturan undang-undang yang sudah jelas dimaktubkan bagi memberikan punca kuasa kepada setiap cabang pentadbiran: baik di peringkat eksekutif, legislatif mahupun kehakiman.
Atas faktor itu, konsep kedaulatan undang-undang haruslah dihormati dan diguna pakai sepenuhnya dalam mentadbir sebuah negara berdemokrasi. Malah, keabsahan tindakan kerajaan tidaklah mutlak sebaliknya bergantung kepada sama ada pematuhan penuh kepada undang-undang yang sudah digubal dan diluluskan di peringkat legislatif.
Jika wujud ketidakpatuhan dalam pelaksanaan undang-undang oleh cabang eksekutif, pertikaian tentang pematuhan seharusnya diselesaikan dengan merujuk isu terbabit kepada cabang kehakiman.
Melihatkan bagaimana setiap cabang ini berinteraksi secara simbiosis, sewajarnya tiada tindakan yang tidak telus boleh dilakukan pada setiap cabang pentadbiran tanpa memberikan kesan yang sama negatif kepada keseluruhan sistem negara.
KEPINCANGAN?
Adakah konflik dalam cabang kehakiman ini menandakan kepincangan dalam pentadbiran negara?
Sedangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bulan lalu memberikan keyakinan agenda reformasi yang diketengahkan Kerajaan Madani bukanlah retorik semata-mata, sebaliknya berstruktur dan melalui proses terancang.
Beliau berkata Peta Reformasi Institusi (PetaRI) di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) membingkaikan fokus utama kerajaan kepada pemerkasaan kerangka perundangan di dalam negara.
Secara ringkasnya, di bawah PetaRI, fokus diberikan kepada pindaan pelbagai akta parlimen sedia ada dan penggubalan pelbagai akta parlimen baharu bagi menjamin sistem perundangan yang menyeluruh.
Selain itu, PetaRI turut melihat kajian undang-undang berdasarkan data empirikal yang bertujuan untuk melihat jika wujud keperluan atau kelompongan dalam undang-undang dan dasar semasa selaras dengan perkembangan teknologi dan dinamika sosial.
Namun, suka diingatkan sebarang inisiatif yang dicadangkan kerajaan bagi menghormati prinsip demokrasi seharusnya dilakukan secara sejajar dan tekal. Inisiatif yang diambil tidak boleh dihasratkan hanya sekadar permainan silap mata sahaja kerana jika tersalah langkah, ia mampu mencabar kebebasan sesuatu cabang pentadbiran dan langsung meranapkan asas prinsip demokrasi itu sendiri.
Lebih utama lagi, konflik dalam institusi kehakiman harus diperhalusi segera tanpa menjejaskan hak setiap warga negara Malaysia untuk mendapatkan sistem pentadbiran yang baik dan bermanfaat.
Dalam pada ahli politik mengatur caturan kepentingan masing-masing, perlu ditekankan institusi kehakiman bukan sekadar cabang pertadbiran semata-mata. Sebaliknya, kehakiman berdiri sebagai benteng terakhir keadilan. Kerana itulah, ia mesti dilindungi dengan keras, lantang dan tanpa rasa takut.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang.










