SABAH kembali menjadi tumpuan dalam isu politik negeri apabila muncul perspektif Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal dibubarkan dalam masa terdekat.
Kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberi isyarat keputusan penting akan diumumkan selepas Mesyuarat Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akhir bulan ini.
Dengan kenyataan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah akan diadakan lebih awal daripada tempoh tamat DUN pada November, persoalannya, adakah ini menjadi petanda kejatuhan kerajaan atau sebahagian daripada proses memperbaharui kerajaan baharu?
Yang pasti PRN kali ini bukan sekadar proses politik tetapi mencerminkan keinginan rakyat untuk keluar daripada kitaran lama iaitu politik yang berulang-ulang dan keadaan jadi huru-hara.
Sabah adalah negeri paling dinamik dalam politik kerana sukar dijangka siapa yang berkuasa. Sejak dari pembentukan Malaysia pada 1963, Sabah menyaksikan lebih banyak perubahan kerajaan negeri, sama ada melalui pilihan raya atau peralihan kuasa dalaman.
PRN Sabah pada 2020 melihat kejatuhan kerajaan Parti Warisan (Warisan) dan kenaikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan pemerintahan baharu. Tetapi selepas lima tahun mentadbir, GRS turut berdepan pelbagai cabaran dalaman dan luaran.
Pertelingkahan dan persengketaan antara komponen gabungan seperti UMNO Sabah sementara Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) memilih untuk keluar daripada GRS dan Gagasan Rakyat. Ia menunjukkan kestabilan yang wujud hanyalah sementara.
Pihak UMNO Sabah, di bawah pimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin, tidak menyembunyikan rasa tidak puas hati mengenai struktur kuasa dan agihan jawatan dalam kerajaan negeri.
Semakin jelas keresahan rakyat terhadap masalah asas yang masih belum ditangani secara menyeluruh, antaranya termasuk bekalan air bersih, jalan raya yang tidak mampan, kekerapan gangguan bekalan elektrik serta kemiskinan berterusan di luar bandar terus menjadi rungutan utama.
MAHU PERUBAHAN
Data yang menunjukkan Sabah masih kekal sebagai antara negeri termiskin di Malaysia dalam konteks ini. Rakyat Sabah tidak lagi sekadar mahukan perubahan terhadap perebutan kuasa tetapi perubahan dasar dan pendekatan pentadbir yang boleh menyentuh realiti kehidupan mereka.
Sebahagian rakyat Sabah mempersoalkan keberkesanan GRS dalam menunaikan janji manifesto PRN 2020. Jika PRN diadakan, ia bukan lagi soal siapa Ketua Menteri, tetapi siapa mampu membawa Sabah keluar daripada belenggu pembangunan yang tidak mampan.
Isu ‘Sabah untuk Anak Sabah’ di antara retorik atau aspirasi merupakan satu unsur yang menghangatkan suasana politik negeri. Naratif ini berlaku apabila pasca 2020 selepas parti-parti tempatan seperti Warisan dan Gagasan Rakyat berusaha memposisikan diri sebagai juara autonomi negeri.
Perkara ini disambung daripada sentimen sejak era Parti Bersatu Sabah (PBS) yang berlaku 1980-an.
UMNO, Warisan dan Pakatan Harapan (PH), sama ada sebagai pesaing lama atau gabungan baharu, dijangka memainkan peranan penting dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
UMNO masih mempunyai jaringan asas dalam diri yang kuat walaupun cabaran besar menanti mereka selepas tidak lagi menjadi kuasa dominan seperti era Barisan Nasional (BN).
Warisan pula dilihat cuba bangkit semula membawa ‘Sabah First’, manakala PH (PKR dan DAP) perlu berhati-hati dalam percaturan politik Sabah yang menolak campur tangan parti Semenanjung secara berlebihan.
Masalahnya, adakah akan terbentuk satu pakatan baharu melibatkan parti-parti tempatan yang bersatu atas dasar kuasa autonomi atau PRN ini akan menyaksikan pertandingan tiga atau empat penjuru yang memecah undi dan menguntungkan parti dominan sedia ada?
POLITIK WANG ATAU DEMOKRASI?
Pilihan raya sering menjadi perhatian dalam politik wang. Dalam banyak PRN sebelum ini, Sabah pernah dikaitkan dengan amalan politik yang menjejaskan integriti demokrasi.
Jika perkara ini berulang ia akan memberi kesan negatif terhadap kepercayaan rakyat berhubung sistem pilihan raya. Oleh itu kerajaan perlu memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai sumber dan mandat yang cukup kuat untuk mengawal dan memantau sebarang pelanggaran etika sepanjang kempen berlangsung.
Kesimpulan, harapan rakyat Sabah terhadap PRN ini adalah kerajaan akan telus mentadbir serta tidak melihat siapa menang atau kalah. Sebaliknya memberi fokus pelaksanaan terhadap dasar kerajaan serta keberkesanan pemimpin demi masa hadapan negeri dan arah tuju.
Rakyat Sabah perlu diberi ruang dan maklumat yang cukup untuk membuat pilihan bijak. Pemimpin pula harus melihat PRN ini sebagai peluang untuk memulakan era baharu politik yang lebih telus, jujur dan berasaskan keperluan rakyat, bukan sekadar perebutan jawatan.
Jika PRN hanya menjadi medan pertempuran kuasa tanpa perubahan dasar, maka Sabah akan terus berlegar dalam kitaran politik yang sama dan lapuk.-UTUSAN
DR. Yusry Sulaiman ialah Pensyarah Kanan dalam Program Sejarah Gunaan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun & Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).










