PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara. Dengan lebih 1.2 juta perniagaan berdaftar di bawah kategori ini, sektor PKS menyumbang hampir 38.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan lebih 7 juta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
Namun begitu, dalam era ketidaktentuan ekonomi global, inflasi tidak menentu serta cabaran kos operasi yang meningkat, kelangsungan dan daya saing PKS semakin terjejas. Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat sebagai salah satu intervensi yang mampu merangsang semula pertumbuhan PKS negara.
BNM menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, langkah pertama sejak Mei 2023. Penurunan ini akan meringankan kos pinjaman, sekali gus memberi kelegaan kepada PKS untuk mengembangkan operasi, meningkatkan aliran tunai dan merangsang pertumbuhan perniagaan domestik.
Apabila OPR diturunkan, ia memberi isyarat institusi kewangan harus menawarkan pinjaman pada kadar faedah yang lebih rendah kepada pengguna dan perniagaan.
Justeru, langkah ini mampu memberi ruang kepada PKS untuk mengukuhkan struktur kewangan dan memanfaatkan peluang pertumbuhan, terutamanya dalam persekitaran ekonomi yang perlahan.
Penurunan OPR boleh memberi impak langsung kepada aliran tunai PKS. Ramai pengusaha PKS yang terikat dengan pelbagai komitmen kewangan seperti bayaran balik pinjaman, gaji pekerja, pembelian stok dan penyelenggaraan aset.
Dengan kadar faedah yang lebih rendah, bayaran bulanan kepada institusi kewangan dapat dikurangkan. Ini seterusnya memberikan lebihan tunai yang boleh digunakan untuk tujuan yang lebih produktif seperti pelaburan dalam digitalisasi, latihan kakitangan atau penyelidikan dan pembangunan produk baharu.
Di samping itu, penurunan OPR juga menggalakkan pengusaha PKS untuk mengambil risiko terkawal dalam memperluas perniagaan. Contohnya, dalam sektor makanan dan minuman, ramai usahawan boleh menggunakan pinjaman pada kadar rendah untuk membuka cawangan baharu, menaik taraf sistem pembayaran digital atau menambah mesin automatik.
Dalam sektor pembuatan pula, peluang ini boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran atau melabur dalam teknologi hijau yang lebih cekap. Kesemua ini bukan sahaja merangsang produktiviti, malah turut menyumbang kepada daya saing jangka panjang sesebuah perniagaan.
Namun begitu, manfaat ini tidak akan dapat dinikmati jika PKS tidak mengambil tindakan proaktif untuk merebut peluang tersebut. Laporan menunjukkan sebahagian besar PKS, terutamanya yang berskala mikro dan tidak formal, masih tidak mempunyai sistem pengurusan kewangan yang cekap.
Mereka tidak menyimpan rekod perakaunan yang lengkap, tidak menyediakan laporan kewangan tahunan dan kurang pendedahan terhadap produk kewangan yang ada di pasaran. Kesannya, walaupun kadar faedah diturunkan, mereka sukar untuk mendapatkan pinjaman kerana gagal memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan institusi kewangan.
Justeru, peningkatan literasi kewangan dalam kalangan usahawan PKS adalah kunci utama kepada keberkesanan dasar penurunan OPR. Usahawan perlu tahu cara menilai kadar faedah, membuat perbandingan antara pakej pinjaman serta merancang aliran tunai perniagaan dengan lebih cekap.
Dalam hal ini, agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), SME Bank, TEKUN Nasional dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) boleh memainkan peranan penting dalam memberi bimbingan dan latihan kepada pengusaha PKS tentang aspek pengurusan kewangan, pematuhan kewangan dan kebolehupayaan kredit.
Selain itu, pihak bank juga perlu lebih fleksibel dan inklusif dalam menyalurkan pembiayaan kepada PKS. Walaupun terdapat kebimbangan risiko kredit, pendekatan yang terlalu ketat dalam proses penilaian pinjaman hanya akan menyukarkan PKS yang benar-benar memerlukan bantuan.
Oleh itu, penyesuaian terhadap kriteria kelayakan, penawaran produk mikro-kredit yang mesra usahawan serta proses permohonan yang lebih telus dan pantas perlu diberi perhatian. Ini penting agar impak daripada penurunan OPR tidak terhad kepada syarikat besar semata-mata tetapi dapat dirasai hingga ke peringkat akar umbi ekonomi.
Dalam masa sama, kerajaan boleh memperkenalkan inisiatif khas yang menggabungkan insentif kewangan dengan penurunan OPR. Sebagai contoh geran padanan atau pelepasan cukai ke atas faedah pinjaman boleh membantu menggalakkan lebih ramai PKS memanfaatkan keadaan kadar faedah rendah.
Kerajaan juga boleh menetapkan dasar yang memberi keutamaan kepada PKS tempatan dalam projek pembelian barangan dan perkhidmatan, bagi merancakkan permintaan domestik dan memperkukuh ekosistem PKS.
Bukan itu sahaja, penurunan OPR juga membuka peluang kepada PKS untuk menyusun semula model perniagaan mereka bagi menghadapi era digital dan ekonomi rendah karbon.
Dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), banyak PKS yang terpinggir kerana ketiadaan teknologi sesuai. Dengan akses pembiayaan yang lebih murah, PKS boleh melabur dalam teknologi automasi, sistem pengurusan inventori, platform e-dagang dan aplikasi mudah alih bagi meningkatkan kecekapan serta mengembangkan pasaran.
Peluang ini juga perlu dimanfaatkan untuk menambah baik amalan lestari seperti pengurusan sisa, tenaga boleh diperbaharui dan penggunaan bahan mesra alam yang kini menjadi syarat utama dalam pasaran eksport.
PINJAMAN TIDAK BERHEMAT
Namun begitu, cabaran besar yang tidak boleh diabaikan ialah risiko penggunaan pinjaman yang tidak berhemah. Ketika kadar faedah rendah, terdapat kecenderungan dalam kalangan usahawan untuk mengambil pinjaman melebihi keperluan atau membuat pelaburan dalam bidang yang tidak memberikan pulangan sebenar.
Jika ini berlaku, ia bukan sahaja membebankan perniagaan secara individu, malah boleh memberi kesan negatif kepada kestabilan sektor perbankan.
Malah, Jabatan Insolvensi turut melaporkan terdapat peningkatan kes muflis dalam kalangan pengusaha perniagaan mikro akibat kegagalan membayar hutang pinjaman perniagaan yang diambil tanpa perancangan kewangan yang rapi.
Justeru itu, celik kewangan dan disiplin kewangan perlu berjalan seiring dengan dasar pelonggaran monetari.
Penurunan OPR tidak seharusnya dilihat sebagai lesen berbelanja, sebaliknya sebagai peluang untuk merancang pertumbuhan secara strategik.
Usahawan perlu mempunyai pelan perniagaan yang jelas, unjuran kewangan yang realistik, serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan permintaan pasaran.
Bagi mereka yang baru hendak bermula, bimbingan daripada inkubator perniagaan, mentor industri dan agensi pembangunan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
Dari perspektif jangka panjang, penurunan OPR yang berjaya dirangkum bersama kebijakan fiskal, pendidikan keusahawanan dan pembiayaan mesra usahawan akan mewujudkan ekosistem yang lebih inklusif dan berdaya saing.
Ia akan membentuk landskap PKS yang lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi global, berdaya inovasi dan mampu berkembang secara mampan.
Usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab PKS serantau tidak akan berjaya sekiranya kebanyakan usahawan masih terpinggir daripada sistem kewangan arus perdana.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Md. Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










