MEDIA baru-baru ini melaporkan kakitangan Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura ke salah sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur untuk menjalankan sesi temu duga dengan doktor dan pengamal perubatan am (GP). Iklan pengambilan tersebut dikatakan sudah tersebar luas sebelum itu di pelbagai platform mempelawa semua doktor serta graduan lepasan ijazah dalam bidang perubatan dari Malaysia untuk mengisi dua jawatan utama iaitu pegawai perubatan dan pembantu klinikal. Sesi pengambilan tersebut disertakan dengan tawaran pakej yang sangat menarik dengan gaji permulaan sebanyak SGD110,000 setahun (kira-kira RM385,000), tidak termasuk elaun penginapan bulanan, insurans dan pelbagai manfaat lain.
Dalam pasaran kerja global yang kompetitif, pengambilan bakat untuk mengisi perjawatan dalam kategori pekerjaan berkemahiran tinggi seperti doktor, jurutera, saintis, akauntan, penyelidik dan lain-lain selalunya dilakukan menerusi headhunters (firma-firma perekrut), iaitu individu atau syarikat yang mengkhusus dalam mencari dan merekrut bakal pekerja untuk jawatan eksekutif atau strategik di dalam sesebuah organisasi. Perekrut ini sering digunakan dalam konteks perekrutan profesional, terutamanya dalam industri yang memerlukan kepakaran khusus seperti teknologi, perubatan dan pengurusan.
Namun demikian, insiden terbaru ini agak merunsingkan kita apabila Kementerian Kesihatan Singapura sendiri terlibat secara langsung dalam pengambilan pegawai perubatan dari Malaysia dengan mengadakan temu duga di negara ini. Trend ini perlu diberikan perhatian yang serius oleh kerajaan Malaysia terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kita tidak mahu tindakan MOH Singapura ini diikuti oleh negara asing lain pada masa hadapan. Persoalan yang timbul di sini antara lainnya adakah MOH Singapura melihat terdapat kelemahan dalam pengurusan bakat di sektor perkhidmatan kesihatan di Malaysia, justeru ada peluang untuk merekrut pengamal perubatan kita dengan ‘memikat’ mereka menerusi tawaran-tawaran yang menarik dan lumayan.
Tindakan terdesak dan berani kerajaan Singapura untuk mengadakan sesi temu duga secara langsung di negara ini dengan menjanjikan ganjaran yang lumayan boleh menyebabkan penghijrahan besar-besaran doktor Malaysia ke negara mereka. Apatah lagi kita difahamkan bahawa syarat kelayakan telah dilonggarkan oleh kerajaan Singapura untuk menarik lebih ramai doktor dari Malaysia menyertai sektor perkhidmatan kesihatan negara mereka. Semua graduan perubatan Malaysia dikatakan boleh memohon tanpa perlu melalui sebarang peperiksaan kelayakan seperti sebelum ini. Ini sudah tentu satu tawaran yang amat menarik terutamanya untuk doktor-doktor muda yang masih belum stabil dalam kerjaya mereka.
Tindakan MOH Singapura boleh dianggap sebagai memburu bakat iaitu tindakan agresif menyasarkan bakat yang sudah pun bekerja dan memikat mereka untuk meninggalkan organisasi yang mereka sedang bekerja dengan pelbagai tawaran menarik.
Kita tidak mahu doktor-doktor yang telah dilatih selama bertahun-tahun di institusi pengajian tinggi dan hospital-hospital meninggalkan profesion perubatan di negara ini. Statistik KKM berkaitan jumlah pegawai perubatan yang meletakkan jawatan juga agak menggusarkan.
Seramai 6,417 orang pegawai perubatan lantikan tetap dan kontrak dilaporkan meletak jawatan sejak 2019 sehingga 2023. Daripada jumlah tersebut, 2,385 orang adalah mereka yang berjawatan tetap, manakala baki 4,032 adalah lantikan kontrak. KKM turut merekodkan seramai 1,046 pakar perubatan memilih meninggalkan perkhidmatan awam dalam tempoh sama dan 63 pakar perubatan lain pula memilih bersara pilihan.
Kita bimbang perkembangan terbaru ini akan menjadikan fenomena brain drain (penghijrahan bakat) menjadi semakin kritikal. Menurut satu statistik yang dilaporkan di media, Malaysia menyaksikan kadar penghijrahan yang tinggi, mencecah 5.5 peratus atau melibatkan hampir dua juta tenaga kerja pada 2024. Angka tersebut menunjukkan kadar penghijrahan bakat di negara ini jauh lebih tinggi berbanding purata global iaitu sebanyak 3.3 peratus.
Penghijrahan doktor ke luar negara merupakan satu kerugian yang besar kepada institusi pendidikan awam tempatan dan negara amnya kerana yuran pengajian untuk kursus perubatan hampir ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan sekiranya kita bandingkan dengan jumlah yuran yang dibayar oleh pelajar yang mengikuti kursus perubatan di universiti swasta dan luar negara.
Menurut bekas Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Adeeba Kamarulzaman, kos untuk melatih setiap pelajar perubatan dianggarkan bernilai kira-kira RM1 juta. Kos ini dijangka akan terus meningkat pada masa hadapan mengambil kira situasi ekonomi global yang tidak serba menentu.
Tindakan MOH Singapura untuk melonggarkan syarat kelayakan untuk merekrut doktor Malaysia secara beramai-ramai juga secara tidak langsung adalah satu bentuk pengiktirafan terhadap kualiti graduan perubatan dan sistem pendidikan tinggi di negara ini. Masakan tidak, syarat kemasukan pelajar ke fakulti-fakulti perubatan di negara ini adalah sangat tinggi. Kurikulum dan struktur program perubatan kita juga setanding dengan standard antarabangsa. Graduan perubatan adalah aset negara yang perlu dijaga dan dikekalkan di negara ini dan bukannya sehingga boleh dipikat sewenang-wenangnya oleh pihak lain terutamanya negara luar.
Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua menjelang 2030, iaitu apabila 15 peratus daripada jumlah penduduknya berumur 60 tahun ke atas. Dalam konteks ini, sumbangan pengamal perubatan penting dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang baik.
Kekurangan doktor dan pakar perubatan khususnya dalam bidang geriatrik yang berpunca daripada penghijrahan bakat boleh menyebabkan negara berhadapan dengan krisis kesihatan awam. Ramalan Jabatan Perangkaan bahawa jumlah populasi negara akan mencecah 42.38 juta menjelang 2049 juga harus diambil kira dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan awam yang terbaik pada masa hadapan.
Kita sering mendengar dan membaca tentang beberapa perkara yang dikatakan kelemahan berkaitan pengurusan bakat dalam sektor perkhidmatan kesihatan negara yang perlu diberikan perhatian segera. Antaranya isu berkaitan lantikan sebagai doktor kontrak kepada doktor baharu, kadar elaun on-call, laluan kerjaya yang jelas, peluang menjalani latihan kepakaran, parallel pathway, gaji dan faedah berkaitan, beban kerja, persekitaran kerja dan sebagainya.
Kita mengharapkan satu reformasi yang drastik dan segera dapat dilakukan terhadap ekosistem dalam sektor perkhidmatan kesihatan negara sebagai langkah tuntas untuk menangani isu pengurusan bakat yang boleh membawa kepada penghijrahan. Hanya menerusi kemahuan politik yang kuat, reformasi dalam sektor perkhidmatan kesihatan dapat dilaksanakan dengan segera. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Subramaniam Sri Ramalu ialah pensyarah dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM).










