Apa sumbangan penyelidikan universiti kepada negara?

Apa sumbangan penyelidikan universiti kepada negara?

ADAKAH hala tuju penyelidikan kita benar-benar mendukung aspirasi kedaulatan teknologi dan keselamatan negara?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA dikejutkan apabila sebuah negara yang berdekad lamanya dikenakan sekatan ekonomi dan teknologi, mampu melancarkan serangan balas ketenteraan dengan ketepatan dan keupayaan teknikal tinggi terhadap kuasa tentera paling dominan di rantau Timur Tengah. Ia bukan sahaja sebuah kejutan politik, tetapi tamparan kepada persepsi umum tentang siapa yang benar-benar berkuasa. Lebih penting, ia satu isyarat jelas bahawa kekuatan hari ini tidak semestinya datang dari kekayaan, tetapi dari ilmu yang disinergi dengan strategi nasional yang jelas dan kukuh.

Peristiwa ini bukan sekadar tentang kecanggihan peluru berpandu, dron dan sistem radar. Ia adalah tentang doktrin pengetahuan, bagaimana sesebuah negara membina keupayaan teknologi dari dalam, dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berpandukan kepada kepentingan nasional.

Dalam dunia multipolar pasca-pandemik dan krisis geopolitik yang sangat dinamik hari ini, penguasaan terhadap teknologi dari kecerdasan buatan (AI) ke biosekuriti menjadi asas kepada keunggulan geopolitik.

Menurut laporan Trend Strategik Global 2023, kuasa negara kini bukan sahaja meliputi aset ketenteraan, tetapi juga autonomi teknologi dan daya tahan. Maka, ilmu bukan lagi pilihan akademik tetapi ia adalah komponen pertahanan nasional.

Malaysia sebagai negara hab pendidikan tinggi dengan ekosistem yang mapan, tidak boleh terus berpuas hati dengan kapasiti semasa sebagai pusat ilmu. Universiti kita mesti diletakkan bukan hanya sebagai pengeluar tenaga kerja, tetapi sebagai pemikir strategi negara. Persoalan besar yang perlu dijawab adakah hala tuju penyelidikan kita benar-benar mendukung aspirasi kedaulatan teknologi dan keselamatan negara?

Universiti di Malaysia

Malaysia mempunyai 20 universiti awam, lebih 400 institusi swasta, dan rangkaian pusat penyelidikan dengan dana yang berbilion ringgit. Pelbagai dasar telah dilancarkan sama ada untuk pendidikan tinggi atau sains dan teknologi.

Namun, satu jurang besar masih wujud adalah ketiadaan penyelarasan strategik yang menyeluruh, berasaskan kepentingan nasional jangka panjang.

Universiti masa kini bukan sahaja dituntut menghasilkan pengetahuan dan melatih modal insan, tetapi juga berperanan sebagai penggerak transformasi sistemik bagi menangani cabaran global seperti krisis kesihatan, kecelaruan geopolitik, dan gelombang teknologi disruptif. Namun di Malaysia, peranan transformasi ini masih belum dimaksimumkan. Penyelidikan kita masih cenderung berorientasikan teknikal seperti sitasi, penerbitan dan paten, bukannya menjurus kepada impak strategik jangka panjang terhadap negara.

Misalnya, lebih dari RM2.3 bilion geran penyelidikan telah diagihkan antara 2020 hingga 2024 melalui pelbagai skim. Namun, sistem penilaian masih berpaksikan kebaharuan dan pencapaian akademik, bukan sumbangan terhadap daya tahan nasional. Akibatnya, budaya silo dan persaingan antara institusi lebih dominan berbanding sinergi yang berpandukan kepada matlamat negara secara kolektif.

Realitinya, universiti kita melahirkan ramai saintis dan jurutera, tetapi berapa ramai yang tahu aplikasi ilmunya dalam pertahanan digital, keselamatan data, daya tahan siber atau sekuriti makanan? Kita mengajar pelbagai kursus teknologi, tetapi jarang mengintegrasikan kesedaran geopolitik dan ancaman strategik ke dalam kurikulum.

Apa yang diperlukan bukan dasar baharu, tetapi penyusunan semula keutamaan dan kerangka koordinasi nasional.

Pertama, universiti perlu mengarusperdanakan matlamat strategik negara dalam penyelidikan mereka. Ini memerlukan hubungan yang mantap antara kementerian dan agensi kerajaan, bukan dalam bentuk birokrasi, tetapi dalam bentuk agenda bersama. Teknologi AI, kejuruteraan satelit, propulsi roket, kriptografi kuantum dan simulasi peperangan siber perlu dilihat bukan hanya sebagai bidang akademik, tetapi sebagai pelaburan pertahanan.

Kedua, kita mesti meleraikan budaya silo antara universiti, pusat penyelidikan, agensi keselamatan dan sektor industri. Contohnya, penyelidikan mengenai keselamatan makanan harus bersambung dengan data iklim, strategi pengeluaran domestik dan teknologi agrotek. Kegagalan menyatukan pelbagai kepakaran menyebabkan kita masih bergantung kepada import makanan mentah.

Ketiga, universiti juga mesti menstruktur semula kurikulum dengan pendekatan strategik berpandangan jauh. Menurut Philip Tetlock dan Dan Gardner, sistem pendidikan perlu melatih pelajar bukan sahaja menjadi mahir dalam bidang masing-masing, tetapi juga berkeupayaan menjangka, menilai dan menyesuaikan diri dengan risiko kompleks dan perubahan tidak linear, ciri utama dunia pascanormal hari ini.

Keempat, R&D mesti didorong oleh keperluan negara, bukan hanya permintaan pasaran. Kita tidak boleh hanya menumpukan kepada produk yang boleh dikomersialkan, tetapi mesti memberi tumpuan kepada teknologi yang memberi autonomi seperti sistem navigasi sendiri, bahan pertahanan canggih, perisian keselamatan kebangsaan.

Joseph Nye menyebut dalam konsep soft power, kuasa sesebuah negara bukan hanya dalam senjatanya, tetapi dalam kemampuan mencipta dan menyebarkan ideanya sendiri. Malaysia mesti kembali menjadi pencipta, bukan sekadar pengguna.

Universiti perlu berfungsi sebagai makmal strategi negara. Ia harus menjadi tempat di mana ancaman masa depan dianalisis, penyelesaian dikembangkan, dan arah negara dibentuk berasaskan ilmu. Universiti bukan lagi hanya pusat pengajaran dan penerbitan, ia adalah benteng pertama mempertahankan kedaulatan negara. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) misalnya, sudah mendalami isu ini sejak ia menjadi hos kepada Pengerusi UNESCO dalam Kajian Masa Depan mengenai Kelestarian dan Kesejahteraan.

Malaysia sebenarnya tidak kekurangan pakar. Kita tidak ketandusan dasar. Tetapi kita kurang arah dan komitmen konkrit yang memusatkan ilmu kepada keperluan strategik. Hala tuju R&D negara perlu beralih daripada orientasi pasaran semata-mata kepada orientasi kedaulatan negara.

Jika universiti di Malaysia terus bergerak tanpa koordinasi strategik, tanpa wawasan nasional yang menyeluruh, maka penyelidikan kita hanya akan menjadi artikel yang dibaca segelintir, bukan asas kepada kekuatan negara.

Iran telah menunjukkan bahawa universiti bukan sekadar tempat menghasilkan ijazah, tetapi tapak pembinaan ketahanan negara. Serangan mereka ke atas Israel bukan sekadar episod ketenteraan, tetapi naratif kejayaan pendidikan dan R&D yang disatukan secara berdisiplin di bawah strategi nasional.

Bangsa yang gagal menjadikan ilmu sebagai alat kedaulatan, akhirnya akan menyumbangkan ilmunya kepada kekuatan bangsa lain. Benarlah kata, Nelson Mandela, “Pendidikan adalah senjata yang paling berkuasa yang boleh kita gunakan untuk mengubah dunia.” Namun tanpa strategi nasional yang jelas, senjata itu akan menjadi tumpul atau lebih tragis apabila ia digunakan oleh orang lain untuk menundukkan kita. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah pensyarah di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN