Apa solusi jangka panjang isu insurans kesihatan, perubatan? - Utusan Malaysia

Apa solusi jangka panjang isu insurans kesihatan, perubatan?

gambar hiasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan beberapa langkah sementara dan jangka panjang pada penghujung tahun 2024 hingga 2025 bagi mengurangkan beban kenaikan premium insurans kesihatan(MHIT) yang disebabkan oleh inflasi kos perubatan.

Antara langkah sementara yang diperkenalkan BNM dan pengendali insurans bagi tempoh 2024 hingga 2026 termasuk penyebaran kenaikan premium secara berperingkat. Pengendali insurans dan takaful perlu melaksanakan sebarang kenaikan premium dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun sehingga akhir 2026, dengan had kenaikan tahunan tidak melebihi 10 peratus untuk kira-kira 80 peratus pemegang polisi.

Selain itu, bagi pemegang polisi MHIT asas yang berumur 60 tahun ke atas, sebarang pelarasan premium akibat tuntutan perubatan akan ditangguhkan selama satu tahun polisi.
Jika polisi insurans luput pada 2024 akibat penetapan harga semula, ia boleh diaktifkan semula berdasarkan syarat baharu tanpa perlu menjalani penilaian semula perubatan. Tambahan pula, pengendali insurans diwajibkan untuk menawarkan pilihan produk MHIT alternatif yang setara atau lebih murah tanpa keperluan underwriting tambahan atau caj pertukaran polisi menjelangakhir 2025.

Kerajaan, BNM, pengendali insurans dan hospital swasta turut memperuntukkan dana RM60 juta untuk mempercepatkan pelaksanaan pembaharuan sektor kesihatan.

Inisiatif ini termasuk pelaksanaan model pembayaran Diagnosis-Related Group (DRG) bagi menyeragamkan caj hospital swasta, penerbitan penanda aras kos rawatan dan ubat-ubatan biasa bagi meningkatkan ketelusan harga, serta penggunaan rekod perubatan digital dan langkah-langkah kecekapan kos lain.

Bagi mengukuhkan kawal selia dan penyeliaan, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengadakan beberapa sesi pendengaran awam dan tertutup sejak Februari 2025 bersama pemegang taruh seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan, BNM, dan pengendali insurans. Salah satu hasil utama adalah kewajiban bagi hospital swasta memaparkan harga rawatan bermula 1 Mei 2025 untuk meningkatkan ketelusan.

Di samping itu, Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) turut memainkan peranan penting dengan kerjasama hospital swasta dan pengendali insurans dalam mencadangkan strategi pengawalan kos, termasuk penyebaran premium, penangguhan pelarasan premium, serta pemulihan polisi yang luput.

PELAKSANAAN

Dalam jangka panjang, Kementerian Kesihatan menyasarkan pelaksanaan penuh sistem pembayaran DRG di hospital swasta pada suku kedua 2025 bagi mengawal caj rawatan yang tidak terkawal.

Di samping itu, Pejabat Transformasi Kesihatan (HTO) yang ditubuhkan di bawah Kertas Putih Kesihatan 2023-2024 turut memainkan peranan penting dalam menyelia pelbagai pembaharuan seperti pendigitalan kesihatan, kelestarian pembiayaan kesihatan dan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatansecara menyeluruh.Namun begitu, persoalan utama adalah sama ada tindakan-tindakan ini mencukupi sebagai penyelesaian jangka panjang.

Secara umumnya, langkah-langkah yang diambil menunjukkan komitmen serius dan bersifat menyeluruh, termasuk penangguhan kenaikan premium, pemulihan polisi luput, penawaran produk alternatif yang lebih mampu milik, serta pelaksanaan model pembayaran Diagnosis-Related Group (DRG). Malah, dana RM60 juta untuk pembaharuan sektor kesihatan dan penglibatan pelbagai agensi seperti PAC dan NACCOL mencerminkan usaha bersama yang kukuh antara kerajaan, pengawal selia dan sektor swasta.

Akan tetapi, kebolehupayaan tindakan ini sebagai penyelesaian jangka panjang masih bergantung kepada beberapa faktor penting. Pertama, keberkesanan pelaksanaan model DRG di hospital swasta memerlukan kerjasama penuh daripada penyedia perkhidmatan kesihatan serta pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa.

Kedua, walaupun ketelusan harga dan garis panduan klinikal adalah langkah penting, tanpa penguatkuasaan tegas dan sistem penalti yang berkesan, hospital swasta mungkin masih mengenakan caj rawatan yang berlebihan.

Ketiga, penggunaan teknologi digital dan rekod perubatan elektronik masih dalam peringkat awal dan kejayaan transformasi bergantung kepada infrastruktur teknologi dan latihan sumber manusia.

Selain itu, langkah untuk menangani isu moral hazard dan over-treatment dalam kalangan pemegang polisi juga perlu diperkukuh bagi memastikan sistem insurans kekal mampan dan tidak disalah guna. Perlu juga diingatkan peningkatan kos kesihatan berkait rapat dengan populasi menua, kos teknologi perubatan, dan pergantungan kepada perkhidmatan swasta akibat kapasiti terhad hospital awam.

Oleh itu, bagi memastikan langkah ini benar-benar memberi impak berterusan, pelaksanaannya perlu di sokong oleh instrumen perundangan seperti Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586). Akta ini memberi kerajaan kuasa untuk mengawal selia pengendalian hospital dan klinik swasta dari segi pelesenan, pemantauan kualiti perkhidmatan, dan keselamatan pesakit.

Dalam konteks penyelesaian jangka panjang, kerajaan boleh menggunakan akta ini untuk mewajibkan semua kemudahan swasta mematuhi struktur bayaran rawatan yang telus dan berpatutan, sejajar dengan pelaksanaan sistem pembayaran DRG. DRG bukan sahaja membantu menyeragamkan caj antara hospital tetapi juga mengurangkan risiko caj berlebihan serta rawatan tidak perlu.

JANGKA PANJANG
Melalui akta ini juga, kerajaan boleh mewajibkan paparan harga rawatan secara telus dan terkini serta laporan kos rawatan tahunan bagi setiap kemudahan kesihatan swasta. Ini selaras dengan matlamat jangka panjang untuk meningkatkan akauntabiliti sektor swasta dan memperkasakan pengguna membuat keputusan termaklum berasaskan harga.

Selain itu, Akta 586 juga boleh digunakan untuk memperkenalkan penilaian prestasi klinikal dan kewangan tahunan sebagai syarat pembaharuan lesen operasi. Ini akan memastikan kemudahan kesihatan swasta bukan sahaja mencapai tahap kualiti yang ditetapkan, tetapi juga beroperasi secara efisien dan beretika.

Langkah ini penting dalam mengurangkan pembaziran, mengawal over-treatment serta mengekang aktiviti perniagaan yang meletakkan keuntungan melebihi kebajikan pesakit.

Di samping itu, dalam era pendigitalan penjagaan kesihatan, akta ini perlu dikemas kini untuk menyokong penggunaan rekod kesihatan digital, integrasi data dengan sistem Kementerian Kesihatan, dan pelaporan elektronik kos serta keberkesanan rawatan.

Akhir sekali, penguatkuasaan Akta ini mesti diperkuat dengan peningkatan bilangan pegawai pemantau, audit rawak ke atas bil hospital, dan pelaksanaan tindakan undang-undang terhadap pengamal yang melanggar garis panduan etika perubatan serta peraturan caj.

Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 merupakan tunjang perundangan penting yang perlu dioptimumkan oleh kerajaan untuk memastikan semua langkah jangka panjang dalam membendung kenaikan kos kesihatan dapat dilaksanakan secara berkesan, berterusan dan menyeluruh.

Kesimpulannya, tindakan yang diambil oleh kerajaan adalah wajar dalam jangka pendek hingga sederhana, namun belum mencukupi untuk menjadi penyelesaian jangka panjang melainkan disertai dengan pembaharuan menyeluruh terhadap sistem pembiayaan, kawalan harga yang lebih agresif, pelaburan dalam kesihatan awam, dan penglibatan pengguna dalam membuat keputusan kesihatan secara bijak.

Langkah-langkah ini perlu diteruskan dengan kesungguhan politik, ketelusan, dan pendekatan berasaskan data bagi menjamin sistem kesihatan yang adil dan berdaya tahan untuk generasi akan datang.

Dr. Rosmi Yuhasni Mohamed Yusuf adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan dan Ekonomi UiTM Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN