Bukan semua orang gembira dengan berita baik. Bunyinya agak pelik tetapi itulah hakikat kehidupan. Penerimaan seseorang terhadap sesuatu, dalam kes ini berita baik, bergantung pada di mana dia berdiri.
Perbezaan pandangan, perasaan yang bercampur-campur, impak secara peribadi, malah cemburu dan agenda tersembunyi lazimnya mempengaruhi pendirian seseorang terhadap berita berkenaan.
Begitu juga apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia pada Julai lepas, menyatakan rakyat Malaysia bakal menikmati harga petrol RON95 yang lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selewat-lewatnya akhir September 2025. Secara logiknya ia merupakan berita baik yang harus disambut dan dirai.
Dan itulah reaksi balas majoriti rakyat. Mereka mengalu-alukan berita itu.
Tetapi tidak bagi segelintir yang lain. Berita itu disambut dengan reaksi berbeza. Sinis, curiga, malah menghina. Niat kerajaan dipersoal, kadar penurunan dipersenda, kaedah pelaksanaan dijadikan bahan ketawa.
Mereka ini kemudian tampil membanjiri media-media sosial, menjadi pakar jadi-jadian, mendukung naratif-naratif negatif yang tujuannya mempengaruhi persepsi rakyat bahawa inisiatif itu – yang kemudiannya dikenali sebagai BUDI95 – tidak lebih daripada tindakan populis yang bersifat gula-gula politik.
Sedikit sebanyak mereka berjaya. Ramai yang mula membayangkan pelaksanaan BUDI95 akan mendatangkan banyak masalah. Stesen-stesen minyak akan menjadi sesak dan kelam-kabut dengan pengguna yang perlu mengesahkan kelayakan kad pengenalan dan lesen memandu, sistem tergendala, warga emas yang teraba-raba, kuota yang tidak mencukupi dan seribu satu adegan lagi yang berasaskan andaian.
Pelaksanaan BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat. Kumpulan pertama terdiri daripada anggota ATM, PDRM dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang diberi akses awal sebagai fasa percubaan sebelum pelaksanaan menyeluruh pada 30 September.
Langkah ini berjaya mengurangkan risiko kesesakan pada hari pertama kerana kumpulan ini berfungsi sebagai ujian lapangan sistem penggunaan MyKad di stesen minyak.
Kebimbangan awal bahawa stesen minyak akan menjadi huru-hara ternyata tidak berlaku. Operasi berjalan lancar dengan sedikit masalah teknikal, antaranya cip MyKad rosak, lesen memandu tamat tempoh, atau masalah pengesahan sistem. Namun, secara keseluruhan, laporan lapangan menunjukkan bahawa kebanyakan transaksi berjalan dengan lancar.
Malah, pihak stesen minyak memaparkan notis peringatan agar pengguna memastikan cip MyKad berfungsi bagi mengelak kegagalan semasa pengesahan.
Hal ini boleh dianggap sebagai masalah kecil yang akan berkurangan apabila orang ramai semakin terbiasa dengan sistem baharu.
Ia secara tidak langsung mengingatkan kita pada fasa awal serangan pandemik Covid-19 dahulu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana – sesuatu yang bukan sahaja asing, tetapi tidak pernah terjangka.
Pada mula agak mengelirukan, tetapi dalam tempoh waktu yang singkat semua orang dapat menerimanya sebagai cara hidup baharu.
Segala prosedur yang perlu diikut untuk membolehkan rakyat menikmati BUDI95 hanyalah sebesar hama kalau dibandingkan dengan peraturan yang datang bersama PKP.
Kesan kelancaran BUDI95 dapat dilihat sejak hari pertama apabila kerajaan melaporkan pembelian bernilai RM2.6 juta atau sekitar 1.3 juta liter bahan api pada harga bersubsidi. Jumlah ini meningkat kepada RM3.7 juta pada hari kedua.
Pada 28 September, ia melonjak kepada 11.5 juta liter (RM22.9 juta), dan sehari kemudian, 21.8 juta liter (RM43.7 juta). Dalam tempoh empat hari, jumlah transaksi melebihi RM91 juta dengan hampir tiga juta pengguna unik. Data ini menunjukkan tahap penerimaan yang tinggi dan membuktikan sistem berfungsi tanpa masalah besar.
Dan selepas seminggu, semuanya terus berjalan elok dan lancar. Tidak ada kelam-kabut dan tidak ada karut-marut.
Selepas seminggu juga, BUDI95 inisiatif kerajaan untuk menstruktur semula subsidi bahan api mencapai objektifnya iaitu memastikan subsidi benar-benar dinikmati rakyat Malaysia, mengelak ketirisan kepada bukan warganegara, dan pada masa yang sama memperkenalkan mekanisme yang lebih telus untuk kawalan fiskal negara.
Banyak pakar ekonomi jadi-jadian membuat pengiraan mengenai penjimatan sebelum dan selepas BUDI95 dengan membandingkan harga RON95 sebelum ini iaitu RM2.05 seliter dengan RM1.99 seliter, iaitu perbezaan 0.06 sen seliter.
Perbezaan kecil ini turut menjadi bahan sendaan pengkritik yang merumuskan bahawa dengan perbezaan itu jumlah subsidi yang dinikmati oleh mereka yang menggunakan 300 liter RON95 hanyalah RM18. Jumlah yang tidak cukup untuk membeli sekampit beras.
Ada yang terkeliru dengan pengiraan itu kerana tidak menyedari kadar RM2.05 seliter yang dijadikan perbandingan itu adalah harga selepas subsidi.
Sebab itulah langkah memaparkan harga memaparkan harga rujukan tanpa subsidi (RM2.60) merupakan tindakan yang tepat kerana kerajaan secara terbuka mendedahkan kos sebenar setiap liter yang ditanggung negara.
Paparan harga itu membolehkan rakyat mencongak sendiri bahawa dengan kuota 300 liter pada harga RM1.99 seliter, mereka boleh menikmati penjimatan maksimum sekitar RM183 sebulan berbanding harga tanpa subsidi RM2.60 seliter.
Pelaksanaan struktur dua harga (bersubsidi dan tanpa subsidi) ini juga bukan sekadar menjadikan sistem ini inklusif kepada semua warganegara berlesen, tetapi pada masa sama turut menyempitkan – kalau pun tidak dapat menutup sama sekali ruang untuk eksploitasi oleh bukan warganegara.
Barangkali tidak keterlaluan jika dikatakan BUDI95 boleh dianggap sebagai satu penanda aras terhadap iltizam kerajaan untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat. Seperti kata Perdana Menteri, “Bukan mudah untuk menurunkan harga minyak walaupun enam sen”, namun iltizam yang kuat serta tatakelola dan dasar yang baik membolehkan ia dilaksana.
Di sebalik semua itu, walaupun BUDI95 setakat ini boleh dianggap berjaya, masih ada peringatan penting yang tidak harus diambil mudah oleh kerajaan.
Memang benar, secara umumnya tidak ada kerajaan yang mahu menyusahkan rakyat, apatah lagi dalam sistem demokrasi di mana rakyat yang menjadi penentu terhadap kedudukan kerajaan. Tetapi tidak menyusahkan rakyat tidak harus ditafsirkan sebagai sentiasa mahu memanjakan rakyat.
Ini bermakna langkah-langkah populis bukan sahaja tidak boleh dijadikan sandaran dalam semua keadaan, tetapi harus diambil dengan sangat berhati-hati kerana setiap langkah itu mempunyai kesannya.
Sebagai contoh, jika harga subsidi ditetapkan terlalu rendah tanpa mengambil kira turun naik harga minyak global, beban kewangan negara boleh melonjak.
Kedua, subsidi bahan api yang terlalu murah boleh menggalakkan penggunaan berlebihan, kesesakan lalu lintas dan kelewatan peralihan ke teknologi mobiliti lebih efisien. Ketiga, daripada segi politik, sebaik sahaja manfaat subsidi dirasai rakyat, sukar untuk kerajaan membuat pelarasan pada masa depan.
Dan di sinilah pentingnya komunikasi dasar yang jelas dan konsisten kerana ia kaedah terbaik bagi mengelakkan kerajaan daripada terperangkap dalam path dependency yang membebankan dalam tempoh jangka panjang.
Pada penghujungnya, kejayaan jangka panjang bergantung kepada disiplin kerajaan dalam mengekalkan pendekatan yang diambil menerusi BUDI95 ini sebagai instrumen rasionalisasi subsidi, bukannya gula-gula politik populis.
Jika keseimbangan ini dikekalkan, BUDI95 bukan sahaja melegakan kos sara hidup rakyat, tetapi juga menandakan langkah penting ke arah dasar fiskal yang lebih telus, adil dan mampan untuk masa depan ekonomi negara. Terima kasih PMX.
Datuk Dr. Budiman Mohd. Zohdi ialah Penasihat Strategik J-KOM










