MUKADIMAH
SIAPA yang melaksanakan urusan gaji dan hal ehwal pentadbiran berkaitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM)?
Kewujudan pelbagai kor dalam TDM menimbulkan kekeliruan tentang bidang kuasa dan peranan masing-masing, apabila berkaitan kelewatan bayaran atau kekurangan maklumat dalam urusan kebajikan anggota.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan jurufoto, ISKANDAR ISHAK menemuramah Pengerusi Kor Perkhidmatan Am (KPA), BRIGADIER JENERAL DATUK ZAMZURI HARUN bagi mendapatkan penjelasan.
PERBEZAAN KPA DAN KPD
KPA mempunyai empat komponen utama iaitu Unit Gaji Angkatan Tentera (UGAT), perkeranian, bahagian pencen, perkhidmatan dan pemberhentian selain unit didik yang memainkan peranan dalam aspek berkaitan pendidikan untuk anggota.
Jika dahulu pengambilan anggota bermula dari peringkat Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan kita akan bantu mereka yang ingin menyambung pelajaran dan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Namun kini, tumpuan lebih diberikan kepada aspek pendidikan tinggi seperti ijazah atau kursus yang menetapkan piawaian tertentu bagi mereka yang ingin melanjutkan pengajian sama ada dalam mahupun di luar negara.
Unit perhubungan raya yang menjadi penghubung raya (PR) antara ATM dan orang awam turut berada di bawah KPA. PR memainkan peranan besar sebagai liaison kerajaan tempatan atau tentera lain dalam misi sama ada dalam atau luar negara.
Manakala Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) merangkumi beberapa komponen lain yang dibahagikan mengikut tred seperti pemandu, sajian dan bomba.
Jadi, secara asasnya KPA menjaga sumber manusia yang melibatkan kehidupan seharian anggota tentera seperti pendidikan, dokumentasi dan pengurusan rekod.
SKIM GAJI LEPASAN DIPLOMA
Pada masa ini, hanya sebahagian diploma yang diiktiraf untuk kemasukan anggota lain-lain pangkat (LLP) mengikut keperluan perkhidmatan sama ada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atau Tentera Darat Malaysia (TDM) sendiri.
TLDM, memerlukan bidang marin atau kejuruteraan, manakala untuk TDM pula lebih kepada bidang kemanusiaan, komputer atau perakaunan.
Kita sekarang berusaha untuk memastikan anggota yang mempunyai diploma yang diiktiraf Lembaga Akreditasi Negara (LAN) akan dibayar mengikut kelayakan. Ini bagi menaikkan semangat dan menarik minat anak muda terutama golongan bukan bumiputera menyertai tentera.
Setakat ini kita telah bawa cadangan ini ke peringkat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
CABARAN ANGGOTA TENTERA
Saya beri penekanan terhadap soal imej anggota sama ada pegawai atau LLP.
Pada saya, imej seseorang anggota bukan hanya pada pakaian atau jawatan, tetapi mencerminkan kualiti diri melalui tahap kecergasan fizikal dan indeks jisim badan (BMI).
Dua aspek ini memainkan peranan besar dalam menentukan anggota itu masih relevan dan layak untuk menyertai kursus dalam dan luar negara, dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat atau disambung perkhidmatan hingga tempoh maksimum 21 tahun atau menerima faedah pencen.
Sekiranya gagal dalam Ujian Kecergasan Asas (UKA) dan tidak mencapai BMI ditetapkan 26.9 ke bawah, maka secara automatik individu tersebut dianggap tidak memenuhi syarat kritikal dan akan dinafikan peluang tersebut. Namun, mereka yang memiliki BMI ideal serta lulus larian 2.4 kilometer menunjukkan keupayaan fizikal yang tinggi dan dilihat sebagai anggota yang aktif serta berkualiti.
Saya tekankan perkara ini kerana ia menyentuh usaha mengekalkan profil profesional kor secara keseluruhan. Namun begitu, kita berdepan budaya pemakanan yang memberi kesan kepada tahap kesihatan dan kecergasan anggota. Budaya ini perlu diperbetulkan secara berterusan.
Saya juga melihat wujud stigma lama dalam kalangan anggota infantri, yang sering menganggap kor-kor lain, terutama yang tidak terlibat secara langsung dalam tempur sebagai ‘kurang relevan’ atau ‘kurang aktif’. Persepsi ini sudah tidak lagi sesuai dalam konteks perkhidmatan masa kini.
Saya bertekad untuk mengubah mentaliti ini agar semua kor dalam perkhidmatan dilihat setara dari segi sumbangan, profesionalisme dan keupayaan operasi, tidak kira peranan tempur atau sokongan. Setiap individu adalah duta kepada kor masing-masing dan mereka membawa imej organisasi secara keseluruhan.
KPA DAN TEKNOLOGI
KPA kini menggunakan sistem gaji digital yang membolehkan anggota mencetak slip gaji sendiri secara atas talian. Sistem ini bukan sahaja menjimatkan masa dan sumber, malah meningkatkan kecekapan serta mengurangkan risiko ralat manual.
Setiap anggota boleh mengakses sistem tersebut dengan kata laluan masing-masing, sekaligus memberikan kawalan penuh ke atas maklumat peribadi. Tapi itu bukan bermakna kita serahkan semua data.
Hanya maklumat terpilih dan berkaitan sahaja yang diperlukan agensi berkenaan sahaja boleh diakses. Malah ia dibuat dengan dengan kawalan keselamatan yang ketat. Ini penting dalam konteks rasionalisasi data kerajaan, yang perlu dilaksanakan tanpa mendedahkan keseluruhan
pangkalan data kepada pihak luar.
Di bawah Jabatan Rekod dan Pencen (JRP) pula, sistem berasaskan digital digunakan untuk merekod maklumat kemasukan anggota, cuti, pencapaian termasuk anugerah pingat, serta rekod pengundian bagi anggota yang layak.
Ini membantu memastikan ketelusan dan penyelarasan maklumat sumber manusia dalam perkhidmatan ketenteraan dan awam.
ANGGOTA TENTERA GUNA TIK TOK?
Saya memaklumkan kepada Pengarah Perhubungan Raya untuk sentiasa mengingatkan anggota mengenai tanggungjawab dalam menjaga imej organisasi apabila berinteraksi di media sosial.
Isunya bukan soal larangan mutlak terhadap penggunaan media sosial, tetapi tanggungjawab peribadi anggota dalam menilai perkara yang sesuai untuk dikongsi.
Pihak pengurusan tidak berkompromi dalam hal ini. Kita mengeluarkan garis panduan rasmi berkaitan penggunaan media sosial yang memberi panduan jelas kepada anggota agar tidak terjerumus dalam situasi yang boleh menjejaskan reputasi perkhidmatan secara keseluruhan.
PENAMBAHBAIKAN
KPA perlu terus berkembang sebagai sebuah organisasi yang berdaya saing, dibina atas landasan integriti, ilmu dan kecekapan para pegawai serta anggota.
Peribadi seorang anggota tentera itu adalah asas utama. Jika perkara asas seperti disiplin, penampilan dan kecergasan dijaga, maka perkara lain juga akan turut teratur.
Saya berharap kepimpinan akan datang terus mengekalkan yang baik, menilai semula perkara yang kurang berkesan dan mencari penyelesaian lebih baik untuk masa hadapan. Fokus kita bukan hanya kekalkan prestasi, tetapi tingkatkan pencapaian KPA dalam latihan, kursus, kerjaya dan jati diri anggota.
Saya selalu ingatkan, jangan sombong dengan kelebihan yang ada. Ilmu dan pengalaman perlu dikongsi. Jika ada rakan skuad yang masih tertinggal, bantu mereka agar dapat maju bersama sebagai satu pasukan. – UTUSAN










