Tangani pencemaran di laut

Tangani pencemaran di laut

KRISIS lautan yang dihadapi Malaysia tentang pencemaran plastik di lautan dan penangkapan ikan berlebihan di kawasan pantai masih lagi belum selesai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI Lautan Sedunia yang disambut pada 8 Jun setiap tahun, dicadangkan oleh Pusat Pembangunan Lautan Antarabangsa dan Institut Lautan Kanada semasa Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992. Berbagai tema ditengahkan semasa sambutan Hari Lautan Sedunia dengan tujuan asas untuk pendidikan dan kesedaran awam tentang lautan, peranan lautan dan faedah kepada manusia. Sempena Hari Lautan Sedunia, selalunya diadakan seminar, persidangan dan perbincangan berkaitan lautan.

Antara perkara penting yang dibincangkan adalah mencari penyelesaian untuk memulihara ekosistem lautan dan menggunakan laut serta sumber lautan secara lestari. Perbincangan selalunya melibatkan banyak pihak seperti agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan, ahli akademik, sektor swasta, dan masyarakat sivil bagi menjalinkan perkongsian dalam menyelesaikan masalah berkaitan ekosistem lautan agar sihat dan berdaya tahan.

Di Malaysia juga terdapat berbagai agensi kerajaan dan NGO yang terlibat dalam menyambut Hari Lautan Sedunia. Antara jabatan kerajaan yang pernah terlibat dalam sambutan Hari Lautan Sedunia ialah agensi-agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kementerian Ekonomi, Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, dan Institut Maritim Malaysia (MIMA).

Kesemua jabatan ini dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan dengan lautan seperti Polis Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia mesti terlibat sama dalam meraikan sambutan Hari Lautan Sedunia. Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara maritim yang mempunyai pantai sepanjang 4,675 kilometer berhadapan dengan Selat Melaka, Selat Johor, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi, sambutan Hari Lautan Sedunia sangat signifikan terutama hal berkaitan ekonomi, alam sekitar dan keselamatan negara yang sangat dipengaruhi oleh aktiviti maritim.

Pihak NGO yang aktif dalam menyambut Hari Lautan Sedunia ialah Reef Check Malaysia, WWF-Malaysia, Borneo Komrad dan Green Semporna, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM). Aktiviti pihak NGO lebih memfokuskan kepada pendidikan, pemantauan ekosistem batu karang, pembersihan pantai termasuk inovasi penyelesaian pencemaran plastik di lautan, amalan perikanan secara lestari, melindungi persekitaran marin secara am dan penglibatan komuniti dalam pemuliharaan batu karang, rumput laut dan hutan bakau serta mencadangkan kawasan lautan yang perlu dilindungi.

Sambutan Hari Lautan Sedunia juga adalah untuk menghormati lautan dan hasil yang didapati darinya. Manusia sangat bergantung kepada sumber perikanan sebagai makanan dan haiwan-haiwan lain yang mendiami lautan. Dengan memelihara kestabilan dan kelestarian ekosistem lautan akan memanfaatkan manusia jangka panjang. Manusia juga bergantung kepada lautan sebagai laluan penting aktiviti pengangkutan dan perdagangan antarabangsa.

Ancaman kepada ekosistem lautan seperti pencemaran, pemanasan global dan penangkapan ikan berlebihan adalah hasil perbuatan manusia yang mesti disedari semua. Sempena sambutan Hari Lautan Sedunia ini, semua pihak diberikan peringatan dan kesedaran tentang pentingnya ekosistem lautan yang merupakan 70 peratus daripada kawasan permukaan bumi dan hanya 10 peratus sahaja yang telah diterokai manusia.

Lautan yang meliputi 70 peratus daripada planet bumi menyokong kehidupan manusia dan organisma lain di dunia ini. Sebanyak 50 peratus daripada bekalan oksigen di bumi yang menjadi keperluan kepelbagaian biologi adalah dari lautan. Memandangkan lautan juga merupakan kunci utama ekonomi dunia sekarang dan masa hadapan, maka ia perlu diberikan perhatian yang serius. Kekurangan 90 peratus populasi ikan dan 50 peratus batu karang musnah akibat aktiviti manusia mesti ditangani oleh semua negara di dunia.

Dalam keadaan kecelaruan politik dunia, keadaan ekonomi yang tidak stabil, gaya hidup manusia yang berubah dan tidak lestari, kurang kesepakatan antara negara dan tidak cukup pengetahuan saintifik, kemampuan manusia untuk memulihara lautan menjadi suatu persoalan yang besar. Isu kekurangan sumber protein penting untuk manusia, pencemaran yang berlaku di lautan dan perubahan iklim, adalah isu global dan tanggungjawab semua.

Selain daripada sumber perikanan dan oksigen, lautan juga menyediakan sumber ubat-ubatan dan agen mengatur keadaan iklim dunia. Perbincangan berkaitan lautan sepatutnya tidak terhad kepada lautan dalam, perikanan dan pencemaran plastik sahaja. Kawasan pantai juga mempunyai ekosistem batu karang, rumput laut dan kawasan hutan bakau. Dalam ekosistem ini, banyak sumber ekonomi dan perubatan yang boleh diterokai.

Namun kawasan ini banyak berhadapan dengan tekanan akibat aktiviti manusia yang memusnahkan habitat hidupan laut dan pencemaran pantai. Jarang sekali terdapat perbincangan umum berkaitan organisma seperti kuda laut, belangkas, gamat dan ikan pari dalam media atau penyelidikan yang dilakukan. Hidupan ini mempunyai keunikan tersendiri dari segi petunjuk kepada kestabilan kepelbagaian biologi, sumber perubatan, dan mempunyai nilai ekonomi yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Malaysia pernah mempunyai Direktorat Oseanografi Kebangsaan yang bertanggungjawab dalam hal polisi lautan kerajaan. Pengurusan sumber lautan merupakan perkara penting dalam hal berkaitan dasar lautan kerajaan. Krisis lautan yang dihadapi Malaysia tentang pencemaran plastik di lautan dan penangkapan ikan berlebihan di kawasan pantai masih lagi belum selesai. Sebagai sebuah negara maritim, kajian berkaitan kepelbagaian biologi mesti diperkasakan.

Kajian dan penerokaan lautan seperti Lautan Pasifik yang paling luas dan dalam antara Asia dan Amerika, Lautan Atlantik antara Amerika, Eropah dan Afrika, Lautan Hindi antara Asia, Afrika dan Australia, Lautan Artik yang cetek dan sejuk di Kutub Utara dan Lautan Antartika di Kutub Selatan, sangat mencabar. Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang kerjasama pelbagai hala dengan enam negara Indonesia, Filipina, Timor-Leste, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon untuk melindungi sumber marin dan pantai masih belum aktif. – UTUSAN

AHMAD Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN