KUALA TERENGGANU – Sebanyak 354.68 kilogram sisa dikumpulkan menerusi Program Sukarelawan Antarabangsa Fasa 4: Dive Against Debris®️ (D.A.D) di Pulau Redang, hari ini.
Daripada jumlah itu, 56.05 kilogram sisa marin dikeluarkan dari dasar laut oleh 31 penyelam sukarela skuba tempatan dan antarabangsa manakala 298.63 kilogram lagi dipungut di kawasan pantai oleh sukarelawan bukan penyelam, sekali gus membuktikan pencemaran marin masih memerlukan perhatian dan tindakan berterusan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Shafizi Ismail berkata, program berkenaan bukan sekadar membersihkan dasar laut dan pantai, malah lebih penting menghasilkan data saintifik mengenai jenis, kuantiti dan lokasi sisa marin yang boleh membantu kerajaan merangka dasar serta tindakan lebih berkesan bagi menangani pencemaran laut.
Beliau berkata, data yang diperoleh menerusi selaman sukarelawan membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti tahap pencemaran, jenis sisa marin serta kawasan yang memerlukan tindakan segera, sekali gus menjadi asas kepada perancangan dasar, penguatkuasaan dan usaha pemuliharaan jangka panjang.
Shafizi turut memuji Kenanga Investors Berhad (KIB) yang menaja kesemua empat fasa program berkenaan sejak 2023. Program itu dianjurkan oleh Black Eye Scuba Team (BEST) dengan pemantauan PADI AWARE Foundation, sebuah entiti antarabangsa yang berpangkalan di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.
“Keindahan Pulau Redang adalah aset amat bernilai kepada Terengganu. Namun, pencemaran sisa marin, plastik dan pukat hantu yang semakin membimbangkan menuntut tindakan segera daripada semua pihak.
“Kehadiran sukarelawan hari ini bukan sahaja membantu membersihkan dasar laut, malah menghasilkan data penting yang boleh digunakan untuk memperkukuh usaha pemuliharaan demi manfaat generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata, data yang dikumpulkan sepanjang program kali ini akan dibentangkan kepada kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi membolehkan langkah susulan dilaksanakan. Data itu juga akan disalurkan kepada pangkalan data global PADI AWARE Foundation serta Jabatan Perikanan bagi menyokong usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDGs), khususnya SDG 13 (Tindakan Iklim) dan SDG 14 (Kehidupan di Bawah Air).
Menurut beliau, sepanjang tiga fasa program dari 2023 hingga 2025, sebanyak 148.56 kilogram sisa marin berjaya dikeluarkan dari dasar laut, manakala 552.24 kilogram sisa dikumpulkan menerusi aktiviti pembersihan pantai.
Katanya, statistik itu menunjukkan pencemaran marin masih berada pada tahap yang memerlukan tindakan berterusan kerana memberi kesan kepada hidupan laut, terumbu karang serta sumber pendapatan komuniti nelayan.
Shafizi berkata, program berkenaan turut membuktikan bahawa usaha memulihara alam sekitar memerlukan kerjasama erat antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan masyarakat antarabangsa.
Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri Terengganu kini berada pada peringkat akhir untuk mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bagi memperkukuh sistem pengurusan sisa pepejal secara lebih tersusun.
Katanya, pelaksanaan akta itu dijangka memberi manfaat kepada Pulau Redang melalui pengurusan sisa yang lebih sistematik, sekali gus mengurangkan pencemaran marin dan membuka peluang kepada pembangunan ekonomi hijau menerusi aktiviti kitar semula.
Dalam pada itu, beliau berkata, program berkenaan turut memberi penekanan kepada pendidikan alam sekitar apabila sukarelawan mengadakan sesi kesedaran di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang.
Program yang menghimpunkan lebih 100 sukarelawan tempatan dan antarabangsa itu turut disertai peserta dari Nigeria, Bangladesh, Pakistan, Somalia dan China, yang sebahagian besarnya merupakan pelajar pascasiswazah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM). – UTUSAN








