Sejauh mana internet selamat untuk kanak-kanak, remaja?

Sejauh mana internet selamat untuk kanak-kanak, remaja?

PERANAN untuk melindungi anak-anak atau generasi muda seharusnya dipikul bersama supaya mereka dapat menikmati manfaat teknologi tanpa menjadi mangsa kepada ancaman siber.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM lanskap digital yang semakin rancak, dunia dalam talian bukan lagi ruang asing, ia telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, terutamanya bagi golongan muda.

Namun, terdapat pelbagai risiko yang tidak boleh dipandang ringan. Malah, ancaman siber terhadap golongan kanak-kanak kini bukan lagi isu terpencil. Keselamatan dalam talian bukan lagi satu pilihan, tetapi telah menjadi satu keperluan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melancarkan Kempen Internet Selamat (KIS) sebagai usaha proaktif yang menyasarkan pendidikan dan perlindungan terhadap pengguna, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Kempen ini memberi tumpuan terhadap pendidikan, kesedaran dan perlindungan, dengan sasaran lebih 10,000 sekolah dan institusi pengajian tinggi seluruh negara. Antara isu utama yang cuba ditangani melalui KIS termasuk buli siber, pengantunan dalam talian, penipuan identiti, penyebaran kandungan palsu serta kesan psikologi seperti kemurungan akibat perbandingan sosial di media sosial.

Melalui pembentukan modul khas, pelajar, guru, dan ibu bapa diberi pendedahan mengenai panduan menggunakan internet secara selamat dan beretika. Fokus utama adalah untuk mendidik kumpulan sasar mengikut umur dan peranan masing-masing berkaitan penggunaan media sosial secara selamat.

Kepentingan KIS
Kanak-kanak hari ini membesar dalam dunia teknologi. Tanpa bimbingan dan pemantauan, mereka mudah terdedah kepada risiko seperti buli siber, penipuan dalam talian, eksploitasi seksual, dan pengantunan oleh pedofilia.

Golongan ini belum cukup matang untuk mengenal pasti risiko yang terselindung di sebalik skrin. Tanpa pendidikan yang sewajarnya, mereka mudah menjadi mangsa.

Kempen seperti KIS bertujuan menerapkan ilmu dan kesedaran awal kepada kanak-kanak tentang hak mereka, batasan dalam dunia digital, dan bagaimana untuk bertindak sekiranya mereka berdepan dengan situasi mencurigakan.

Menerusi pelaksanaan KIS ini, ia menekankan bahawa kanak-kanak di bawah usia 13 tahun tidak sepatutnya memiliki akaun media sosial, kerana platform tersebut sering mengandungi kandungan yang tidak sesuai dan berisiko.

Lebih penting, KIS bertujuan melahirkan pengguna media sosial yang bertanggungjawab dan beretika. Remaja akan dididik tentang privasi digital, kesan jangka panjang kandungan yang dikongsi, serta bagaimana mengenal pasti maklumat palsu dan melaporkan kandungan berbahaya.

Langkah ini sejajar dengan hasrat kerajaan memperkukuh ekosistem digital yang lebih selamat melalui penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian yang berkuat kuasa Januari lalu.

Peranan Ibu Bapa dan Komuniti
Ibu bapa dan guru kekal sebagai pelindung barisan hadapan. Tanpa bimbingan mereka, akses teknologi yang luas boleh bertukar menjadi racun kepada pembangunan minda dan emosi kanak-kanak.

KIS menyediakan platform dan ruang untuk komunikasi terbuka antara anak dan ibu bapa, termasuk menganjurkan bengkel kesedaran serta memberi sokongan komuniti dalam mendepani isu keselamatan siber.

Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memastikan keselamatan anak-anak di alam maya. Mereka disarankan untuk sentiasa memantau aktiviti dalam talian anak-anak, menetapkan had masa penggunaan peranti, dan berbincang secara terbuka mengenai bahaya yang mungkin dihadapi.

Guru pula bukan sekadar berperanan sebagai pendidik akademik, tetapi juga berperanan dalam menyampai pendidikan keselamatan digital secara langsung kepada murid melalui silibus, aktiviti bilik darjah mahupun program sekolah.

Mengintegrasi literasi digital dalam mata pelajaran mampu melahirkan murid yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga tahu cara menggunakannya secara berhemah.

Guru akan dilengkapi dengan latihan dan panduan khusus di bawah KIS agar mereka dapat mengenal pasti risiko digital serta cara menanganinya secara berkesan.

Justeru, guru boleh bertindak mengesan perubahan tingkah laku murid yang mungkin menjadi petanda awal kepada isu seperti buli siber atau ketagihan gajet.

Guru juga berperanan sebagai penghubung antara murid dan ibu bapa, dengan berkongsi maklumat penting atau memberi nasihat apabila diperlukan.

Kempen ini turut menekankan bahawa keselamatan digital bukan hanya tugas pihak sekolah atau kerajaan sahaja, ia adalah tanggungjawab bersama masyarakat. Komuniti diseru untuk bersama-sama menyokong usaha ini dengan menyebarkan kesedaran dan menyediakan sokongan kepada keluarga yang memerlukan.

Sebagai contoh, komuniti setempat boleh menganjurkan pelbagai program berkaitan seperti bengkel keselamatan internet di peringkat kampung atau taman perumahan.

Seterusnya, mewujudkan jaringan sokongan antara ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat untuk berkongsi maklumat serta menangani isu yang timbul secara kolektif.

Sekiranya terdapat aktiviti dalam talian mencurigakan atau penyebaran kandungan negatif, komuniti boleh bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa.

Komuniti juga perlulah sentiasa mendorong anak muda menyumbang secara positif dalam ruang digital, contohnya dengan menghasilkan kandungan yang mendidik dan menyebarkan nilai murni.

Berada dalam komuniti yang peka dan bertanggungjawab, ekosistem digital negara boleh menjadi lebih selamat dan berdaya tahan.

Dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia dan penyedia platform digital seperti TikTok dan Facebook, Kempen Internet Selamat bukan hanya mampu melindungi generasi muda masa kini tetapi juga membina asas kukuh untuk masa depan.

Melalui pelaksanaan Kempen Internet Selamat ini, Malaysia mengambil langkah berani untuk memastikan ruang digital yang lebih selamat bagi generasi akan datang. Sudah pasti, usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak, kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa, dan masyarakat untuk membina persekitaran dalam talian yang selamat, beretika, dan berdaya tahan.

Langkah ini selaras dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2025, yang bertujuan memperkukuh kawal selia media sosial dan melindungi pengguna daripada kandungan berbahaya.

Kempen ini bukan sekadar program jangka pendek. Bahkan, ia pelaburan strategik negara dalam membentuk generasi digital yang celik teknologi, beretika dan selamat dalam talian.

Keselamatan dalam talian adalah tanggungjawab bersama. Peranan untuk melindungi anak-anak atau generasi muda seharusnya dipikul bersama supaya mereka dapat menikmati manfaat teknologi tanpa menjadi mangsa kepada ancaman siber.

Internet yang selamat tidak akan wujud tanpa tindakan bersama. Justeru, semuanya bermula dengan pendidikan, kesedaran dan peranan aktif setiap anggota masyarakat. – UTUSAN

DR. Siti Nasarah Ismail ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN