'Rela bekerjasama dengan MCA demi kebaikan penduduk'

‘Rela bekerjasama dengan MCA demi kebaikan penduduk’

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Yew Jia Haur menjalankan tugasnya sebelum berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

BUKAN perkara mudah untuk memikul tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dalam masa sama memelihara serta mengekalkan keharmonian antara parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
Namun, ADUN Teratai, YEW JIA HAUR tetap menjalankan tanggungjawab dalam tempoh berbaki dua tahun untuk ‘melangsaikan’ segala tugas sebelum berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang.
Ikuti temubual eksklusif Jia Haur bersama wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR di Pusat Khidmat DUN Teratai, baru-baru ini.

TAMBAH BAIK DI DUN TERATAI
Seperti yang disebutkan dalam manifesto, kerja saya lebih tertumpu kepada infrastruktur dan kemudahan orang awam di sini. Tiada isu yang terlalu besar. Dulu ada masalah sedikit berkaitan dengan banjir dan tanah runtuh.

Mengikut statistik ataupun data dikeluarkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), banyak tempat atau kawasan yang berisiko ancaman tanah runtuh. Kita mengesan sebanyak lebih 300 kawasan berkaitan masalah tersebut.

Dalam jumlah tersebut, 260 daripadanya adalah cerun dan berisiko tinggi. Lebih 50 kawasan dalam kategori sangat bahaya.

Tetapi dari semasa ke semasa, MPAJ memantau sekiranya ada pergerakan tanah. Apa yang kita lakukan, ada bahagian ditutupi kanvas, pasang jaring, malah sebahagian kawasan dikonkritkan. Kita akan memastikan penduduk yang tinggal berhampiran dipantau dengan lebih teliti.

Untuk isu banjir, ada beberapa tempat ataupun taman mengalami banjir kilat. Contohnya, Taman Muda. Ada penduduk mengadu banjir kilat berlaku hampir 30 tahun lalu. Setiap kali hujan, mesti banjir. Tetapi isu ini juga sudah diselesaikan.

Saya bawa semua agensi terlibat termasuk Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Sisa Pepejal untuk buat satu kajian. Kita cari punca berlakunya banjir dan mengenal pasti beberapa saliran ataupun longkang tersumbat di kawasan perumahan tersebut. Malah ada perparitan, longkang dan saliran yang tidak pernah dinaik taraf, maka sebab itu berlakunya banjir.

INFRASTRUKTUR BERUSIA 50 TAHUN
Kebanyakan kawasan perumahan di sini sudah lama, yang berusia 50 tahun. Jadi, ada keperluan untuk menaik taraf jalan raya dan longkang. Ini termasuk projek di hadapan Hospital Ampang. Kita ada projek naik taraf untuk melebarkan jalan raya dan juga jambatan di situ kerana ia merupakan jalan yang paling sibuk. Projek tersebut dianggarkan siap pada hujung tahun ini dengan kos melibatkan RM9.8 juta, ditanggung Kerajaan Negeri Selangor.

Banyak lagi masalah ataupun kerja-kerja belum selesai. Saya ambil contoh projek mengecat Flat Taman Muda, yang baru sahaja siap. Flat kos rendah itu tidak pernah dicat dalam tempoh 50 tahun. Jadi, saya membuat permohonan kepada Kerajaan Negeri Selangor di bawah projek Selangor Penyayang untuk mendapatkan dana sebanyak RM500,000 bagi flat berkenaan.

Daripada jumlah itu, kita jimat RM100,000. Saya merancang untuk mencari flat kos rendah lain yang memerlukan bantuan sebegini. Pun begitu, permohonan untuk tahun ini masih belum dibuka.

Langkah-langkah awal ini diambil bagi mengelakkan kejadian runtuhan seperti Highland Tower tidak berulang.

PRN SELANGOR DISEGERAKAN?
Itu merupakan satu strategi politik, saya kira sebagai ahli parti ataupun ahli politik, keputusan ini tidak dibuat oleh seorang ataupun segelintir orang sahaja. Ia meliputi semua pemimpin yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan selepas perbincangan terperinci. Cuma pada pandangan saya, tempoh sepenggal tidak cukup untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat. Jika bertanya kepada ahli politik lain pun, mereka akan jawab perkara sama.

Kalau diberi 10 tahun pun, tidak akan cukup juga kerana ada perkara-perkara yang perlu diberi keutamaan, ada isu yang berjaya, sedang dan akan diselesaikan. Jadi bagi saya, gunakan masa dengan sebaiknya selama mana kita menjadi ADUN.

MERANGKA PENYELARASAN SEMPADAN
Saya sedang merangka usul untuk dibawa pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang tentang poskod sempadan antara Selangor dan Kuala Lumpur. Contohnya, Parlimen Pandan dan bangunan MPAJ terletak di bawah DUN Teratai tetapi alamat menara berposkodkan Kuala Lumpur.

Sementara ada penduduk poskodnya di Kuala Lumpur tetapi menetap di Selangor menyebabkan mereka kehilangan keistimewaan dan manfaat rakyat Selangor. Kerajaan Negeri Selangor pula menawarkan pelbagai program kebajikan.

Satu lagi perkara penting apabila segelintir rakyat merasakan tidak perlu keluar mengundi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana beralamatkan Kuala Lumpur, sedangkan mereka adalah pengundi Selangor yang beralamat Kuala Lumpur. Perkara ini juga terjadi di kawasan lain seperti Kepong, Sepang dan lain-lain. Ini bukan salah sesiapa kerana mengikut sejarah, Kuala Lumpur dikeluarkan daripada Selangor pada 1974.

PERTAMA KALI BERKEMPEN UNTUK UMNO
Saya masih ingat, pada PRN yang lepas, semasa kita berkempen, Ketua Bahagian UMNO pun datang berceramah untuk saya. Sejak UMNO ditubuhkan sehingga hari ini, ia juga adalah kali pertama mereka berceramah, berkempen untuk seorang calon DAP. Ini memang sejarah untuk DAP dan UMNO.

Dulu kita berlawan antara satu sama lain tetapi sekarang saya berdiri di atas pentas bersama dengan Ketua Bahagian UMNO. Jadi saya rasa ini adalah satu lembaran baharu politik di Malaysia, di mana saya rasa suasana politik itu lebih matang daripada dahulu.

Malah, kalau kita lihat semula pada parti politik di Eropah ataupun di negara-negara lain yang lebih demokrasi, pada masa pilihan raya, mereka boleh bertanding secara berasingan. Tetapi selepas menang dalam pilihan raya, mereka akan bincang untuk menubuhkan kerajaan. Melihat kepada keadaan di

Malaysia, tiada satu parti politik pun boleh menubuhkan kerajaan. Jadi kita perlu bekerjasama dengan parti-parti politik lain.

Jadi, ini merupakan suasana politik yang lebih matang dari segi mentaliti mahupun ideologi. Saya tidak pasti sama ada pada masa hadapan, kita boleh bekerjasama lagi ataupun bertanding berasingan. Tetapi dari segi polisi, sebagai seorang wakil rakyat, saya rasa tujuan kita untuk menjadikan negara ini lebih maju, bukan memainkan sentimen keagamaan ataupun perkauman yang boleh menjejaskan negara.

TIADA MASALAH DENGAN MCA
MCA masih di bawah Barisan Nasional (BN). UMNO adalah ketua ataupun pemimpin utama dalam gabungan parti itu. Jadi, MCA perlu dengar ataupun bergerak bersama kerana MCA dalam parti komponen BN. Tetapi kita nampak MCA pada masa kini cuba menyerang DAP, ataupun mereka lebih fokus kepada DAP, bukan polisi negara.

Tetapi di kawasan saya, tiada masalah dengan MCA. Kita boleh duduk dengan mereka demi kebaikan penduduk. Saya pun bersyukur juga sebab MCA tidak menyerang saya sangat.

Cuma secara keseluruhan sama ada di peringkat nasional ataupun peringkat kebangsaan, bukan senang mahu bekerjasama dengan MCA dan parti itu sendiri perlu berubah demi rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN