Pengguna juga perlu main peranan pantau harga barang

Pengguna juga perlu main peranan pantau harga barang

PENGGUNA sebagai pihak yang aktif dan berperanan penting dalam sistem pasaran mampu memperkukuh daya kawalan terhadap sebarang bentuk manipulasi harga oleh peniaga yang tidak beretika.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM suasana ekonomi global yang tidak menentu, rakyat Malaysia kini berdepan pelbagai tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat. Di peringkat antarabangsa, ketegangan geopolitik seperti konflik bersenjata antara Iran dan Israel telah menjejaskan kestabilan pasaran minyak dunia. Kesan langsung daripada ketidakstabilan ini adalah peningkatan kos pengangkutan dan logistik yang akhirnya mempengaruhi harga barangan keperluan di peringkat pengguna.

Dalam masa yang sama, Amerika Syarikat (AS) telah mengenakan semula cukai ke atas barangan import dari China menerusi dasar yang dikenali sebagai Tarif Trump. Langkah ini dijangka akan meningkatkan harga bahan mentah serta barangan perkilangan, sekali gus memberi kesan limpahan kepada negara-negara pengguna seperti Malaysia.

Di peringkat tempatan pula, pelaksanaan kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) turut akan memberi tekanan kepada harga barangan dan perkhidmatan harian. Gabungan faktor global dan domestik ini menyebabkan isu kenaikan harga menjadi semakin ketara, sekali gus menjejaskan kuasa beli isi rumah terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Oleh itu, usaha menangani kenaikan harga perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan melibatkan semua lapisan masyarakat. Salah satu pendekatan yang terbukti berkesan ialah pelaksanaan pemantauan harga secara komuniti. Pendekatan ini selaras dengan konsep Prakarsa Pendayaupayaan

Pengguna atau ringkasnya 3P yang menekankan tiga elemen utama iaitu pendidikan, akses kepada maklumat dan tindakan oleh pengguna.

Kuasa Komuniti Dalam Mengawal Harga
Pemantauan harga secara komuniti merupakan usaha kolektif oleh ahli masyarakat untuk merekod, melaporkan dan menilai perubahan harga barangan di peringkat tempatan. Langkah ini menjadikan pengguna sebagai pihak yang aktif dan berperanan penting dalam sistem pasaran. Ia juga memperkukuh daya kawalan terhadap sebarang bentuk manipulasi harga oleh peniaga yang tidak beretika.

Negara-negara seperti Filipina, India dan Jepun telah membuktikan keberkesanan model ini. Di Filipina, program Bantay Presyo melibatkan sukarelawan komuniti untuk melaporkan harga barangan asas secara berkala. Di India pula, Price Monitoring Cell di bawah Kementerian Hal Ehwal Pengguna bekerjasama dengan pertubuhan pengguna bagi mengumpul data harga secara digital. Sementara itu, di Jepun, persatuan suri rumah berperanan sebagai pemantau harga yang turut terlibat dalam proses penggubalan subsidi oleh kerajaan.

Kejayaan model komuniti ini menunjukkan bahawa data akar umbi yang dikumpulkan secara sistematik bukan sahaja meningkatkan ketelusan pasaran, tetapi turut membantu pihak berkuasa merangka dasar kawalan harga yang lebih berkesan.

Gabungan 3P Dalam Tindakan Komuniti
Penglibatan komuniti dalam pemantauan harga memberi kesan langsung kepada kesedaran pengguna terhadap hak dan tanggungjawab mereka. Ini berkait rapat dengan elemen pertama dalam 3P iaitu pendidikan pengguna. Apabila pengguna mengetahui kaedah merekod harga dan memahami trend harga semasa, mereka lebih bersedia membuat keputusan pembelian yang bijak dan rasional.

Teknologi juga memainkan peranan penting dalam menyediakan akses kepada maklumat yang tepat. Penggunaan aplikasi seperti Price Catcher oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup membolehkan pengguna melaporkan harga secara terus. Penggunaan media sosial dan aplikasi perbualan seperti WhatsApp dan Facebook turut membantu komuniti berkongsi maklumat harga dengan cepat dan meluas. Ini mencerminkan elemen kedua dalam 3P iaitu akses kepada maklumat yang telus dan mudah.

Akhir sekali, tindakan aktif oleh pengguna seperti penubuhan skuad pemantau harga di peringkat taman perumahan atau komuniti setempat merupakan manifestasi kepada elemen ketiga dalam 3P. Sukarelawan boleh menjalankan tinjauan harga secara berkala dan melaporkannya kepada pihak berkuasa atau menyebarkannya dalam kalangan komuniti. Langkah ini mampu mewujudkan tekanan sosial kepada peniaga yang menaikkan harga secara melampau.

Sokongan Institusi dan Media
Pelaksanaan pemantauan harga secara komuniti perlu disokong oleh latihan asas dalam kaedah merekod data yang objektif dan sahih. Latihan ini boleh dijalankan oleh badan pengguna seperti MACFEA atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan yang prihatin terhadap isu kepenggunaan. Pendidikan secara berstruktur dapat mengelakkan penyebaran maklumat palsu yang boleh menjejaskan keberkesanan inisiatif ini.

Media pula memainkan peranan sebagai penggerak kesedaran dan penyebar maklumat kepada masyarakat umum. Liputan mengenai aktiviti pemantauan harga boleh memberi dorongan kepada masyarakat lain untuk turut serta serta memberi tekanan sosial kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Manfaat Kepada Ekonomi Tempatan
Kestabilan harga di peringkat komuniti membantu mengelakkan berlakunya inflasi melampau dan mengekalkan kuasa beli rakyat. Ini memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, terutamanya bagi perniagaan kecil dan sederhana yang bergantung kepada perbelanjaan harian pengguna. Keadaan ini juga menyumbang kepada kesejahteraan hidup masyarakat secara keseluruhan.

Pemantauan harga secara komuniti merupakan satu strategi rakyat untuk rakyat. Ia bukan sahaja membantu menangani isu kenaikan harga barangan, tetapi juga membentuk masyarakat pengguna yang lebih bertanggungjawab dan berdaya saing. Apabila digabungkan dengan konsep Prakarsa

Pendayaupayaan Pengguna yang merangkumi pendidikan, akses dan tindakan, komuniti dapat memainkan peranan penting dalam mewujudkan pasaran yang lebih adil dan telus.

Dalam suasana global yang penuh ketidaktentuan seperti konflik bersenjata Iran dan Israel serta ketegangan perdagangan antara kuasa besar, Malaysia perlu memperkukuh kekuatan dalaman melalui pendekatan berasaskan komuniti. Inisiatif seperti ini tidak hanya bersifat reaktif tetapi mampu menjadi mekanisme kawalan jangka panjang yang menyumbang kepada kestabilan harga dan kesejahteraan ekonomi negara. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali ialah profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Exco Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) dan Bendahari Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN