Ibadah haji peluang umat Islam beriman, beramal

Ibadah haji peluang umat Islam beriman, beramal

MARILAH kita menyambut musim haji ini dengan kesedaran yang mendalam tentang makna ketauhidan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP tahun, ibadah haji menjadi saksi kepada pengabdian umat Islam dari seluruh pelusuk dunia, tunduk bersujud kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala di Baitullah. Musim Haji 1446H bukan sekadar satu peristiwa ritual yang berulang, namun ia merupakan lambang kepada falsafah ketauhidan yang tertanam kukuh dalam ajaran Islam. Di sinilah titik temu antara rohani dan jasmani, individu dan masyarakat, serta manusia dan Pencipta-Nya.

Ketauhidan: Asas Segala Amal
Tauhid adalah tonggak iaitu asas kepada ajaran Islam. Ia merupakan pengakuan bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, kalimah yang menjadi kunci kepada keimanan dan permulaan kepada segala amal.

Dalam konteks haji, ketauhidan bukan sekadar disebut, tetapi dizahirkan melalui perlakuan yang penuh simbolik dan penghayatan. Para jemaah meninggalkan segala bentuk perbezaan, bangsa, status sosial, bahasa dan berkumpul atas satu asas: sebagai hamba kepada Allah yang Esa.

Ketika seorang Muslim mengucapkan “Labbaikallahumma labbaik”, dia sedang memperbaharui bai‘ah dan janji terhadap Tuhan-Nya. Ucapan ini adalah gema tauhid yang mengalir dari hati yang sedar, membawa makna kesanggupan dan kepatuhan mutlak kepada perintah Allah, sekalipun ia menuntut pengorbanan harta, masa, tenaga dan keselesaan diri.

Ibadah haji adalah suatu pengalaman ketauhidan melalui amalinya. Setiap rukun dan wajib haji mengandungi pelajaran tentang ketauhidan. Ihram mengajarkan manusia tentang kesamarataan dan kerendahan diri, tiada lagi perhiasan duniawi, hanya kain putih sebagai simbol kefanaan dan keinsafan.

Tawaf mengelilingi Kaabah, pusat kiblat umat Islam, menunjukkan bahawa hidup ini harus berputar mengelilingi Allah sebagai pusat kehidupan.

Sa‘i antara Safa dan Marwah pula mengimbau pengorbanan dan keyakinan Hajar, isteri Nabi Ibrahim a.s., yang taat pada suami kerana utuhnya keimanan dan yakin bahawa pertolongan Allah pasti tiba, suatu lambang tauhid dalam keyakinan terhadap sifat Ar-Razzaq (Maha Pemberi Rezeki) Allah.

Terpancarnya air zam-zam yang tidak sama seperti mata-mata air yang lain oleh asbab peristiwa utuhnya keimanan Hajar ini yang sehingga kini umat Islam dapat menikmati khasiatnya.

Wuquf di Arafah adalah puncak ibadah haji, di mana tahun ini, lebih kurang 1.8 juta manusia berdiri dalam keadaan sama rata tanpa status dunia, dengan merendah diri memohon keampunan dengan linangan air mata. Di sinilah, tauhid dilafazkan dalam doa, diperbaharui dalam taubat, dan diteguhkan dalam kesedaran bahawa tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Allah.

Hari Arafah juga digambarkan sebagai “hari pertemuan agung” antara manusia dan Tuhannya, simbol kepada hakikat bahawa hidup ini adalah sebuah perjalanan singkat yang akan kembali kepada-Nya.

Melontar jamrah mengingatkan kita kepada peranan syaitan dalam menyesatkan manusia dari jalan tauhid. Ia bukan sekadar membaling batu, tetapi lambang penolakan terhadap segala bentuk kekufuran, kesyirikan dan hawa nafsu yang memalingkan manusia daripada mengesakan Allah.

Dalam suasana dunia yang kian kompleks, ketauhidan bukan lagi sekadar pengakuan lisan atau ibadah individu, tetapi perlu dijelmakan dalam tindakan kolektif dan sistem kehidupan.

Ibadah haji 1446H hadir dalam konteks dunia Islam yang masih dibelenggu konflik, ketidaktentuan ekonomi, dan krisis kemanusiaan. Umat Islam yang berkumpul di Tanah Suci membawa bersama harapan untuk penyatuan dan pembaharuan rohani.

Umat Islam dari segenap penjuru dunia termasuk yang tertindas contohnya dari Gaza, Syria dan yang lain semua berdiri bersama dalam satu saf di Baitullah. Membuktikan bahawa tauhid yang sebenar tidak mengenal batas geografi atau politik. Ia menuntut kesatuan hati dan tindakan. Ia mengajar bahawa kekuatan umat bukan pada senjata atau kekayaan, tetapi pada akidah yang tulus dan perpaduan yang berpaksikan Allah Yang Maha Esa.

Penghayatan haji menuntut kita untuk menolak segala bentuk perhambaan moden, kepada materialisme, ideologi sesat, dan pengaruh hedonisme yang melunturkan nilai tauhid. Ketika kembali ke tanah air, para hujjaj seharusnya membawa semangat Ismail a.s. yang bersedia dikorbankan demi perintah Allah; refleksi yang tinggi kepada nilai sabar, reda, tawakal, dan keteguhan iman sebagai contoh kepada masyarakat.

Ketauhidan bukan hanya asas ibadah, tetapi teras kepimpinan yang adil dalam pembangunan masyarakat untuk melahirkan ummah yang berintegriti. Seorang pemimpin yang benar-benar mentauhidkan Allah tidak akan menzalimi rakyat, kerana dia sedar bahawa dia bertanggungjawab kepada Allah yang Maha Melihat. Sebuah masyarakat yang berpegang kepada tauhid akan menolak rasuah, penindasan dan kezaliman, kerana semua bentuk kemungkaran itu adalah amat berdosa dan nescaya akan diadili dihadapanNya.

Ibadah haji mengajar kita bahawa tiada manusia yang terlalu mulia untuk tidak berkhidmat, dan tiada manusia yang terlalu hina untuk tidak dibantu. Ini adalah manifestasi tauhid sosial atau fikir ummah, bahawa kita semua hamba kepada Tuhan yang sama, dan kemuliaan hanya terletak pada taqwa.

Ia adalah peluang bagi umat Islam untuk menyegarkan kembali tauhid dalam jiwa dan tindakan amal. Dalam dunia yang penuh fitnah dan kebingungan, tauhid adalah kompas yang membawa manusia kepada kebenaran, keadilan dan keamanan sejati. Ia bukan sekadar wacana teologikal, tetapi satu cara hidup yang menyatukan ibadah dengan akhlak, ketundukan rohani dengan tanggungjawab sosial.

Marilah kita menyambut musim haji ini dengan kesedaran yang mendalam tentang makna ketauhidan. Semoga ia tidak hanya membekas di bumi Haramain, tetapi menjiwai setiap inci kehidupan semua sebagai individu, sebagai pemimpin, dan sebagai sebuah ummah yang menggalas amanah untuk menjadi saksi yang membawa kebenaran di atas muka bumi.

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” (Surah al-An’am: 162) – UTUSAN

DR. Zurina Abd. Ghani ialah Pengarah Pusat Kepimpinan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN