Hijrah diri: Meninggalkan jahiliah moden dalam dunia digital

Hijrah diri: Meninggalkan jahiliah moden dalam dunia digital

GOLONGAN muda seharusnya berhijrah secara spiritual dengan meninggalkan kelalaian dan kembali merapatkan diri dengan Allah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BULAN Muharam kembali menyapa umat Islam dengan makna yang begitu mendalam. Ia bukan sekadar permulaan takwim Islam yang baharu tetapi sebenarnya ajakan untuk merenung dan memperbaharui diri.

Kita tahu peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah menjadi tonggak sejarah tetapi di sebalik itu terselit nilai-nilai yang sangat penting seperti perubahan spiritual, pengorbanan dan keberanian menghadapi cabaran hidup demi kebenaran serta keimanan.

Dalam era moden yang serba mencabar ini, hijrah tidak lagi bermaksud berpindah tempat secara fizikal semata-mata sebaliknya menuntut transformasi dalaman terutamanya dalam menghadapi fenomena yang jahiliah moden.

Jahiliah moden adalah realiti yang menggugat rohani. Era dahulu, jahiliah merujuk kebodohan, penindasan dan penyembahan berhala. Hari ini, jahiliah itu sudah berubah wajah. Ia meresap halus ke dalam jiwa, sering tanpa disedari melalui ketagihan media sosial, normalisasi budaya hedonisme, penyebaran fitnah digital dan gaya hidup yang melampaui batas moral.

Ramai yang terperangkap dalam dunia maya sehingga terlupa tanggungjawab spiritual dan sosial.

HIDUPKAN MASJID
Pernah tidak terfikir, peranan institusi keagamaan seperti masjid perlu dihidupkan kembali? Betapa pentingnya masjid dijadikan pusat pembangunan insan untuk menangani keruntuhan akhlak digital yang semakin menular terutama dalam kalangan generasi muda.
Masjid bukan sahaja tempat menunaikan solat tetapi seharusnya dijadikan pusat komuniti yang relevan dengan cabaran era digital hari ini.

Hijrah merupakan seruan bagi perubahan. Hijrah yang sebenar adalah hijrah jiwa.

Sabda Nabi SAW, “Orang yang sebenar-benar berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.” (HR. Bukhari & Muslim).

Ini jelas menunjukkan hijrah dalam Islam luas maknanya. Ia merangkumi perubahan niat, pemikiran, sikap dan amalan.

Dalam konteks dunia moden yang penuh cabaran hari ini, hijrah perlu diterjemahkan kepada perubahan dalaman yang melibatkan keseluruhan aspek diri manusia seperti intelektual, emosi dan spiritual. Hijrah diri hari ini bukan lagi sekadar memindahkan tubuh tetapi memindahkan cara fikir, sikap dan hala tuju kehidupan.

Pertama sekali, aspek intelektual perlu diberi perhatian utama. Ramai umat Islam masih terperangkap dalam cara fikir yang jumud dan sempit. Mereka enggan membuka ruang perbincangan, menolak pandangan baharu dan berpegang kepada adat atau fahaman lama tanpa memahami konteks semasa.

Hijrah dalam aspek ini bermaksud perlu meninggalkan pola fikir tertutup dan menggantinya dengan pemikiran terbuka yang berlandaskan ilmu. Jiwa ilmu mestilah disuburkan agar umat Islam mampu memahami realiti semasa dengan kebijaksanaan tanpa meninggalkan prinsip Islam yang syumul.

Selain itu, hijrah emosi juga tidak kurang pentingnya. Kita hidup dalam zaman di mana tekanan hidup, kecaman media sosial dan persaingan yang sengit boleh menjejaskan kesihatan mental serta emosi. Ramai menyimpan amarah, dendam dan cemburu lalu menjadi racun yang membebankan jiwa.

Maka, hijrah dalam aspek ini bermakna melepaskan beban emosi negatif yang tidak membawa faedah.

Islam mengajar erti sabar, memaafkan dan berlapang dada. Apabila emosi stabil, kita lebih mudah untuk menerima kebenaran, berinteraksi secara harmoni dan menjalani hidup dengan lebih tenang.

Seterusnya, aspek yang paling utama dalam hijrah diri ialah spiritual, iaitu hubungan dengan Allah SWT. Dunia moden melalaikan ramai orang kerana mereka lebih sibuk dengan telefon pintar berbanding solat lima waktu, lebih gemar mengejar hiburan daripada mendekati al-Quran.

Oleh itu, hijrah spiritual bermaksud meninggalkan kelalaian dan kembali merapatkan diri dengan Allah. Solat, zikir, doa dan tadabbur al-Quran adalah makanan kepada jiwa. Tanpa makanan ini, jiwa akan menjadi gersang, kosong dan mudah terpengaruh dengan arus negatif zaman moden.

Kesemua aspek ini perlulah digabungkan dalam satu proses hijrah diri yang menyeluruh. Barulah kita mampu membentuk jati diri Muslim yang kuat bukan sahaja berilmu dan berakhlak, tetapi juga memiliki kekuatan dalaman untuk menepis godaan dunia moden.

Umat yang memiliki jati diri yang kukuh akan mampu menghadapi cabaran zaman dengan tenang, tidak mudah goyah dan mampu menjadi contoh kepada orang lain.

Sebagaimana Rasulullah SAW menunjukkan jalan hijrah sebagai bentuk pembaharuan dan penyucian jiwa. Kita juga perlu mengambil semangat itu dalam kehidupan hari ini. Hijrah bukan hanya kisah semalam, tetapi misi sepanjang hayat.

Ia bermula dengan kesedaran, diteruskan dengan usaha dan dikuatkan dengan keikhlasan. Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang berhijrah ke arah kebaikan dan mencapai keredaan Ilahi.

Ingatlah, hijrah diri bukan hanya kita laksanakan setahun sekali, tetapi ia adalah perjalanan seumur hidup yang perlu dilaksanakan.

Bulan Muharam hadir sebagai peringatan sementara perubahan adalah keperluan dan ia sunnatullah.

Setiap orang ada hala tuju yang sama iaitu mencapai reda Ilahi dengan meninggalkan maksiat, kebodohan dan keangkuhan diri.

Semoga semangat hijrah pada tahun ini tidak hanya diraikan dengan perarakan atau slogan semata-mata tetapi melalui azam yang kuat untuk benar-benar berubah dari kelalaian kepada kesedaran, dari kejahilan kepada keilmuan dan dari kehinaan kepada kemuliaan.-UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pengajian Asas, Management and Science University (MSU).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×