MASALAH penipuan bercirikan jenayah digital atau scam matawang di atas talian semakin menjadi-jadi dan menyebabkan masyarakat di Malaysia, termasuklah golongan rentan mengalami kerugian.
Golongan rentan yang dimaksudkan termasuklah golongan yang sudah berusia, mereka yang telah bersara, berpencen, orang kurang upaya (OKU), dan golongan daif, miskin harta yang terdedah dengan penipuan digital.
Pada 2024 sahaja, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 35,368 kes penipuan, mengakibatkan kerugian kewangan RM1.6 billion iaitu 84.5 peratus daripada semua jenayah komersial yang dilaporkan.
Pada 2023, seramai 22,000 pesara kerajaan telah menjadi mangsa scammer, membabitkan kerugian sebanyak RM850 juta.
Walaupun terdapat golongan profesional sekalipun, mereka juga tidak terlepas daripada tipu helah scammer di atas talian.
Masalah ini bukan baharu, namun semakin menular dan diperhebatkan oleh golongan scammer yang semakin licik, berinovasi kreatif yang jahat, tidak bertanggungjawab.
Mereka bijak memanipulasikan perasaan, emosi, menerusi permainan psikologi untuk menjerat orang awam seperti golongan rentan, yang sudah pencen, berusia dan juga golongan OKU.
Sewajarnya, satu polisi yang diinspirasikan oleh pengalaman mesra pengguna diketengahkan seterusnya digunapakai untuk mendidik masyarakat tentang jenayah siber seumpama jenayah scam menerusi platform digital.
Paling penting kesedaran tentang jenayah scammer ini perlu diwujudkan menerusi portal yang mesra pengguna, seperti kempen PDRM, “Be Smart Stay Alert”, jadilah pengguna yang bijak dan sentiasa berwaspada dan peka.
Antara jenayah penipuan atas talian (online scam) adalah seperti keldai akaun apabila maklumat perbankan berpotensi digunakan tanpa kebenaran.
Seterusnya akaun mangsa akan digunakan sebagai phone scam, love scam, scam pinjaman tidak wujud, scam pelaburan, serta scam parcel.
Selain daripada itu, terdapat scam berbentuk penipuan memenangi peraduan atau cabutan bertuah yang tidak wujud.
Modus operandinya apabila mangsa menerima mesej SMS atau Whatsapp memaklumkan memenangi peraduan seperti Shopee, Lazada, Touch ‘N Go, Maxis dan lain-lain.
Mangsa diminta menekan pautan yang diberikan untuk menuntut hadiah. Seterusnya mangsa diminta membuat pembayaran proses insuran dan lain-lain bayaran bagi menuntut hadiah lumayan tersebut.
Mangsa diminta memasukkan maklumat perbankan dan data peribadi menerusi pautan scammer tersebut. Akhirnya, mangsa akan kehilangan wang dalam jumlah yang besar lebih-lebih lagi jika scammer dapat mengakses akaun mangsa.
Namun, pengguna perlu bijak dengan menyemak dengan syarikat berkaitan tentang peraduan yang diwujudkan oleh penganjur.
Pengguna dinasihatkan supaya tidak menekan atau mengisi mana-mana pautan laman sesawang yang diberikan.
Kaedah ini dikenali sebagai phishing yang mana scammer dapat mencuri data dan akses ke akaun mangsa.
Contohnya, terdapat di Facebook apabila scammer menjual barangan dengan kadar yang jauh lebih murah daripada harga pasaran.
Pengguna akan mengisi maklumat di halaman sesawang yang menyamar. Scammer boleh menipu dengan memberi halaman web palsu bank dan mengalami kerugian yang melampau tinggi.
Membina kesedaran dan celik digital dalam komuniti rentan penting untuk mengurangkan jenayah digital.
Namun, usaha memupuk kesedaran tentang jenayah digital perlu meliputi keseluruhan masyarakat melibatkan kerajaan, sekolah, perniagaan dan organisasi masyarakat.
Kempen amalan dalam talian yang lebih selamat, cara mengenal pasti penipuan dan cara melaporkan perlu didedahkan menerusi halaman sesawang yang mesra pengguna dalam bahasa dan konteks yang mudah difahami.
Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembangun platform digital perlu membangunkan sistem yang mesra pengguna bagi memudahkan orang ramai melaporkan penipuan tanpa rasa takut dan malu.
Data-data pengguna yang dipercayai akan membolehkan ia meramalkan tentang ancaman, risiko dan bahaya yang ditimbulkan oleh penipuan dan membantu dalam menangani jenayah scammer dengan pantas.
Pihak berkepentingan perlu bekerjasama untuk mereka bentuk saluran digital, platform dan portal pembayaran yang lebih mesra pengguna dan selamat.
Walaupun platform kewangan dikatakan Secure 3D, namun kepintaran scammer menggunakan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) masih dapat mengakses menerusi teknik phishing halaman pembayaran palsu.
Penipuan jenayah mendatangkan tekanan kewangan, mental dan emosi Laporan State of Scam pada 2024 mendedahkan terdapat kerugian sebanyak RM54.02 bilion (AS$12.8 bilion), bersamaan tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Walaupun angka yang tinggi, namun dilaporkan 70 peratus mangsa tidak melaporkan penipuan, dan ini mencerminkan keraguan dan ketidakpastian tindakan yang perlu diambil sekiranya ditipu sebegitu rupa apatah lagi jika tiada platform yang mesra pengguna.
Penipuan yang didorong oleh AI seperti video palsu dan tiruan suara juga semakin meningkat.
Antaranya taktik scammer yang terbaharu telefon pengguna digodam oleh pautan yang mengandungi fail apk daripada pautan yang disediakan oleh penjenayah digital di mana telefon akan digodam dan wang akan dicuri oleh penjenayah digital.
Pembangun perlu merekabentuk persekitaran digital yang lebih selamat dan mesra pengguna dalam mendidik masyarakat berkenaan jenayah digital.
Kerjasama antara global, negara serantau ASEAN dan tempatan dapat memastikan masalah bahaya scammer dikurangkan di rantau ini dengan maklumat pendidikan yang mesra pengguna.
Platform digital berunsurkan maklum balas yang dibina oleh PDRM dapat membantu, seperti penyemakan CCID PDRM Portal Semak Mule untuk mencari nombor akaun bank penjual untuk memastikan kewujudan penjual.
Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia dan Persatuan Bank Islam Malaysia disokong oleh Bank Negara turut menyediakan halaman sesawang serta nombor telefon untuk menghubungi pihak bank dan menyediakan nombor telefon Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
Halaman sesawang yang dibina turut mengadakan kempen #JanganKenaScam.
Walaubagaimanapun sangat penting untuk pihak berkepentingan mewujudkan polisi yang lebih terkini menerusi platform yang mesra pengguna untuk memupuk kesedaran berkenaan jenayah digital, cara-cara mengatasinya, tindakan untuk dilaksanakan terhadap jenayah dengan lebih jelas dan tepat dan meyakinkan pengguna.
Di zaman teknologi AI, perlu diwujudkan polisi negara dalam mendidik masyarakat termasuk golongan rentan dengan memberi kesedaran terhadap jenayah digital menerusi platfrom yang mesra pengguna. Ia dapat membantu mendidik masyarakat termasuk golongan rentan dalam menangani masalah jenayah digital dan seterusnya melaporkan dan mengambil tindakan sewajarnya. – UTUSAN
PROFESOR Madya Ts. Dr. Shamsul Arrieya Ariffin ialah Ketua Penyelidik Pengujian Kebolehgunaan Perisian Pendidikan, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).










