DI hati setiap pasangan yang melangkah ke alam perkahwinan, tersemat harapan untuk mengecap bahagia hingga ke akhir hayat. Namun, realiti kehidupan sering menguji impian murni itu.
Rumah tangga yang dibina dengan doa dan restu semakin mudah goyah, bahkan dalam tempoh yang terlalu singkat.
Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk 2022 cukup merisaukan dengan sebanyak 62,890 kes perceraian direkodkan. Jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya yang mencatatkan 43,936 kes, peningkatan ini mencecah 43.1 peratus.
Malangnya, lebih 46,000 daripada jumlah ini melibatkan pasangan Muslim. Jumlah itu bukan sahaja mengundang kebimbangan tetapi menuntut tindakan segera.
Lebih membingungkan, kebanyakan kes perceraian berlaku dalam kalangan pasangan muda, berumur antara 30 hingga 35 tahun dan dalam tempoh perkahwinan lima tahun ke bawah. Tempoh yang sepatutnya menjadi fasa belajar dan membina persefahaman, sebaliknya menjadi fasa menilai untuk berpisah.
Berdasarkan dapatan kajianUniversiti Sains Malaysia (USIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), antara punca utama keruntuhan rumah tangga ialah pengabaian tanggungjawab, masalah komunikasi, perbezaan sikap serta tiada kesefahaman.
Dalam banyak kes, kehadiran orang ketiga, poligami tanpa persetujuan isteri, tekanan ekonomi dan kurangnya ilmu tentang peranan suami isteri juga menjadi penyumbang utama kepada keputusan bercerai.
Lebih menyedihkan apabila punca-punca ini kadangkala dianggap kecil seperti suami tidak membantu di rumah, isteri terlalu kerap merungut atau perbalahan tentang kewangan. Namun, apabila tiada ruang untuk menyuarakan perasaan, masalah kecil menjadi dendam yang bertahun. Dan akhirnya, pasangan memilih jalan terakhir – bercerai.
Namun, paling terkesan bukan hanya dua insan bercerai, tetapi anak-anak yang membesar dalam kekeliruan.
Dapatan kajian membuktikan kesan perceraian terhadap kanak-kanak digambarkan sebagai serius dan mendalam. Mereka mengalami gangguan emosi, kemurungan dan sukar menyesuaikan diri dalam fasa usia remaja. Sedangkan mereka sepatutnya membesar dengan penuh kasih sayang.
Beban perceraian bukan sekadar emosi. Ia turut memberi kesan ekonomi kepada keluarga, terutamanya apabila nafkah anak-anak terabai. Ramai ibu atau bapa tunggal yang terpaksa menanggung beban hidup bersendirian. Wang belanja tidak cukup, sokongan moral tiada dan masa untuk mendidik anak semakin sempit. Semua ini menggambarkan betapa perceraian bukan sekadar keputusan peribadi tetapi meretakkan struktur sosial seluruh komuniti.
Namun, dalam tengah keretakan yang berlaku, ada ruang untuk berharap. Tidak semua perkahwinan yang sedang bergelora harus berakhir. Jika intervensi tepat dilakukan pada masa yang sesuai, banyak rumah tangga boleh diselamatkan.
PERANAN JAWI
Inilah peranan penting yang dimainkan oleh JAWI melalui Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK) dan Cawangan Runding Cara dan Pembangunan Keluarga Islam.
JAWI menyediakan pelbagai bentuk perkhidmatan sokongan dan intervensi kepada pasangan Muslim, bukan sekadar selepas konflik berlaku tetapi juga sebagai langkah pencegahan awal.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk sesi kaunseling pasangan, seminar pemantapan keluarga, program pendidikan hubungan serta sokongan komuniti melalui Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK) serta Anjung Khidmat Keluarga JAWI (Akuaja). Perkhidmatan ini bukan sekadar wujud di atas kertas sebaliknya direka berdasarkan data sebenar dan keperluan masyarakat setempat.
Pasangan yang hadir ke sesi kaunseling ini bukan datang untuk menyalahkan satu sama lain. Mereka hadir kerana masih mahu mencuba, masih ada ruang untuk menyelamatkan. Di sinilah mereka belajar kembali asas komunikasi, mendalami peranan suami isteri dari sudut syarak dan psikologi serta membina semula ikatan yang hampir putus.
Hasil kajian juga menekankan pentingnya intervensi yang sensitif budaya dan agama, terutamanya bagi pasangan Muslim.
Perkhidmatan dengan mengambil kira nilai Islam terbukti lebih berkesan, termasuk bagi golongan mualaf yang memerlukan pendekatan tersendiri.
Selain itu, JAWI turut memperkasakan pasangan melalui program-program pembangunan keluarga termasuklah aspek-aspek yang jarang disentuh secara terbuka, tetapi sangat penting dalam membina kefahaman dan persefahaman antara pasangan.
Pendidikan tentang kesihatan seksual yang disampaikan dengan cara patuh syariah membantu pasangan Muslim menangani isu-isu seperti perancangan keluarga, kontraseptif dan penyakit jangkitan seksual dengan lebih bertanggungjawab serta terbuka.
Dalam rumah tangga, keintiman bukan sekadar keperluan fizikal sebaliknya membentuk kekuatan emosi dan rasa kebergantungan antara pasangan. Tambahan lagi, pasangan dididik tentang komunikasi jujur dalam isu-isu sensitif, membolehkan mereka bercakap tanpa takut dan menjelaskan harapan serta sempadan masing-masing dengan penuh hikmah.
Semua ini menjadikan program JAWI bukan sahaja berbentuk rawatan tetapi pembinaan semula perkahwinan dari akar paling asas.
Sebagaimana difirmankan Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 21: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu pasangan hidup daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya di antara kamu kasih sayang dan rahmat…”
Namun kasih sayang dan rahmat itu tidak hadir begitu sahaja. Ia perlu disemai dengan ilmu, disuburkan dengan bimbingan dan dilindungi dengan sistem sokongan yang diyakini. Inilah yang sedang dilakukan JAWI untuk menjadi perisai rumah tangga yang mula goyah dan penyelamat kepada keluarga yang hampir hancur.
Kita sebagai masyarakat juga harus menyokong usaha ini. Jangan biarkan pasangan-pasangan yang sedang berperang dengan emosi dibiarkan tanpa arah.
Jangan hanya menghakimi tetapi hulurkan maklumat, dorongan dan galakan untuk mendapatkan bantuan.
Perkahwinan adalah ibadah tetapi ia juga ujian. Dan setiap ujian besar, perlukan bimbingan yang berilmu.
PENULIS ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merangkap Kaunselor Berdaftar.










