PARTI Sosialis Malaysia ingin mengucapkan selamat datang ke Malaysia untuk menghadiri mesyuarat Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bermula pada hari ini, Isnin 26 Mei 2025. Kami terima baik usaha pemimpinan ASEAN membincangkan strategi2 untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat ASEAN.
Negara-negara ASEAN telah menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dalam tempoh 50 tahun yang lalu. Di Malaysia, contohnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah meningkat 24 kali ganda dalam harga sebenar dalam tempoh lima dekad yang lalu.
Tetapi, malangnya, 80 peratus rakyat berpendapatan terbawah di negara2 ASEAN dibebani hutang dan terasa tertekan dengan himpitan ekonomi. Paradoks kesukaran ekonomi yang berterusan walaupun kadar pengembangan KDNK negara2 ASEAN mengagumkan, berpunca daripada stratgei pembangunan yang diterajui eksport (export led growth), di mana kita bergantung pada kos pengeluaran yang rendah (iaitu gaji rendah antara 1/5 hingga 1/15 berbanding gaji di negara2 maju) untuk menarik pelabur asing dan mengeluarkan barangan kos murah untuk pasaran negara Barat dan Jepun.
Di samping itu, persaingan berterusan antara negara ASEAN untuk menarik Pelaburan Asing (FDI) telah membawa kepada pengurangan progresif dalam kadar cukai korporat. Di Malaysia cukai korporat telah menurun daripada 40 peratus daripada keuntungan korporat pada tahun 1988 kepada 24 peratus daripada keuntungan pada masa ini. Ini seterusnya telah menyebabkan penguncupan dalam nisbah pendapatan kerajaan terhadap KDNK. Bagi Malaysia nisbah ini telah menurun daripada 30 peratus pada 1980-an kepada hanya 15 peratus pada tahun lepas. Pengurangan hasil kerajaan ini telah menyekat keupayaan kerajaan untuk mengukuhkan jaringan keselamatan sosial untuk rakyat kita.
Oleh itu, adalah perlu bagi negara-negara ASEAN untuk memikirkan semula strategi ekonomi kita. PSM berharap Tuan2 Yang Terutama akan menggunakan Sidang Kemuncak ini sebagai peluang untuk menilai cadangan berikut –
1. Membangunkan pasaran dalaman rantau ASEAN
Sejak 5 dekad yang lalu, negara-negara di ASEAN telah mengikut nasihat Bank Dunia, IMF dan WTO untuk bergantung kepada pelaburan asing (FDI) untuk memacu perkembangan industri pembuatan dan bergantung kepada pasaran negara kaya di Eropah dan Amerika Utara untuk membeli barangan yang dihasilkan oleh kilang-kilang di ASEAN.
Model pembangunan ini tidak boleh berterusan selama-lamanya kerana
– Negara2 Barat hanya mewakili 12% daripada populasi dunia. Adalah mustahil untuk mereka menjanakan permintaan kasar yang mencukupi untuk semua negara di dunia bagi jangka masa panjang.
– Kadar pertumbuhan KDNK di negara Barat kini telah menurun kerana pemindahan banyak kilang ke negara Asia dalam 40 tahun yang lalu. Satu proses “penyahindustrian” telah berlaku di negara-negara Barat dalam tempoh 40 tahun yang lalu, dan ini telah menyebabkan kehilangan pekerjaan industri bergaji tinggi. Ianya digantikan dengan pekerjaan kontrak dalam sektor perkhidmatan yang tidak menentu dengan pendapatan rendah dan tidak stabil.
Jika pasaran dalaman di rantau ASEAN (yang mempunyai populasi berjumlah 690 juta) dapat dibangunkan ia akan membawa beberapa faedah kepada ekonomi kita termasuk
– Peningkatan permintaan untuk barangan dan perkhidmatan. Perniagaan di ASEAN, termasuk peniaga kecil kita, akan mendapat manfaat daripada pengembangan permintaan agregat di ASEAN.
– Peluang untuk pelaburan baru
– Penjanaan pekerjaan baharu.
– Peningkatan dalam kutipan cukai
– Pengurangan pergantungan pada pasaran Eropah dan Amerika Syarikat.
2. Strategi untuk meningkatkan gaji pekerja biasa di negara2 ASEAN
Pada masa ini, gaji pekerja biasa di negara ASEAN adalah lebih kurang 1/6 (Malaysia) hingga 1/15 (Kemboja) daripada gaji pekerja biasa di negara Eropah dan Amerika Syarikat. Salah satu sebabnya ialah persaingan antara negara ASEAN untuk menarik pelabur asing dengan menawarkan diri kita sebagai negara yang kos pembuatannya rendah.
Walau bagaimanapun, dasar gaji rendah melahirkan beberapa masalah yang serius termasuk menyukarkan pekerja biasa di negara kita untuk memenuhi keperluan hidup, dan menghalang pengagihan pendapatan negara yang lebih adil kepada kelas pekerja. Di samping itu, permintaan isi rumah adalah penyumbang terbesar kepada permintaan kasar sesebuah negara. Tetapi, apabila majoriti pengguna adalah pekerja bergaji rendah, bagaimanakah permintaan kasar isi rumah boleh berkembang dengan sihat?
Pada masa ini, negara-negara di ASEAN takut untuk menaikkan gaji minimum kerana risiko mewujudkan “comparative disadvantage” dalam persaingan mendapatkan FDI. Risiko itu boleh diatasi jika beberapa negara ASEAN – Malaysia, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina khususnya – boleh bersetuju untuk menaikkan gaji minimum mereka (yang kini berbeza-beza) sebanyak 10% setiap tahun (dikira mengambil tahap gaji semasa mereka sendiri sebagai asas) untuk lima tahun akan datang. Bagaimana ini boleh dikuatkuasakan perlu dibincangkan secara mendalam. Saranan kami adalah memasukkan persetujuan ini ke dalam Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN, supaya cukai impot boleh dikenakan sebagai “denda” terhadap negara yang gagal mematuhi jadual kenaikan gaji minimum yang telah dipersetujui.
3. Menghentikan perlumbaan ke bawah dalam Cukai Korporat.
Perbelanjaan kerajaan merupakan satu lagi penyumbang utama kepada permintaan kasar sesebuah negara. Di semua negara di ASEAN nisbah perbelanjaan kerajaan kepada KDNK telah menurun dalam tempoh 50 tahun yang lalu. Di Malaysia contohnya, perbelanjaan kerajaan telah menurun daripada 35% daripada KDNK pada tahun 1980-an kepada 20% daripada KDNK sekarang. Sebab utama ialah pengurangan cukai korporat daripada 40% ke atas keuntungan syarikat pada tahun 1988 kepada 24% ke atas keuntungan korporat tahun ini. Malaysia terpaksa menurunkan kadar cukai korporat kerana bersaing dengan Thailand, Vietnam dan Indonesia untuk pelaburan asing. Pada masa ini, cukai korporat di Thailand ialah 20% dan di Singapura, 17%.
Pengurangan kadar cukai korporat yang berterusan di negara-negara ASEAN bukan sahaja menghalang pembangunan pasaran dalaman rantau ini, ia juga menyekat fleksibiliti fiskal untuk kerajaan melaksanakan program membantu rakyat biasa dan melindungi alam sekitar. Ia juga telah menyebabkan peningkatan hutang negara di kebanyakan negara ASEAN.
Perkara ini harus dipandang serius oleh ASEAN dan langkah khusus diambil untuk meningkatkan cukai korporat secara beransur-ansur dan serentak untuk mencapai tahap yang lebih tinggi – kami mengesyorkan matlamat 30% daripada keuntungan kasar syarikat – dalam tempoh 10 tahun akan datang. Ini bermakna Malaysia perlu meningkatkan cukai korporat sebanyak 0.6% setiap tahun untuk 10 tahun akan datang, manakala Thailand perlu meningkat sebanyak 1% setiap tahun supaya kedua-dua negara boleh mencapai matlamat 30% dalam tempoh 10 tahun. Sekali lagi, langkah yang berkesan untuk melaksanakan ini, mungkin dengan mengubahsuai FTA ASEAN, perlu dibincang.
4. Cukai Karbon yang berkesan
Sistem “mengehad dan cukai” (cap and tax) merupakan cara yang berkesan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Dalam sistem ini, pemancar terbesar karbon dioksida akan diberi had (“cap”) untuk pengeluaran karbon dioksida, berdasarkan jenis industri dan skala pengeluarannya. Cukai akan dikenakan ke atas pelepasan karbon dioksida yang melebihi had yang ditetapkan.
Vietnam telah mengenakan cukai karbon pada kadar USD 0.50 setiap tan karbon dioksida, dan Indonesia merancang untuk melancarkannya pada kadar USD 5 setiap tan. Tetapi kadar ini jauh lebih rendah daripada cukai karbon yang dikenakan di Eropah. Perancis mengenakan bayaran sebanyak USD 52 setiap tan dan Sweden pada masa ini mengenakan bayaran sebanyak USD 137 setiap tan karbon dioksida. Seperti yang diketahui, kadar cukai karbon yang terlalu rendah tidak akan memberi insentif kepada sektor korporat untuk beralih kepada teknologi yang menyekat pelepasan karbon dioksida.
Hakikatnya adalah, negara2 ASEAN bimbang cukai karbon akan meningkatkan kos tenaga, pengangkutan dan barangan asas perindustrian seperti simen dan besi, dan sekali gus menjejaskan daya saing negara dalam perlumbaan menarik pelaburan asing (FDI). Kebimbangan ini hanya boleh ditangani jika cukai karbon dilaksanakan pada kadar yang lebih kurang sama di semua negara ASEAN. Rundingan tentang bagaimana ini boleh dilakukan harus dimulakan.
5. Masalah Pengangguran Belia dan kekurangan pekerjaan
Golongan muda, yang berumur antara 20 hingga 35 tahun, menghadapi masalah serius dalam mencari rezeki. Peluang pekerjaan berkurangan, dan graduan baru tidak dapat mencari pekerjaan yang sepadan dengan pendidikan/latihan mereka. Kerja-kerja yang boleh didapati pada zaman ini bergaji rendah dan kebanyakannya adalah kerja kontrak jangka pendek tanpa jaminan kerja atau perlindungan sosial. Masalah kekurangan kerja dapat diatasi;
A. jika lebih banyak jawatan kerajaan diwujudkan dalam sektor kesihatan, sektor kebajikan dan sektor alam sekitar – untuk memulihkan sungai, hutan dan mewujudkan ekonomi “circular”. Tetapi ruang fiskal yang sempit bagi kebanyakan negara ASEAN menghadkan pendekatan sebegini. Hasil kerajaan pada masa ini tidak mencukupi untuk melancarkan inisiatif seperti ini.
B. jika sektor swasta di ASEAN memilih untuk mengeluarkan lebih banyak barangan atau perkhidmatan. Tetapi laluan ini dikekang oleh kadar pertumbuhan permintaan agregat domestik yang lembap, kerana secara amnya, upah yang diterima oleh pekerja di rantau ini adalah 1/6 hingga 1/15 daripada upah yang diterima untuk kerja yang sama di negara Barat.
C. jika bilangan jam kerja seminggu dapat dikurangkan secara beransur-ansur supaya kerja yang ada, dikongsikan kepada semua mereka yang ingin bekerja.
Masalah pengangguran belia harus diakui oleh kerajaan ASEAN sebagai masalah yang serius dan semakin teruk, dan usaha kajian dan perbincangan perlu dianjurkan untuk mencari langkah-langkah berkesan untuk mengatasi masalah ini yang, jika gagal ditangani dengan berkesan, akan membawa kepada kekecewaan dan radikalisasi belia kita.
6. Usahasama untuk merintis industri hijau baharu
Amat penting negara ASEAN bekerjasama membuat bas elektrik pelbagai saiz, panel solar, jentera mengitar semula sisa organik untuk menjana tenaga elektrik dan sebagainya. Industri-industri ini sangat penting untuk peralihan kepada ekonomi hijau supaya dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Industri-industri baru ini, juga akan menjana pekerjaan untuk rakyat kita dan membangunkan permintaan kasar domestik di rantau ASEAN.
Selain daripada enam cadangan di atas yang berkaitan dengan isu2 ekonomi, kami berharap Sidang Kemuncak ASEAN ini juga akan meneliti dua isu berikut –
A. Layanan Lebih Baik Terhadap Pelarian
Negara-negara ASEAN perlu memperbaiki layanan kita terhadap pelarian. Kita sepatutnya, sekurang-kurangnya;
A. beri hak bekerja secara sah kepada pelarian. Pada masa ini mereka dipaksa bekerja secara “haram” dan ini mendedahkan mereka kepada eksploitasi oleh majikan yang tidak bertanggungjawab. Pada masa ini kami mempunyai kira-kira 2 juta pekerja asing yang sah di Malaysia, dan hanya lebih kurang 160,000 orang pelarian. Malaysia boleh, dengan mudah, mengurangkan sedikit pengambilan pekerja asing, supaya pekerjaan dapat ditawar kepada pelarian. Keadaan yang sama juga berlaku di Thailand dan negara2 ASEAN yang lain.
B.Gunakan sebahagian daripada bayaran yang dikutip untuk permit kerja bagi pelarian untuk membayar kos rawatan perubatan pelarian dan keluarga mereka di hospital2 kerajaan.
C. Negara2 di ASEAN yang bersaiz kecil tetapi dengan KDNK per kapita yang tinggi (yang tidak berdaya menerima banyak orang pelarian oleh kerana saiznya), harus menawarkan sumbangan dana kepada kerajaan Bangladesh untuk menjaga orang pelarian di negara itu dengan lebih baik, supaya dapat mengurangkan penghijarahan (yang membahayakan nyawa) ke Thailand dan Malaysia.
Pelaksanaan ketiga-tiga langkah ini akan melindungi kebajikan orang pelarian di negara2 kita.
B. Mewujudkan mekanisme semak dan imbang bagi Perjanjian Ekstradiksi ASEAN
Pada masa ini negara-negara ASEAN telah bersetuju bahawa jika warganegara dari negara “A” melarikan diri ke negara ASEAN “B” yang lain, negara “B” mesti menangkap dan menghantar balik orang itu, jika diminta oleh negara “A”.
Kami tidak membantah perjanjian ini jika ianya hanya digunakan untuk menangkap penjenayah, tetapi, memandangkan beberapa negara di ASEAN masih belum mencapai tahap hak asasi manusia yang munasabah, kami merasakan adalah perlu untuk mewujudkan mekanisme untuk menapis permintaan “ekstradisi” dan memastikan orang yang melarikan diri kerana pencabulan hak asasi manusia atau isu politik tidak dihantar pulang secara paksa ke negara asal mereka. Kita harus mewujudkan proses semak dan imbang di mana jika orang itu boleh menunjukkan bukti bahawa dia bukan penjenayah, tetapi aktivis hak asasi manusia atau pelarian politik, dia harus diberikan suaka untuk tempoh yang lebih lama.
Kami berharap Tuan Yang Terutama dapat membincangkan isu-isu yang telah diketengahkan dalam surat ini. Kami memohon maaf jika sebahagian daripada pembentangan kami agak tumpul. Kami mengemukakan syor2 ini kerana kami menyokong keinginan Tuan2 Yang Terutama untuk mewujudkan rantau ASEAN yang lebih saksama dan maju. Kami sentiasa bersedia untuk bertemu dengan mana-mana jawatankuasa yang ditugaskan untuk meneliti cadangan2 yang dikemukakan secara lebih lanjut.
Semoga mesyuarat Sidang Kemuncak dapat hasilkan polisi yang memanafaatkan rakyat biasa in negara2 kita. Dengan harapan lawatan Tuan2 Yang Terutama ke Malaysia adalah produktif dan juga selesa.
Yang ikhlas,
Jeyakumar Devaraj
Pengerusi Kebangsaan Parti Sosialis Malaysia (PSM)