PETALING JAYA : Polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes kematian bayi perempuan berusia tujuh bulan yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah rumah di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras, malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, siasatan awal mendapati bayi itu dijaga pasangan terbabit sejak 18 Jun lalu selepas ibu kandungnya, warga Indonesia bernama Sri Rahayu, pulang ke negara asal.
“Setakat ini punca kematian masih belum dapat dipastikan kerana proses bedah siasat belum selesai. Kes masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, pasangan yang masing-masing berusia 38 dan 50 tahun itu direman bermula hari ini hingga 6 Ogos bagi membantu siasatan lanjut.
Kes terbongkar selepas lelaki berkenaan yang juga bapa angkat bayi itu membuat laporan polis pada pukul 9.34 malam memaklumkan anak angkatnya tidak sedarkan diri tanpa sebab.
Polis yang bergegas ke lokasi menemui bayi tersebut di ruang tamu rumah dalam keadaan kebiruan dan kesan lebam pada badan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana pengabaian atau penganiayaan terhadap kanak-kanak. – UTUSAN











