KUCHING: Lebih 15,000 keluarga di seluruh Sarawak kini berdepan masalah bekalan air bersih ekoran musim kemarau yang melanda sejak beberapa minggu lalu.
Timbalan Premier merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kebanyakan penduduk yang terjejas adalah di wilayah utara.
“Tadi kita dapat 675 permohonan air minum dari seluruh Sarawak, melibatkan lebih 15,000 keluarga dan paling banyak di Miri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JPBN Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan laporan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), setakat ini bekalan air di loji-loji rawatan air seluruh Sarawak adalah mencukupi melainkan di Gelugus, Limbang yang kini rendah.
Katanya JBALB juga telah menubuhkan jawatankuasa bagi memantau semua loji rawatan air tersebut.
“JBALB memberitahu bekalan air setakat ini masih okay, tiada masalah dan mereka pantau situasi,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak telah memberikan sebanyak 12 lori tangki kepada JBALB untuk membekalkan air ke kawasan-kawasan yang terjejas di seluruh negeri.
Sementara itu, Uggah berkata Kerajaan Sarawak ketika ini tidak dapat melakukan pembenihan awan bagi menangani musim kemarau dan jerebu yang sedang melanda, disebabkan ketiadaan awan.
Bagaimanapun, beliau berkata tindakan itu akan dibuat sekiranya terdapat awan dan kemarau berterusan.
“Kami melihat semua pilihan, apa-apa sahaja tindakan yang kita perlu buat untuk mengurangkan kesan kemarau ini.
“Untuk membuat pembenihan awan, ia bukan mudah…ia bukan masa panas, ia perlukan awan. Kalau ada awan, kita buat pembenihan,” katanya.
Dalam pada itu, Uggah berkata sebanyak 220 titik panas dikesan di Sarawak pada masa ini namun Indeks Pencemaran Udara (IPU) masih pada paras sihat, melainkan di Mukah yang mencecah IPU 160 disebabkan kebakaran hutan yang sedang berlaku di situ.
Menurutnya selain di Mukah, kebakaran akibat cuaca panas turut berlaku di beberapa kawasan namun semuanya adalah terkawal, dengan usaha pemadaman sedang giat dijalankan oleh bomba.
Berdasarkan laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, setakat ini terdapat empat kebakaran terbuka yang masih berterusan di beberapa lokasi di Sarawak iaitu di Mukah, Marudi, Kota Samarahan dan Serian.
Di Mukah, kebakaran berlaku berhampiran UiTM Mukah sejak 25 Julai lalu dengan api merebak sehingga 75.32 hektar manakala di Marudi, kebakaran melibatkan sebuah ladang nanas sejak 26 Julai lalu dengan keluasan kawasan terbakar adalah 21.43 hektar daripada keluasan tapak 838.12 hektar.
Selain itu, kebakaran turut berlaku di bekas tapak pelupusan sampah Kampung Plaie, Kota Samarahan sejak 27 Julai lalu dengan keluasan kawasan terbakar adalah 2.5 hektar sementara di Serian membabitkan kebakaran hutan di Kampung Danau Melikin sejak 28 Julai lalu, yang kini mencecah 4 hektar. – UTUSAN










