Sudah tidak berguling di jalanan? Saya tidak terkesan dengan kritikan - Utusan Malaysia

Sudah tidak berguling di jalanan? Saya tidak terkesan dengan kritikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KALAU kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), ADAM ADLI ABDUL HALIM pula sudah menduga lautan itu dengan kail persediaannya yang belum cukup tajam, sehingga membawa kepada kekalahan untuk jawatan Timbalan Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya, bulan lalu.

Namun, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu kekal tenang, kerana bukan kekalahan mutlak dan pengakhiran segalanya.

Dalam program bual bicara podcast bersama wartawan Mingguan Malaysia, ROSHIHAN ANNUAR YUB dan MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu optimis ada ruang untuknya bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan PKR, hujung bulan ini. Turut membantu, juruvideo, ABDUL RAHMAN RAZALI dan jurugambar, FARIZ RUSADIO.

MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Yang Berhormat (YB) melihat perkembangan pemilihan PKR kali ini?
ADAM ADLI: Dua kemungkinan akan berlaku sama ada suasana pemilihan menjadi sangat panas atau terkawal. Walaupun dari luar kelihatan hangat dengan pelbagai kenyataan dan respons saling berbalas, namun, serangan antara calon tidaklah begitu tajam seperti dahulu dikaitkan dengan pertelingkahan dan ketegangan.

Wujudkah kesepakatan kerana rakan seperjuangan bersaing antara satu sama lain?
Sememangnya, pemilihan tetap akan menjadi medan hangat bahkan rakan seperjuangan juga bersaing antara satu sama lain, namun, masih wujud semangat kesepakatan. Fokus utama memastikan pemilihan berjalan secara demokratik. Setiap pihak bebas menggunakan hujah, strategi atau percaturan politik dibenarkan, asalkan tidak memecahbelahkan parti.

Setiap calon membawa haluan tersendiri yang tidak semestinya bersifat peribadi, tetapi lebih kepada perbezaan pandangan terhadap bentuk kepimpinan dan hala tuju parti dimahukan. Perlu diingat, di akhirnya, kita perlu kembali bersatu.

PKR RUGI JIKA BENARKAN ‘POLITIK KABILAH’
Ke mana arah tuju YB? Adakah YB sokong kesepakatan dinyatakan atau memilih melawan sesama kawan?
Matlamat utama saya bukan menjadi pemimpin paling hebat atau menonjol dalam perbahasan politik, tetapi menyatukan semua anggota di bawah satu pasukan. Syukur, sepanjang penggal lalu, kami berusaha memastikan semua anggota tanpa mengira kecenderungan diberi ruang dan peranan.

Sejak awal saya masuk arena pemilihan dan bertanding sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan 2022, pengalaman ini membina jenama kepimpinan saya bawa khususnya di peringkat dalaman PKR. Kita boleh menjadi pemimpin yang lantang, progresif dan berani, namun semangat dalaman parti perlu berpaksi kepada solidariti dan kesepaduan.

Walaupun kita bersaing, kita harus ingat diri kita semua adalah ahli PKR. Parti tidak boleh dilihat sebagai organisasi penuh perpecahan. Persaingan harus berlaku dalam bentuk hujah, idea dan pandangan dan bukan perbalahan peribadi.

Parti ini dihuni oleh ramai cendekiawan dan pemikir politik yang gemar mengemukakan pandangan. Namun, jika kita membenarkan ‘politik kabilah’ dan perpecahan mendominasi, maka PKR akan rugi. Kesannya, ada yang boikot, enggan turun berkempen hanya kerana calon bukan daripada ‘kem’ mereka.

SAYAP PEMUDA PKR LESU,TIDAK LANTANG
PKR dikenali sebagai parti dipimpin tokoh berkaliber, berpengalaman serta tegas dalam perjuangan. Namun, ada pandangan suara pemuda PKR kurang menonjol berbanding parti lain.

Ada pihak menganggap kita lesu atau tidak bersuara kerana tidak lagi lantang seperti dahulu. Namun, kelantangan ini bagus, tetapi perlu disertai dengan kebijaksanaan. Kita harus tahu bila masa yang sesuai untuk bersuara dan bila perlu berdiam.

Perbezaan antara ketika menjadi pembangkang dan kini sebagai kerajaan sangat ketara. Ahli PKR dikenali sebagai golongan bersemangat tinggi. Jika menentang, mereka benar-benar bersungguh dan jika menyokong, mereka juga melakukannya sepenuh hati. Sebagai parti yang kini berada dalam kerajaan, kita tidak lagi memainkan peranan menyerang seperti semasa jadi pembangkang.

Kita lebih berhati-hati dan perlu bersikap defensif dalam banyak perkara.

Jadi, benarlah sayap pemuda PKR tidak lantang?
Kami tidak menafikan suara kini tidak selantang dahulu. Mungkin suasana politik sudah berubah dan masih menyesuaikan diri sebagai sebahagian daripada kerajaan. Jika dibanding dengan rakan-rakan yang lebih berpengalaman sebagai kerajaan, mungkin mereka lebih tahu selok-belok dan sempadan untuk bersuara secara berkesan dalam konteks dasar negara.

Contohnya, jika ada dasar kerajaan kami tidak setuju, kami akan membincangkannya secara dalaman terlebih dahulu. Saya, sebagai Ketua Pemuda dan juga Timbalan Menteri, mempunyai saluran menyuarakan pandangan terus kepada menteri terlibat.

Di sinilah wujud dilema, adakah lebih baik berbincang secara langsung atau mengeluarkan kenyataan terbuka yang mungkin menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat?

Sebab itu, kami ambil langkah memperkukuhkan semula keupayaan komunikasi dan latihan dalam kalangan pemimpin muda parti. Saya sangat berharap kepimpinan PKR dan AMK, akan memikul tanggungjawab ini dengan lebih berkesan.

Setiap daripada kita pasti mempunyai kekurangan, namun lebih penting beri fokus kepada pembinaan semula organisasi. Kita tidak terlalu menonjolkan diri di luar atau dalam media.

Namun, apa yang kita lakukan dengan masa yang ada berusaha membina semula organisasi. Walaupun ada pihak yang mempertikai kemampuan AMK menjadi suara dominan, kita telah lakukan apa yang sepatutnya iaitu membina semula organisasi.

Ramai buat perbandingan antara versi YB dahulu dan sekarang. Bagaimana?
Apabila seseorang berada dalam kementerian, tanggungjawabnya mewakili dasar kerajaan. Pendekatannya berbeza berbanding sewaktu menjadi pembangkang dahulu. Saya faham jika ada pihak bertanya mengapa kami dilihat kurang bersuara atau tidak lantang dalam sesuatu isu, jawapannya bergantung kepada isu dibangkitkan.

PKR sentiasa berhati-hati memilih isu. Kami tidak sembarangan memilih isu hanya untuk meraih keuntungan politik. Bukan bermaksud pihak lain salah, setiap parti mempunyai pendekatan dan agenda tersendiri. Kami tidak fokus kepada isu yang boleh mencetus ketegangan kaum dan agama secara tidak bertanggungjawab.

ZAMAN ‘BERGULING’, KAKI PROTES DI JALANAN
Ramai pengguna media sosial jadikan semula ‘trolling’ perjuangan YB pada masa lalu termasuk ‘berguling’ atau aksi protes di jalanan. Adakah semangat itu masih menjadi sebahagian daripada diri YB atau kini lebih memilih melihat ke hadapan?

Saya tidak terkesan langsung jika ada merendah atau memburukkan nama saya. Saya sudah lalui pelbagai cabaran dan sudah biasa dengan kritikan serta kekalahan.

Ada yang berpendapat kita perlu bertindak keras seperti dahulu dengan demonstrasi. Namun, lebih baik kita mengambil pendekatan rundingan dan berbincang dengan baik. Semua orang tahu tentang demonstrasi, tetapi bagaimana kita boleh membantu dalam isu ini?

Saya tidak akan sekat sesiapa untuk bersuara. Ini hak mereka. Namun, saya mengajak semua pihak berbincang dengan cara baik. Jangan terlalu ambil serius. Mereka tidak memberi sebarang komen signifikan. Saya tidak mahu perkara ini menjadi isu dan menggalakkan trolling sebagai solusi kepada segala masalah.

KALAH
Apa perasaan YB kalah jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya? Ramai juga pemimpin lain bertaraf menteri tewas. Adakah ini mencerminkan kehendak ahli mahu perubahan atau ada sesuatu yang mereka mahu?
Saya tidak dapat beri komen bagi pihak orang lain kerana setiap cabang parti mempunyai dinamik dan keunikan tersendiri. Di Hang Tuah Jaya, saya melihatnya sebagai pengajaran penting tentang keperluan persediaan rapi sebelum bertanding.

Saya akui persediaan ketika itu tidak cukup, malah, rakan-rakan menegur kelemahan strategi saya bertanding di peringkat cabang sebagai pencabar, memandangkan saya bukan penyandang jawatan dan muka baharu di kawasan ini.

Saya sedar banyak aspek perlu diperkemas, termasuk strategi menggerakkan ahli lama, menarik sokongan ahli baharu dan membina rangkaian lebih kukuh, justeru, kekalahan ini saya proses pendewasaan.

Walaupun sudah tentu kecewa sedikit, saya tidak memandangnya sebagai satu kegagalan mutlak. Sebaliknya, memberi pengalaman amat bermakna. Apabila saya bertanding di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, persiapannya lebih teratur dengan pasukan kerja lebih besar dan terancang.

Maknanya sedikit pengalaman politik membawa kepada kekalahan itu?
Saya tekankan setiap kekalahan bukanlah pengakhiran segalanya. Ada orang apabila kalah, kecewa dan terus putus asa. Bagi saya, tidak berjaya di peringkat cabang, saya terima dengan tenang.

Mungkin terlalu tenang, sehingga ada yang tegur saya kekalahan ini memberi kesan besar. Tetapi, paling penting bagaimana kita bangkit selepas kalah.

Dalam mana-mana pertandingan, kalah dan menang adalah perkara biasa. Saya pula bertanding dengan individu lebih berpengalaman dan arif dalam selok-belok politik.

Saya perlu rendahkan diri dan tidak menganggap kekalahan bermakna saya tiada masa hadapan dalam politik. Sudah tentu ada perkara boleh dijadikan iktibar dan ruang untuk penambahbaikan. Namun, masih banyak peluang yang ada dan saya masih muda serta tidak pernah meletakkan syarat mesti menang untuk terus relevan dalam politik.

Apa penambahbaikan boleh dilakukan bagi pemilihan hujung bulan ini?
Sejak awal lagi, saya maklumkan hasrat bertanding, sebagai isyarat kepada rakan-rakan lain supaya turut bersedia. Ini bukan sahaja persediaan untuk bertanding, tetapi juga untuk mula bekerja dan menyusun gerak kerja.

Pemilihan adalah medan politik mencabar, lebih-lebih lagi dalam PKR, parti mempunyai tradisi perjuangan dan budaya melawan yang kuat. Parti ini dihuni oleh ahli-ahli yang kritikal dan berprinsip. Maka, tiada ruang untuk mereka yang mengharap layanan istimewa atau ‘karpet merah’.

Budaya ampu tidak wujud dalam parti ini, malah, mereka yang memegang jawatan tertinggi sekalipun sentiasa menjadi sasaran kritikan. Sesiapa mahu menjadi pemimpin dalam parti ini mestilah bersedia untuk dikritik dan diaudit secara terbuka.

Kelebihan seseorang pemimpin bukan untuk dibangga-banggakan, tetapi dijadikan tanggungjawab. Tidak perlu menunggu pujian. Sebagai pemimpin di peringkat pusat, saya pernah rasa terkilan apabila mendengar keluhan anggota bahawa suara mereka tidak diendahkan atau hanya dihargai ketika musim pemilihan.

Kita tidak boleh menafikan keresahan ini. Calon menawarkan diri perlu benar-benar mendengar. Jangan anggap pandangan anggota remeh atau salah.

BOLEH MENANG MPP
Optimis terpilih di peringkat MPP?
Ya, saya optimis kerana pengalaman dalam AMK di peringkat nasional banyak yang menjadi tempat untuk saya kenal orang parti. Saya masih ingat selepas insiden Langkah Sheraton, ketika sayap Akmal Nasir memimpin AMK betapa sukarnya parti bangkit semula daripada perpecahan, termasuk insiden pengkhianatan dalam kalangan anggotanya. Kekuatan AMK merosot dengan ketara. Usaha untuk memulihkannya semula bukan sesuatu yang mudah.

Apa rancangan jika kalah dalam pemilihan peringkat MPP?
Seseorang tidak semestinya memegang jawatan untuk memainkan peranan. Saifuddin tewas dalam pemilihan lalu, namun beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung dan memainkan peranan penting dalam Pakatan Harapan (PH). Walaupun saya memulakan langkah dalam parti dengan jawatan, saya tetap berpegang pada tanggungjawab sebagai ahli dan bukan semata-mata kerana jawatan.

Saya tidak akan ambil jalan mudah, walaupun boleh sahaja duduk di kementerian atau Parlimen dan tidak terlibat langsung dalam urusan parti. Namun, saya mempunyai peranan membentuk dasar parti melalui suara saya di Parlimen dan platformnya adalah MPP.

Apa tawaran YB jika menang jawatan itu?
Saya tidak mengharapkan sambutan besar atau majlis. Saya tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi saya berjanji untuk kekal menjadi individu yang baik dalam parti, terus berusaha dan mendengar suara semua pihak. Paling penting, terus bekerja, memperbaiki diri, memikul amanah dengan tanggungjawab dan bukan hanya duduk dalam mesyuarat.

Tanggungjawab saya sudah selesai di sayap kepemudaan dan fokus kini membantu parti. Organisasi parti perlu diperkuat terutama dalam aspek komunikasi dan pengurusan.

NURUL IZZAH CALON TIMBALAN PRESIDEN PKR
YB menyokong secara terbuka pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden PKR. Apakah yang menjadikan beliau calon layak dan adakah sokongan itu datang selepas melihat sokongan daripada beberapa negeri dan tokoh besar?
Saya tidak menafikan sumbangannya yang besar. Itulah sebabnya saya ambil masa menyatakan sokongan secara terbuka. Beliau sebahagian besar daripada sejarah dan masa hadapan PKR. Saya percaya beliau berada pada satu titik amat baik, boleh diberikan peranan lebih signifikan dan aktif menguruskan parti.

Saya pernah berada di Lembah Pantai dan keluarga saya mengundi beliau sejak 2008. Walaupun kami sudah berpindah ke kampung, ibu bapa saya sanggup kembali ke Kuala Lumpur semata-mata mengundi beliau.

Ini menunjukkan betapa signifikan dan pentingnya beliau dalam kehidupan kami. Ini mengingatkan saya semasa pencalonan Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli kembali dalam politik selepas beberapa tahun fokus kepada bidang lain. Apabila beliau umum untuk kembali, ramai bersemangat dan sokong. Fenomena ini hampir serupa dengan Nurul Izzah kerana beliau juga mempunyai ramai penyokong.

Rafizi juga tokoh penting dalam yang bukan hanya menggerakkan parti, tetapi juga penubuhan parti ini melalui perjuangan reformasi. Sejarah PKR tidak akan lengkap tanpa beliau. Namun, jika Nurul Izzah disebut sebagai calon, itu tidak bermakna saya menafikan pemimpin lain. Saya sangat hormat Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Rafizi. Tidak salah membuat pilihan. Ini hak setiap individu.

YB percaya dengan amalan kronisme, nepotisme dan gelaran ‘politik keluarga’?
Saya tidak mahu bersikap sinis, tetapi ada banyak cara untuk kita memahami isu ini. Kebanyakan komen muncul berkaitan beliau datang daripada mereka yang mungkin memerhati dari luar atau mereka yang tidak menyokong. Beliau bukan orang baru dalam politik. Sejak dari dulu, beliau melalui pelbagai peringkat. Apabila dicadangkan sebagai timbalan, mengapa ia dianggap nepotisme?

Ada yang berpendapat parti ini adalah “parti keluarga”, tetapi itu bukanlah perkara baharu. Kita semua tahu sejarah PKR dan tiada siapa yang berada dalam parti ini hanya kerana hubungan keluarga. Semua anggota parti, termasuk Nurul Izzah, perlu melalui banyak ujian dan proses.

Soal nepotisme dan kronisme, ia harus dilihat dengan konteks tepat. Kita menentang kronisme melibatkan pemberian jawatan berdasarkan hubungan keluarga, kawan atau kenalan. Tetapi dalam kes ini, Izzah dicadang bertanding dan beliau akan berhadapan dengan pemilihan sangat mencabar dan proses ketat.

PERJUANGAN DAN SENTIMEN LAMA
YB pernah menyuarakan isu pinjaman pendidikan sejak sebelum menjadi wakil rakyat. Di mana perjuangan itu sekarang?
Saya tidak mahu sentuh isu ini secara terlalu mendalam. Saya melihat ini sebagai tanggungjawab sebagai kerajaan mencari penyelesaian, bukan sekadar menjadikannya modal politik.
Isu seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sering kali bangkit. Di mana-mana forum, kami tidak pernah mengelak menjawabnya.

Kami akui kekurangan ada dalam pelaksanaan dasar, tetapi tidak bermakna kami akan berhenti berusaha. Keadaan sekarang sudah berbeza berbanding 12 tahun lalu dan konteks sekarang jauh berbeza dengan dahulu dan penambahbaikan tetap perlu dilakukan.

Saya masih berpegang pada prinsip yang sama mengenai masalah pembiayaan pendidikan bagi anak muda yang ingin melanjutkan pelajaran.

Saya juga tidak setuju cadangan menyekat pelajar keluar negara jika belum melunaskan bayaran PTPTN seperti yang pernah berlaku dahulu satu dekad lalu.
Pernah juga dicadang membuat senarai hitam atau sekat peminjam PTPTN, namun cadangan ini ditentang oleh beberapa pihak. Walaupun kami tidak bersetuju, kami menghormati hak kementerian berkaitan menetapkan dasar mereka. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN