Sejauh mana keberkesanan program membasmi miskin tegar?

Sejauh mana keberkesanan program membasmi miskin tegar?

MEMBASMI kemiskinan tegar memerlukan kerjasama bersepadu antara kerajaan, masyarakat, akademik dan yang paling penting peserta itu sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMISKINAN itu ibarat penyakit ia boleh dirawat jika ada “ubat” yang betul, insya-Allah. Seperti juga penyakit, kemiskinan boleh diwarisi daripada satu generasi ke generasi berikutnya. Namun harus diingat, bukan semua anak cucu rela mewarisi “takdir” itu. Dalam erti kata lain, setiap orang berhak untuk mendapat peluang untuk mengecapi hidup yang lebih baik. Kemiskinan bukan takdir yang kekal, dan ia boleh dihindarkan. Kuncinya ialah ilmu, azam, tekat, strategi dan tindakan yang lahir daripada keinsafan diri. Namun usaha individu semata-mata tidak cukup, ia mesti diperkukuhkan dengan sokongan daripada pihak luar seperti kerajaan, institusi masyarakat dan pelbagai badan yang bertanggungjawab. Jika bantuan disalurkan dengan tepat dan saksama, jika peluang dibuka kepada semua tanpa diskriminasi maka rantaian kemiskinan boleh diputuskan. Daripada satu langkah kecil boleh lahir perubahan yang lebih besar. Dan daripada satu jiwa yang bangkit, boleh terbina harapan untuk sebuah keluarga.

Hakikatnya, ramai yang telah berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan melalui pendidikan, bantuan kerajaan atau hasil usaha gigih sendiri. Bentuk bantuan untuk mengatasi kemiskinan pula tidak boleh bersifat “satu penyelesaian untuk semua”. Setiap individu atau isi rumah mempunyai keperluan dan cabaran yang berbeza. Oleh itu, bantuan harus tepat kepada golongan yang disasarkan. Sekiranya seseorang itu memerlukan bantuan yang berbentuk A, namun jika diberi bantuan yang berbentuk B, maka ian telah tersalah sasaran, maka usaha untuk mengatasi masalah kemiskinan tidak akan berjaya. Bantuan yang tepat dan efektif tidak semestinya dalam bentuk kewangan semata-mata. Ia boleh hadir dalam pelbagai bentuk seperti latihan kemahiran contohnya kursus ternakan, jahitan atau membaiki kenderaan. Pendidikan percuma pula adalah senjata utama untuk memutuskan rantaian kemiskinan dari akar umbi. Akses kepada modal, seperti pinjaman mikro tanpa faedah untuk usahawan kecil, juga sangat penting bagi memberi peluang mereka berdikari. Bantuan bersyarat juga boleh menjadi strategi yang bijak, misalnya, penerima perlu mengikuti latihan sebelum menerima dana. Seperti kata pepatah, “Berikan seseorang itu ikan, dia makan untuk sehari; sebaliknya ajarkan dia memancing, dia makan seumur hidup.” Prinsip inilah yang patut dijadikan asas dalam membina dasar yang benar-benar berkesan.

Program Pembasmian Kemiskinan Tegar (BMT-IPR)
Program ini melibatkan penyertaan seramai kira-kira 10,000 ketua isi rumah (KIR) dalam kalangan miskin tegar di seluruh negara. Ia merupakan inisiatif pihak kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Berdasarkan statistik bank data kemiskinan nasional, sejumlah 130,709 ketua isi rumah miskin tegar direkodkan di seluruh negara hingga 15 September 2022. Angka ini menggambarkan betapa seriusnya cabaran yang perlu ditangani dan keperluan untuk pendekatan yang lebih sistematik serta berfokus.

Sebanyak RM36 bilion telah diperuntukkan dalam RMK12 untuk agenda pembasmian kemiskinan, dengan RM150 juta dikhususkan kepada pelaksanaan program ini.​

Apa yang menarik, program ini tidak hanya menyalurkan bantuan barangan dan peralatan, tetapi juga melibatkan intervensi yang lebih menyeluruh seperti latihan kemahiran, pembinaan semula kehidupan melalui pendekatan bersepadu serta pemantauan berterusan untuk memastikan keberkesanan bantuan.

Program ini akan memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan tegar dalam kalangan ketua isi rumah (KIR) dan ahli isi rumah (AIR) miskin tegar di seluruh negara pada akhir tahun 2025. Pelaksanaannya merangkumi tempoh tiga tahun enam bulan (2022-2025), bermula dengan fasa rintis pada penghujung Mei 2022. Fasa pertama ini melibatkan 80 lokaliti dan kira-kira 3,000 KIR miskin tegar. Fasa kedua bermula pada bulan September 2022, diikuti fasa ketiga pada bulan Disember 2022 dan fasa berikutnya bermula pada tahun 2023.

Cabaran Di Sebalik Bantuan: Antara Realiti dan Harapan 
Dalam usaha membasmi kemiskinan tegar, bukan semua penerima manfaat berjaya memanfaatkan bantuan yang diberikan. Terdapat juga kes di mana peralatan yang disalurkan tidak digunakan, sama ada kerana kekangan teknikal atau faktor peribadi.

Ini memberi gambaran bahawa dalam program bantuan, pendekatan “satu bantuan untuk semua” tidak semestinya berkesan. Ia menekankan keperluan penilaian yang lebih teliti terhadap latar belakang, kapasiti dan keperluan sebenar penerima sebelum bantuan disalurkan.

Bantuan yang baik bukan sekadar apa yang diberi, tetapi bagaimana dan kepada siapa ia disampaikan.

Refleksi dan Persoalan: Sampai ke Mana Hala Tuju Program Ini?
Tempoh pelaksanaan program hampir sampai ke penghujung, namun pelbagai persoalan bermain di fikiran kami sebagai ahli akademik yang dilantik sebagai pengantara untuk mendapatkan profiling bagi setiap senarai nama yang dibekalkan oleh pihak Kementerian Ekonomi.

Antara persoalan utama yang timbul ialah apakah program ini benar-benar berjaya mencapai matlamat dan objektif yang digariskan? Kita sedia maklum bahawa sasaran program ini amat jelas, iaitu mensifarkan kemiskinan tegar menjelang tahun 2025. Namun sejauh mana pencapaian itu dapat direalisasikan? Adakah matlamat tersebut boleh dicapai apabila masih wujud peserta yang tidak dapat meningkatkan taraf pendapatan mereka, walaupun telah menerima bantuan? Jika tidak, di manakah sebenarnya kekangan utama? Adakah berpunca daripada pemantauan yang tidak menyeluruh? Atau pemberian bantuan yang tidak selari dengan keperluan sebenar penerima? Atau mungkinkah juga terdapat elemen sikap dan motivasi peserta yang tidak mencukupi untuk keluar daripada belenggu kemiskinan?

Sebagai pelaksana di peringkat akar umbi, kami melihat keperluan untuk kajian impak yang lebih holistik dan berterusan. Penilaian tidak seharusnya hanya berdasarkan angka pendapatan semata-mata tetapi perlu meliputi perubahan dari sudut gaya hidup, keupayaan berdikari dan motivasi diri peserta.

Membasmi kemiskinan tegar bukan tugas mudah. Ia memerlukan kerjasama bersepadu antara kerajaan, masyarakat, akademik dan yang paling penting peserta itu sendiri. Bantuan yang disalurkan mestilah tepat, relevan dan bersifat membina keupayaan. Program seperti ini boleh membawa kejayaan. Tetapi untuk benar-benar berjaya, ia perlu disertai dengan pemantauan berterusan, pendekatan yang disesuaikan dan penilaian impak yang jujur dan telus. Akhirnya, yang paling penting ialah memastikan kemiskinan tidak menjadi warisan, tetapi hanya sejarah.

PROFESOR Dr. Siti Hadijah Che Mat adalah Felo di Institut Kajian Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI) dan juga Profesor di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia. – UTUSAN
Dr. Norzita Jamil adalah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN