Penjara bukan lagi pusat hukuman semata-mata

Penjara bukan lagi pusat hukuman semata-mata

SISTEM penjara negara hari ini tidak lagi hanya melaksanakan hukuman, sebaliknya berubah menjadi tempat pemulihan dan pembinaan semula insan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
SISTEM penjara negara hari ini tidak lagi hanya melaksanakan hukuman, sebaliknya berubah menjadi tempat pemulihan dan pembinaan semula insan.
Transformasi ini selari dengan usia 235 tahun Jabatan Penjara Malaysia bertemakan peradaban manusiawi dan kemanusiaan bertamadun bagi memperkukuh masyarakat dalam mengekalkan kerelevannya sebagai pusat tahanan yang sentiasa berubah pengikut peredaran zaman.
Ikuti tembual wartawan Utusan Malaysia, MASZUREEN HADZMAN bersama Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia atau Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, DATUK ABDUL AZIZ ABDUL RAZAK mengenai pelaksanaan agenda reformasi penjara.

Fokus agenda ini melibatkan empat teras utama iaitu mengurangkan kesesakan penjara, menggantikan fasiliti usang, menambah baik undang-undang serta meningkatkan keberkesanan program pemulihan melalui pengukuran kadar residivis (kemasukan semula banduan) yang ketika ini di tahap 12.4 peratus.

KESESAKAN PENJARA
Setakat 30 April lalu, jumlah semasa banduan direkodkan adalah 86,605. Daripada jumlah itu, 93.38 peratus atau 80,869 individu berada di dalam penjara manakala 6.62 peratus atau 5,736 individu dalam komuniti.
Ketika ini juga, sebanyak 14 daripada 43 penjara, kita kesan mengalami kapasiti melebihi 20 peratus daripada kapasiti asal dan banduan tertinggi adalah melibatkan pesalah dadah.
Keadaan ini berlaku memandangkan pesalah dadah ini ketahanan diri mereka kurang. Pada peringkat awal, mungkin mereka sudah baik tetapi disebabkan mempunyai wang kerana bekerja di dalam penjara, maka penjual dadah atau tokan akan mendekati banduan-banduan ini sebaik mereka berada di luar sekali gus mempengaruhi untuk mereka kembali mengambil dadah.

FASILITI USANG
Pada hari ini, kita masih ada enam penjara usang antaranya di Pulau Pinang, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Kelantan. Mengikut Jabatan Kerja Raya (JKR), mereka menasihatkan agar bangunan tidak lagi dibaik pulih kerana diragui. Jadi, ia perlu pembinaan semula kerana kalau kita baiki keadaan tetap sama.

Penjara-penjara ini perlu diganti dengan yang lebih moden dan berperikemanusiaan, bermaksud prospek (banduan) akan rasa selamat, tenteram dan bersedia menjalani hukuman.
Kalau penjara sesak, sudah pasti nyawa prospek (banduan) akan terancam. Bila ada kes menyebabkan kematian prospek (banduan) di dalam sel siapa yang perlu bertanggungjawab, sudah pasti Jabatan Penjara.

BANDUAN GOLONGAN RENTAN
Banduan kategori rentan melibatkan warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit mental dan kronik yang memerlukan pertolongan dan ketika ini, kita mempunyai 4,705 orang di seluruh negara. Bayangkan, kita bukan sahaja perlu melakukan pemulihan pada pesalah jenayah tetapi golongan rentan juga.

Kita akan mewujudkan fasiliti khas buat golongan ini mengikut zon. Pada peringkat ini, fasiliti ini akan diwujudkan di tujuh tempat membabitkan enam zon.

Sebagai cadangan, zon Utara kita akan tempatkan prospek (banduan) ini di Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA) di Taiping, zon tengah (Penjara Kajang dan Penjara Wanita Kajang); zon selatan (Penjara Simpang Renggam); zon Pantai Timur (Penjara Bentong) dan Sabah serta Sarawak (Penjara Bintulu dan Lahad Datu).

Kita sudah kemukakan perkara ini kepada Majlis Sosial Negara dan telah diluluskan namun ia perlu melihat bajet bagi tahun hadapan. Pada masa jangka pendek, kita wujudkan seluruh institusi ini ada satu blok yang mempunyai fasiliti asas untuk golongan rentan.

PANTAU PROSPEK (BANDUAN)
Jabatan penjara sentiasa konsisten untuk memastikan ratio antara prospek (banduan) dengan kakitangan kita dapat dikekalkan. Secara spesifik, jumlah yang ideal iaitu nisbah 1:4 tetapi pada hari ini di 14 penjara yang sesak mempunyai nisbah 1:8 atau 1:7 atau 1:9.

Antara inisiatif dilaksanakan adalah penggunaan Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu (SKEB) berteknologi tinggi yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada akhir Mei ini.

Pemasangan sistem SKEB moden ini yang dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh kawalan keselamatan dan kecekapan pengurusan pemantauan secara automatik serta pintar.

Sistem yang akan diguna pakai di 18 penjara ini dapat memantau pergerakan penghuni berkeliaran tanpa tujuan di kawasan tertentu terlalu lama selain mengesan tindakan agresif seperti pergaduhan atau ancaman fizikal.

SKEB juga mampu mengenal pasti percubaan memanjat pagar keselamatan penjara atau tembok penjara. Sistem ini dapat memastikan pengawasan yang efisien dan tindak balas pantas terhadap potensi ancaman keselamatan penjara.

JENAYAH RENDAH, OPTIMUM KOS PENJARA
Dari segi kos Jabatan Penjara, ia terbahagi kepada kos operasi dan pengurusan. Bagi kos operasi iaitu melibatkan kos-kos di fasiliti termasuk makan dan minum prospek (banduan). Ketika ini, kerajaan memperuntukkan RM15 bagi kos makan dan minum seorang prospek (banduan) sehari. Bayangkan jumlah RM15 ini darab dengan jumlah penghuni yang ada.

Disebabkan itu kita mahu perkasakan program pemulihan agar tiada lagi prospek (banduan berulang). Kenapa tidak RM15 sehari ini dapat kita manfaatkan untuk pembangunan negara sekiranya jenayah rendah di Malaysia. Sudah tentu bebanan kerajaan pada prospek (banduan) ini dapat dioptimumkan.

KURANGKAN PESALAH BERULANG
Pada hari ini, kadar pesalah berulang berkurangan. 800 yang dibebaskan hanya satu yang kembali. Ini sekali gus menunjukkan keberkesanan program pemulihan seperti Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL). Melalui program ini prospek (banduan) mula tahu kenapa mereka perlu dipulihkan selain ahli keluarga dan majikan diluar sana yang sama-sama ambil bahagian membantu mereka.

Dalam masa sama, majikan yang menggajikan prospek (banduan) ini dengan mengambil mereka bekerja dapat pengecualian cukai RM4,000 seorang dalam tempoh setahun. Besar pengecualian ini dan sudah semestinya ini inisiatif yang baik oleh kerajaan.

Kita (Jabatan Penjara) berterima kasih kepada Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri yang bersetuju untuk menyambung pengecualian cukai ini.

Bagi pesalah muda atau juvana, terdapat 2,200 orang termasuk di Sekolah Integriti (SI) dan Sekolah Henry Gurney (SHG) kita dapati jumlah mereka berkurang sejak 2018 dan pada 2019 hampir separuh daripada itu.

Ini petunjuk masalah sosial dilihat berkurang. Bagi mereka, dari sekolah ini kembali ke penjara hampir tiada (kosong). Jadi, sistem pemulihan di sekolah-sekolah ini berkesan dalam membantu mereka untuk berada di dalam masyarakat.

KEMBALIKAN KEPERCAYAAN MASYARAKAT
Penjara tidak sewajarnya dilihat sebagai tempat hukuman semata-mata tetapi juga sebagai pusat pemulihan kepada golongan terbabit sebelum mereka kembali dalam masyarakat.

Bagi mencapai aspirasi memulihkan kesemua prospek ini, ia memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan proses pemulihan itu berjaya dan mereka dapat kembali ke pangkal jalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN