Peka, teliti dengan penggunaan bendera kebangsaan

Peka, teliti dengan penggunaan bendera kebangsaan

KITA harus peka dan teliti terhadap penggunaan unsur-unsur simbolik seperti bendera kebangsaan iaitu Jalur Gemilang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETERUJAAN Malaysia berikutan lawatan kedua Presiden China, Xi Jinping selepas 12 tahun, tercalar dek kontroversi gambar bendera Jalur Gemilang. Susulan daripada lawatan beliau, sebuah akhbar telah menyiarkan sebuah rencana bersama gambar bendera Malaysia yang tidak lengkap di muka hadapan akhbarnya.

Lebih menyedihkan, bendera kebangsaan China pula ditampilkan dengan sempurna dan tanpa sebarang cacat cela. Kesilapan akhbar tempatan tersebut mengundang reaksi pelbagai pihak, termasuklah tokoh masyarakat dan rakyat jelata yang menganggap perbuatan tersebut sebagai satu bentuk kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi, kecuaian tersebut membabitkan identiti negara.

Sebagai simbol kedaulatan negara, Jalur Gemilang terdiri daripada 14 jalur merah dan putih melambangkan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan dalam Persekutuan Malaysia. Ia juga memaparkan bulan sabit dan bintang pecah 14 yang melambangkan Islam sebagai agama Persekutuan serta perpaduan antara negeri- negeri. Namun begitu, gambar bendera yang disiarkan oleh akhbar tersebut langsung tidak memaparkan simbol bulan sabit, satu unsur penting yang menzahirkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Ini merupakan satu kecuaian yang amat serius dan tidak seharusnya berlaku selepas negara kita hampir mencecah usia 68 tahun. Dalam soal ini, dua bentuk kesalahan telah dilakukan oleh akhbar tersebut. Pertamanya, gagal menyiarkan reka bentuk asal bendera Malaysia. Kedua, ketiadaan simbol bulan sabit, seolah-olah menidakkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Rentetan kritikan berterusan, pihak akhbar mengeluarkan kenyataan permohonan maaf secara terbuka. Mereka memberikan justifikasi bahawa kesilapan tersebut tidak disengajakan dan kemungkinan ia berlaku semasa proses penyuntingan grafik. Walaupun permohonan maaf telah dibuat, rakyat Malaysia masih tidak berpuas hati. Media sosial dibanjiri kecaman, dengan ramai yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap insiden yang mencalar imej negara dan menunjukkan kurangnya penghormatan terhadap simbol kebangsaan.

Bendera kebangsaan bukan sekadar kain bersaiz 6 kaki x 3 kaki yang dihias dengan simbol dan warna. Ia merupakan lambang maruah, kedaulatan dan identiti negara yang melambangkan semangat patriotisme yang wajar wujud dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Bendera inilah yang menjadi lambang pengenalan negara kita di mata dunia.

Bendera kebangsaan merupakan lambang rasmi negara. Bukanlah satu simbol yang direka semberono, tanpa tujuan ataupun matlamat. Bendera kebangsaan yang kita ada pada hari ini melalui satu proses yang panjang sejak tahun 1948 lagi. Daripada identitinya sebagai bendera Persekutuan Tanah Melayu sehingga kepada pembentukan Malaysia pada tahun 1963, setiap perubahan yang berlaku ke atas bendera kebangsaan mempunyai sejarah dan maknanya tersendiri.

Sebagai rakyat Malaysia, kita memikul amanah besar dalam menjaga kesucian identiti kebangsaan. Apa jua tindakan kita, lebih-lebih yang melibatkan simbol nasional, mestilah dilakukan dengan teliti dan penuh tanggungjawab. Kita perlu memastikan simbol negara tidak terpalit dengan sebarang isu yang menggoyahkan ketertinggiannya. Ini adalah satu cara kita menunjukkan tanda penghormatan terhadap negara yang memberikan kita kehidupan yang aman dan sejahtera. Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim, yang menegur insiden ini, wajar dijadikan peringatan buat seluruh rakyat. Jangan sesekali memandang ringan lambang kedaulatan negara.

Harus diingat, identiti negara seperti bendera kebangsaan adalah dilindungi di bawah undang-undang negara. Di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414], mana-mana pihak tidak boleh menggunakan atau memaparkan sebarang lambang kebangsaan yang dianggap menyinggung atau merendahkan martabat lambang tersebut. Sekiranya didapati bersalah melanggar peruntukan dalam Akta 414, pihak terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang. Mengikut akta tersebut, denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan. Alangkah malunya jika rakyat sendiri didakwa kerana gagal menghormati simbol negaranya sendiri. Jadi berhati-hatilah. Seperti kata pepatah, “berjalan pelihara kaki, berkata pelihara lidah”.

Biarlah insiden ini menjadi satu pengajaran. Kita harus peka dan teliti terhadap penggunaan unsur-unsur simbolik seperti bendera kebangsaan. Kita tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama pada masa akan datang. Kerana hanya keldai yang jatuh ke lubang yang sama dua kali.
Hargailah identiti negara yang menjadi lambang kebanggaan rakyat Malaysia. Perkukuhkan semangat nasionalisme dan pupuklah jati diri yang tinggi demi Malaysia yang tercinta. – UTUSAN

DR. Jayakumary Marimuthu ialah Pensyarah Akademik di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN