Menulis, membaca medan kesinambungan tradisi cendekiawan

Menulis, membaca medan kesinambungan tradisi cendekiawan

DENGAN lebih 1.8 juta pengunjung direkodkan pada 2024, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) membuktikan daya tarikannya sebagai perayaan ilmu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRADISI membaca, menulis dan menyampaikan ilmu merupakan inti kepada kegemilangan tamadun Islam, melahirkan ulama, saintis dan cendekiawan yang karya mereka menjadi rujukan sepanjang zaman.

Dari Baitul Hikmah di Baghdad hingga pusat ilmu di Nusantara, cendekiawan Islam menghasilkan kitab-kitab monumental dalam pelbagai bidang seperti agama, sains, falsafah dan sastera. Namun, di era pascanormal yang dipengaruhi media sosial yang ringkas dan cepat, budaya membaca dan pemilikan buku semakin terancam.

Pada abad ke-8 hingga ke-13, zaman kegemilangan Islam menyaksikan kemunculan pusat ilmu seperti Baitul Hikmah. Cendekiawan seperti Al-Kindi (falsafah), Al-Razi (perubatan) dan Al-Biruni (astronomi) menghasilkan karya yang mengintegrasikan ilmu Yunani, Parsi dan India dengan nilai Islam.

Kitab seperti al-Qanun fi al-Tibb oleh Ibnu Sina dan kitab al-Manazir oleh Ibn al-Haytham menjadi rujukan sepanjang zaman. Tradisi menterjemah, membaca dan menulis ini memastikan ilmu terus berkembang, menyokong kemajuan kerajaan Abbasiyah dan Umaiyyah.

Di Andalusia (abad ke-8 hingga ke-15), Cordoba menjadi pusat ilmu yang menarik cendekiawan daripada pelbagai agama. Ibn Rushd (Averroes) menulis tafsiran falsafah Aristotle yang mempengaruhi pemikiran Eropah melalui mengharmonikan pemikiran rasional dengan kepercayaan. Al-Zahrawi pula menghasilkan al-Tasrif, sebuah ensiklopedia perubatan.

Perpustakaan Cordoba yang menyimpan ratusan ribu manuskrip mencerminkan budaya membaca yang menjadi asas kepada kebangkitan Renaissance Eropah.

Kerajaan Safawiyah (Safavid Empire) di Parsi dan Mughal di India turut menyumbang tradisi cendekiawan Islam. Di Parsi, ulama seperti Mulla Sadra mengembangkan falsafah Islam melalui karya seperti al-Hikmah al-Muta’aliyah (karya ini menggabungkan intelek, intuisi dan wahyu untuk memahami realiti). Di India, cendekiawan seperti Abu al-Fazl menulis Akbarnama mendokumentasikan sejarah dan budaya Mughal. Kitab-kitab ini, yang merangkumi sastera, sejarah dan sains, menunjukkan kepelbagaian intelektual dalam tamadun Islam.

Di Nusantara, ulama seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri dan Abdul Samad al-Palimbani menghasilkan kitab-kitab besar dalam tulisan Jawi yang menjadi rujukan sehingga kini. Karya seperti Hikayat Nur Muhammad oleh Hamzah Fansuri dan Bustan al-Salatin oleh al- Raniri mengintegrasikan ilmu tasawuf, sejarah dan akhlak.

Ulama Aceh menubuhkan pusat pendidikan seperti Baiturrahman, manakala di Melaka, karya seperti Sejarah Melayu mendokumentasikan warisan budaya. Kitab-kitab ini bukan sahaja menyokong pentadbiran kerajaan, tetapi juga membentuk identiti intelektual masyarakat Melayu.

Buya Hamka juga tidak kurang hebatnya dengan karya agung beliau, Tafsir Al-Azhar menjadi rujukan penting sehingga kini.

Seperti yang dibincangkan oleh Ziauddin Sardar dalam The Postnormal Times Reader dan Muslim Societies in Postnormal Times, dunia kini menghadapi ketidaktentuan, kerumitan dan kekacauan yang didorong teknologi digital. Media sosial dengan sifatnya yang ringkas dan cepat, sering mengutamakan hiburan berbanding kandungan intelektual.

Jennifer Ashton dalam The New Normal menekankan bagaimana norma baharu ini mengubah cara generasi muda berinteraksi dengan ilmu. Tanpa budaya membaca dan pemilikan buku, generasi akan datang berisiko kehilangan kedalaman pemikiran yang menjadi teras tamadun Islam.

Pandangan Jim Wallis dalam Rediscovering Values menyeru pemulihan nilai-nilai kemanusiaan, termasuk budaya membaca yang memupuk empati dan kebijaksanaan. Begitu juga, konsep ‘menghumanisasi ekonomi’ dalam Humanise: Why Human-Centred Leadership is the Key to the 21st Century (Anthony Howard) menekankan pentingnya ilmu yang berpusat pada manusia, yang hanya dapat dicapai melalui tradisi cendekiawan seperti membaca dan menulis.

Buku Ramuan Kebahagian (terjemahan daripada karya Imam al-Ghazali, Kimiya-yi Sa\’adat) oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar ada penyelesaian bagi fenomena dan dilema identiti ini. Manakalah buku, Islam: The Covenants Fulfilled karya Professor DiRaja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas seorang pemikir Islam kontemporari menjelaskan konsep dan realiti manusia sebenar dalam kerangka ad-Din (agama) sebagai cara hidup merumuskan penyempurnaan perjanjian anak-anak Adam (Mithāq Alastu) dan perjanjian para nabi (Risālah) Nabi Muhammad penyempurna dan pelengkap kitab-kitab terdahulu menyatukannya dalam agama Islam yang universal.

PERANAN PESTA BUKU
Untuk merekayasa semula ‘set dan orientasi semula’ seperti yang diarusperdanakan bagi menghadapi fenomena peralihan ‘kuasa lama’ (berbentuk formal, persaingan, berpisah-pisah, berkepengkhususan dan perlahan) dengan ‘kuasa baharu’ (tidak formal, kolaborasi, telus, membina budaya dan pantas), Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 menjadi platform untuk menghidupkan semula tradisi ini.

PBAKL 2025 yang bermula hari ini hingga 1 Jun adalah peluang untuk meraikan warisan cendekiawan Islam sambil memupuk minat membaca dalam kalangan generasi muda.

PBAKL kali ini menampilkan pelbagai kitab dan buku, termasuk karya klasik Islam oleh berbagai agensi agama di Pavilion Al-Falah. PBAKL juga boleh mempamerkan karya ulama kontemporari menangani cabaran pascanormal.

PBAKL adalah peluang untuk menjadi sebahagian daripada warisan cendekiawan Islam. Dengan kemasukan percuma dan diskaun oleh penerbit, semua lapisan masyarakat dapat memiliki buku yang memperkayakan minda.

PBAKL membuka ruang mengintegrasikan teknologi untuk menarik generasi muda, seperti pameran digital manuskrip Islam atau aplikasi yang mempromosikan buku-buku klasik.

PBAKL, platform yang mampu melonjakkan budaya membaca, tidak dapat disaingi oleh media sosial. Dengan mengambil inspirasi daripada pemikir seperti Ziauddin Sardar dan Jim Wallis, PBAKL dapat menjadi titik penting dalam kehidupan intelektual, membawa generasi muda ke arah masa hadapan lebih cemerlang.

Tradisi membaca, menulis dan menyampaikan ilmu menjadi tunjang kepada kegemilangan tamadun Islam serta melahirkan cendekiawan dan karya yang terus relevan.

Di era pascanormal, PBAKL menjadi platform penting untuk menghidupkan semula tradisi ini, memupuk minat membaca dan memastikan generasi muda tidak hanya dibentuk oleh sekadar budaya media sosial yang cetek.

Marilah kita meraikan warisan cendekiawan Islam di PBAKL 2025, kerana hanya melalui ilmu sahaja kita mampu membina peradaban yang gemilang.-UTUSAN

 

PROFESOR Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

MOHD Noor Omar ialah Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN