“DAH tua-tua ini kena kawal dan jaga pemakanan. Nanti kalau selalu sakit tak pasal-pasal kita tak boleh kerja lagi. Kena bersara awal. Hutang rumah, kereta, kad kredit ada banyak lagi ini,” kata seorang kawan sambil menghirup teh tarik gelas besar.
Dua keping roti canai di depannya masih belum dijamah dan dia sudah bertanyakan kepada pekerja restoran mamak di situ, mana mee goreng ayamnya masih belum sampai-sampai lagi.
Saya fikir bab-bab jaga makan ini, bercakap memang mudah, mengawal itu yang payah. Dalam usia tua pun, masih ramai yang celik-celik mata saja, fikir pasal makan.
Tetapi saya bersetuju dalam usia 50-an ke atas sudah sepatutnya kita lebih berhati-hati memilih makanan pula kerana fasa memilih kerja sudah lama berlalu. Ketika usia sebegini kesihatan adalah segala-galanya.
Bagaimanapun, kata kawan saya itu, dia setakat ini masih belum diserang penyakit ‘tiga serangkai’ atau apa-apa yang kronik. Demam atau selesema itu biasa.
Katanya, dia mahu bekerja sehingga usia persaraan 60 tahun, selepas itu walaupun ditawarkan kerja kontrak kerana kepakarannya dalam bidang peruncitan di sebuah pasar raya besar di Cheras, dia tidak mahu. Baik meniaga kecil-kecilan. Pada usia tua, dia mahu hidup tenang-tenang saja.
Tetapi pada masa sama, dia berazam mahu menyelesaikan segala hutang piutangnya menjelang usia persaraan kerana tidak mahu serabut dengan bebanan hutang dan dapat menikmati saki baki wang simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk hal-hal kesihatan dan diri sendiri.
Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 tahun kepada 65 tahun.
Beliau yang menyuarakan pandangan peribadinya berkata, adalah satu kerugian apabila individu diwajibkan bersara pada usia 60 tahun sedangkan mereka masih bertenaga dan produktif serta berupaya menyumbang kepada tenaga kerja.
“Mungkin kerajaan boleh pertimbang umur 65 tahun. Ini pandangan peribadi saya, bukan pandangan Kabinet. Ada pegawai yang kami temui masih muda (jiwanya) dan aktif. Cuma mereka sudah capai umur 60 tahun,” kata Azalina.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diminta media mengulas cadangan itu berkata, menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun wajar diberikan perhatian dan pertimbangan.
Beliau menekankan, perlunya kajian menyeluruh, termasuk implikasi kewangan, jumlah penduduk, dan peluang pekerjaan baharu, sebelum keputusan dibuat.
Di Malaysia, persaraan wajib bagi penjawat awam pada masa ini ditetapkan pada usia 60 tahun. Ini juga usia persaraan minimum bagi pekerja sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.
Di negara jiran, Singapura umur persaraan dinaikkan daripada 63 kepada 64 tahun bermula 1 Julai tahun hadapan. Di Thailand pula 55 tahun, tetapi ada cadangan untuk menaikkan usia itu kepada 65 tahun manakala di Indonesia umur persaraan 58 tahun pada tahun lalu dan akan meningkat setahun untuk setiap tiga tahun, sehingga 65 tahun pada 2043.
Menurut World Economic Forum, Norway merupakan antara negara yang meletakkan had umur pada usia 67 tahun manakala Arab Saudi pula pada 47 tahun untuk usia layak bersara.
Ramai yang memberikan pelbagai komen tentang kenyataan Azalina – yang banyak adalah tak akan sudah bertongkat pun mahu pergi ke pejabat? Nampak lagikah skrin komputer? Ramai yang mempertikaikan kesihatan pekerja dalam usia sebegini. Bolehkah lagi memandu datang ke pejabat, anak hantarkah?
Ada juga yang berkata, dalam usia 65 tahun ke atas adalah lebih baik jadi ‘geng surau’ atau masjid. Pada saya, tidak perlu tunggu usia 65 baru hendak fokus amal ibadah dan rajin ke masjid. Kita boleh ‘dipanggil’ pergi pada bila-bila masa. Tidak kira tua atau muda.
Memang dalam usia 50 ke atas, dikaitkan dengan segala macam penyakit dan keupayaan. Bagaimanapun, macam mana yang masih sihat dan boleh menyumbang kepakarannya dalam syarikat? Itu yang Azalina tekankan.
Tetapi yang kita lebih bimbangkan, tempoh persaraan yang semakin mahu dipanjangkan ini akan menyekat peluang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan graduan institut pengajian tinggi untuk mengisi jawatan dalam sektor awam.
Sekarang ini mereka hanya berpeluang bekerja di sektor awam melalui program MySTEP dalam tempoh tertentu sahaja dengan tiada kenaikan gaji walaupun dilanjutkan tempoh perkhidmatan itu.
Graduan yang menyertai MySTEP walaupun menunjukkan prestasi baik ketika bekerja tidak boleh diserap terus ke jawatan tetapi perlu memohon melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk kemasukan sekiranya ada kekosongan.
Akhirnya di pejabat kerajaan tetap dibarisi muka-muka lama manakala yang muda pula memang ada tetapi hanya bersilih ganti, datang dan pergi sebagai pekerja MySTEP.
Adakah ini dapat membantu mengurangkan pengangguran dalam kalangan anak muda jika mereka hanya dibenarkan bekerja dalam tempoh singkat sedangkan dalam sektor swasta pun susah untuk mendapatkan kerja?
Tak akanlah mereka yang muda ini jika tidak ada kerja, disarankan menjadi penghantar makanan atau membawa penumpang – menceburi e-hailing dan p-hailing sehingga mereka tua. Universiti-universiti melahirkan tenaga kerja untuk mengisi industri sebegini sajakah?
Pada masa sama, peluang untuk pekerja muda naik pangkat juga tersekat kerana terpaksa menunggu lama pekerja senior berpangkat yang tidak pencen-pencen lagi.
Namun tidak kurang juga menyokong kenyataan tersebut, sedangkan ahli politik berusia 65 tahun ke atas masih lagi mahu memegang jawatan kanan dalam parti dan Kabinet, kenapa rakyat biasa yang masih boleh bekerja dan bijak, ada had umur pula?
Dan jika ini dapat dilaksanakan, pada saya adalah lebih baik ia dibuat sebagai pilihan dan saringan kesihatan perlu dilakukan. Hanya yang sihat dan masih berupaya bekerja saja boleh bersara dalam usia 65 tahun.
Atau ditawarkan kerja secara kontrak tidak lebih dua tahun bagi yang kepakarannya sukar atau masih belum boleh diganti dengan pekerja sedia ada.
Isu umur persaraan ini macam tidak habis-habis. Ada saja yang akan mengusulkan supaya ia dinaikkan. Bila sudah dinaikkan 65 tahun nanti, percayalah akan ada permintaan 75 tahun pula, sampailah ke 100 tahun agaknya.
Macam saya katakan dalam tulisan saya sebelum ini, sehebat mana pun kita dalam satu-satu organisasi atau parti politik, kita akan dan boleh digantikan. Begitulah kitaran hidup. Kitar semula hanya perkara-perkara yang perlu saja.
PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.