Jangan normalisasikan tidak hadir peperiksaan, gagal dalam SPM

Jangan normalisasikan tidak hadir peperiksaan, gagal dalam SPM

KITA tidak boleh lagi berdiam diri apabila melihat normalisasi kegagalan SPM, yang kini dirayakan seperti satu kebebasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENAR, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukanlah penentu mutlak kejayaan seseorang dalam hidup. Namun, ia masih kekal sebagai batu asas penting dalam menentukan arah tuju masa depan generasi muda, sama ada ke institusi pengajian tinggi, pendidikan teknikal dan vokasional atau ke dunia pekerjaan.

Ramai yang sering mengulangi frasa “tidak semestinya ada SPM untuk berjaya,” seolah-olah menormalisasikan kegagalan awal sebagai sesuatu yang tidak mengapa. Ya, memang ada segelintir tokoh berjaya walaupun tanpa kelulusan tinggi, tetapi mereka adalah pengecualian, bukan peraturan. Realitinya, bagi majoriti anak muda, terutama dari keluarga berpendapatan rendah, SPM adalah tiket utama keluar daripada perangkap kemiskinan.

Lebih membimbangkan, data yang dilaporkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan bahawa lebih 8,000 calon tidak hadir langsung dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024. Ini bukan angka kecil. Setiap seorang daripada mereka mewakili sebuah kisah, mungkin ada yang terpaksa berhenti sekolah kerana mahu menyara keluarga, ada yang bergelut dengan kesihatan mental dan tidak kurang juga yang hilang arah dan motivasi dalam sistem yang tidak memberi harapan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, satu fenomena yang membimbangkan telah timbul dalam kalangan pelajar sekolah menengah iaitu normalisasi status ‘TH’ (Tidak Hadir) dan ‘G’ (Gagal) dalam keputusan peperiksaan SPM. Dahulu, status ini dianggap sebagai sesuatu yang memalukan, malah menjadi pemangkin untuk memperbaiki diri. Namun kini, semakin ramai dalam kalangan generasi muda yang memperlihatkan sikap acuh tidak acuh, malah menjadikan status tersebut sebagai bahan gurauan atau sesuatu yang tidak memerlukan penyesalan.

Fenomena ini bukan sekadar tentang kegagalan akademik ia mencerminkan satu perubahan sikap yang lebih mendalam terhadap nilai pendidikan. Dalam era media sosial, terdapat pelajar yang berkongsi keputusan mereka dengan nada sinis atau bangga walaupun gagal sepenuhnya. Ada yang memuat naik keputusan ‘TH’ atau ‘G’ seolah-olah ia satu pencapaian yang membebaskan mereka daripada tekanan akademik. Lebih membimbangkan, mereka yang tidak hadir ke SPM bukan kerana sakit atau kecemasan, tetapi kerana tidak berminat, tidak nampak kepentingannya atau terpengaruh dengan gaya hidup yang meminggirkan pendidikan.

Lebih 8,000 calon tidak hadir dalam peperiksaan SPM 2024. Di sebalik angka itu mungkin tersembunyi pelbagai latar belakang daripada pelajar yang perlu bekerja membantu keluarga, sehinggalah pelajar yang sudah ‘menyerah kalah’ sejak di bangku sekolah. Namun, apabila kegagalan atau ketidakhadiran ini tidak lagi dianggap serius bahkan ‘dirayakan’ secara terbuka, maka kita sedang menyaksikan satu bentuk normalisasi kegagalan yang berbahaya. Sikap ini mungkin timbul daripada beberapa faktor:

  • Kekurangan motivasi dan sokongan emosi daripada persekitaran.
  • Kemiskinan pendidikan, iaitu latar belakang keluarga yang tidak menekankan kepentingan ilmu.
  • Kegagalan sistem pendidikan menyesuaikan diri dengan realiti sosioekonomi pelajar masa kini.
  • Pengaruh media sosial, yang kadangkala menjadikan kejayaan akademik tampak tidak relevan berbanding kejayaan ‘cepat kaya’ melalui jalan pintas.

Namun, apa yang tidak disedari ramai ialah betapa sukar kehidupan yang menanti di luar tanpa sijil SPM. Tanpa SPM, pilihan untuk melanjutkan pelajaran amat terhad dan peluang kerjaya yang stabil menjadi semakin sempit. Walaupun terdapat naratif ‘tidak perlu belajar tinggi pun boleh berjaya’, itu bukanlah realiti bagi kebanyakan orang. Ramai yang akhirnya terperangkap dalam pekerjaan tidak menentu, gaji rendah dan tiada jaminan masa depan.

Oleh itu, masyarakat perlu menghentikan budaya menganggap kegagalan sebagai satu kelaziman. Setiap kegagalan perlu diiringi dengan usaha pemulihan, bukan diraikan sebagai sesuatu yang ‘cool’ atau lucu. Ibu bapa, guru dan pihak berkuasa perlu bekerjasama mengubah persepsi ini dan mengembalikan semula nilai kepada pendidikan sebagai jalan ke arah masa depan yang lebih baik.

Apa Yang Perlu Kita Lakukan?

  • Ibu bapa dan masyarakat perlu menanamkan semula nilai pendidikan sebagai asas kehidupan.
  • Guru dan sekolah mesti menjadi ejen motivasi, bukan sekadar penyampai silibus.
  • Kerajaan dan pembuat dasar perlu pastikan pendidikan kekal mudah capai, berkualiti, dan mesra murid miskin.
  • Media dan tokoh masyarakat perlu tampil membawa naratif kejayaan pelajar miskin supaya lebih ramai percaya bahawa mereka juga boleh.

Kita tidak boleh lagi berdiam diri apabila melihat normalisasi kegagalan SPM, yang kini dirayakan seperti satu kebebasan. Penularan budaya ‘tidak apa’, ‘G pun okay’, atau ‘TH bukan masalah’ bukan sahaja merosakkan persepsi tentang nilai pendidikan, malah ia memperkukuh kitaran kemiskinan antara generasi. Kegagalan hadir ke peperiksaan atau menamatkan persekolahan bukan lagi soal kemalasan semata-mata ia sering berakar pada masalah struktural: tiada duit tambang, kelaparan, beban tanggungjawab keluarga atau tekanan perasaan atau tekanan mental yang tidak kelihatan di mata umum.

Masyarakat perlu sedar bahawa isu kemiskinan pendidikan ini adalah isu nasional. Ia bukan sekadar tanggungjawab guru atau ibu bapa, tetapi seluruh ekosistem masyarakat daripada pembuat dasar, majikan, komuniti dan kita semua. Kita mesti menyediakan laluan kedua (second chance pathways) kepada yang tercicir, seperti program kemahiran, pendidikan dewasa dan pembelajaran fleksibel. Malah, kita harus memperjuangkan dasar yang memastikan semua pelajar tanpa mengira latar belakang mempunyai peluang yang sama untuk berjaya.

Mungkin, peningkatan satu tahun pendidikan boleh meningkatkan pendapatan seseorang sebanyak 10 peratus. Ini bukan retorik, tetapi bukti betapa pendidikan mampu mengubah takdir. Pendidikan adalah tangga keluar dari belenggu kemiskinan, bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk keluarga, komuniti dan akhirnya negara.

Tahniah kepada semua pelajar yang berjaya menamatkan SPM, walau apa pun keputusan yang diperoleh. Anda telah menamatkan satu fasa penting dalam hidup. Kepada yang tersasar, ingatlah bahawa belum terlambat untuk berpatah balik. Ilmu tidak pernah menutup pintunya.

Dunia masih membuka ruang dan masa depan masih boleh ditulis semula. Yang penting, jangan putus asa dan jangan pernah berhenti berusaha.

PROFESOR Dr. Siti Hadijah Che Mat adalah Felo di Institut Kajian Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI) dan juga Profesor di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia. Dr. Norzita Jamil adalah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN