Pada tahun 1970, ketika itu saya berada dalam Darjah lima di sebuah kampung, lima kilometer dari bandar Batu Pahat, semua penduduk menggunakan kayu qpi sebagai bahan api.
Di sebelah dapur memasak, terdapat sebuah tong yang ditempatkan kayu api. Hampir setiap hari ia akan diisi semula apabila berkurang setelah digunakan. Kayu api itu terdiri daripada dahan-dahan dan batang pokok getah. Ia perlu dikerat pendek-pendek. Kayu api ini boleh juga dibeli dari kedai runcit.
Untuk lampu, penduduk kampung menggunakan minyak tanah atau kerosin. Lampu minyak tanah ada beberapa jenis iaitu pelita, lampu kaca dan lampu pam. Ia boleh dibeli dari kedai runcit dalam bentuk botol atau tin besar.
Untuk memasak, orang ramai menggunakan minyak kelapa, ia juga dipanggil sebagai minyak masak. Masa itu minyak sawit belum digunakan. Minyak kelapa boleh dibeli dari kedai atau dibuat sendiri. Biji kelapa diparut dan santannya digoreng untuk dapatkan minyak. Harusnya dipanggil tahi minyak yang boleh digunakan untuk buat sambal.
Tetapi pada 1972, ibu saya tidak lagi menggunakan dapur kayu. Dia menggunakan dapur minyak tanah berjenana Butterfly buatan tempatan.
Apabila saya mula berkeluarga pada 1983, dapur gas sudah banyak digunakan. Saya tinggal di rumah pangsa empat tingkat di Kuala Lumpur. Kediaman saya tinggal di atas sekali. Kami menggunakan dapur gas yang juga berjenama Butterfly. Tong gas dibeli dari kedai runcit di tingkat bawah.
Pada awalnya saya terpaksa pikul tong gas untuk menaiki tangga empat tingkat apabila habis bahan api itu. Hanya kemudian barulah kedai runcit itu mempunyai perkhidmatan menghantar tong gas ke rumah tingkat paling atas.
Pada 1985, Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad ketika itu mengadakan lawatan rasmi ke Austria, Sweden, Norway, Finland dan Denmark. Saya ditugaskan menyertainya untuk buat liputan bagi akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia.
Seringkali dalam rombongan lawatan luar negara, ia terdiri daripada tiga kumpulan, pertama, penjawat-penjawat awam; kedua, pihak perniagaan swasta dan ketiga adalah media. Media rasmi terdiri daripada RTM dan Bernama yang perjalanannya dibiayai kerajaan.
Sementara itu media arus perdana yang mengikuti lawatan itu terdiri daripada Utusan, Berita Harian, New Straits Times dan Business Time membiayai sendiri perjalanan itu. Pada masa itu, akhbar masih memperoleh pendapatan besar untuk mampu membiayai tugasan-tugasan media seumpama itu.
Kebanyakan orang berpandangan bahawa wartawan yang mengikuti rombongan itu hanyalah untuk menghebahkan kepada rakyat tentang pencapaian yang dilakukan kerajaan. Maknanya, ia merupakan suatu kerja penerangan atau menyalurkan maklumat semata-mata.Tetapi dalam sebuah negara demokrasi yang berfungsi; para wartawan memikul tugas sebagai saksi bagi pihak rakyat yang menjadi pembaca.
Tentulah tidak semua pengalaman dapat disiarkan. Sebahagiannya hanya dapat disiarkan, selebihnya diceritakan dalam perbualan tidal formal atau menjadi catatan dalam memoir wartawan berkenaan di kemudian hari sebagai catatan sejarah.
Di Austria, rombongan Perdana Menteri melawat kilang pembuat senjata kecil dan muzium teknologi dan istana maharaja Empayar Austria-Hungary di Vuenna.
Di Sweden, kami melawat Vasteras, bandar perindustrian yang mengeluarkan robot untuk pemasangan kereta. Kami juga melawat ibu pejabat Ericsson di Stockholm. Di situlah pertama kalinya kami dapat menggunakan telefon bimbit yang dapat menghubungi terus dengan Malaysia.
Di Norway, kami melawat pangkalan kapal selam bawah gunung. Kami masing-masing diajak memandu kereta tentera beroda rantai di atas salji.
Di Finland, kami melawat sebuah sekolah rendah di sana dan menerima taklimat mengenai sistem pendidikan mereka. Pada masa itu, sistem pendidikan mereka belum terkenal.
Di Denmark, rombongan melawat syarikat gas mereka. Negara itu memasang paip-paip gas ke semua rumah di negara itu. Maknanya tidak ada gas domestik dijual dan diangkut dengan menggunakan tong. Bekalan gas melalui paip adalah seperti air dan elektrik. Dr. Mahathir diberikan taklimat mengenai sistem rangkaian saluran gas domestik di negara itu. Denmark mempunyai simpanan gas yang banyak di perairannya.
Ekoran itu, saya dapat tahu kerajaan sedang merancang untuk memasang rangkaian paip gas ke semua rumah di Semenanjung Malaysia. Pada 1984, kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membangun sebuah bandar baharu iaitu Wangsa Maju yang terdiri daripada kelompok-kelompok pangsapuri. Untuk kawasan perumahan ini dipasangkan paip gas bagi penyaluran gas domestik.
Kelihatannya, projek membangun rangkaian paip gas domestik akan dibina di seluruh negara dengan dimulakan di kawasan-kawasan perumahan baharu. Untuk itu diperlukan banyak jurutera dan juruteknik.
Untuk itu, ada kolej Mara memperkenalkan program untuk melatih bakal jurutera dan juruteknik bagi memasang paip gas. Untuk itu mereka menawarkan biasiswa kepada siswazah kejuruteraan untuk belajar lagi bagi menjadi tenaga pengajar di kolej-kolej itu.
Ada siswazah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dihantar ke Vancouver, Kanada untuk tujuan itu. Sekembalinya ke tanah air, antaranya menjadi tenaga pengajar di sebuah kolej Mara di Johor Bahru.
Bagaimanapun, kemudiannya saya dapat tahu bahawa rancangan memasang rangkaian paip gas domestik ke rumah-rumah di seluruh Semenanjung Malaysia dibatalkan atas sebab-sebab keselamatan.
Tetapi kini di rumah, saya juga tidak lagi menggunakan gas. Oleh kerana hanya masak untuk makanan yang sedikit, maka adalah lebih mudah, murah dan selamat menggunakan dapur elektrik. LagipTetapkan imej terencanaun periuk nasi, periuk pemasak tekanan, pengisar dan oven adalah kesemuanya menggunakan elektrik. –UTUSAN










