CERITA seekor anak gajah jantan mati dilanggar sebuah lori di Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli, Perak baru-baru ini menjadi berita utama di media arus perdana termasuk media sosial. Nilai cerita ini bertambah sensasi lagi dan meruntun hati rakyat Malaysia apabila ia berlaku semasa dunia sedang menyambut Hari Ibu pada 11 Mei.
Tindakan ibu gajah yang cuba menyelamatkan anaknya yang mati terperosok di bawah lori menyentuh perasaan ramai orang apabila gambar dan video tersebut menjadi tular di media sosial.
Mudah-mudahan dengan simpati orang ramai ini, semua pihak dapat bekerjasama untuk memastikan kes seperti ini tidak berulang lagi. Kematian seekor anak gajah jantan ini adalah kes ketiga nahas jalan raya melibatkan gajah tahun ini.
Pihak kerajaan memang sudah lama mengambil tindakan menghalang kejadian kemalangan jalan raya melibatkan hidupan liar walaupun masih ada laporan haiwan liar mati atau cedera dilanggar kenderaan.
Antara tindakan berkenaan adalah menyediakan langkah-langkah pemuliharaan dari segi polisi, undang-undang, membina infrastruktur, tindakan pemantauan serta pendidikan dan kesedaran awam.
Daripada laporan Ketua Audit Negara 2022, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merekodkan 2,562 kemalangan jalan raya melibatkan hidupan liar antara tahun 2016 dan 2021. Pahang antara negeri yang tertinggi melibatkan 755 kemalangan.
Laporan konflik manusia haiwan liar juga meningkat mendadak daripada 6,741 kejadian pada 2016 kepada 12,743 dalam tahun 2021. Laporan konflik manusia-haiwan liar di Selangor menunjukkan paling tinggi dengan 12,065 kes, diikuti oleh Johor 7531 kes dan Perak sebanyak 6836 kes.
Data ini menunjukkan dua fenomena di mana kes kemalangan jalan raya tinggi di kawasan yang jalan raya melintasi habitat hidupan liar, manakala konflik manusia-haiwan liar tinggi di kawasan kepulauan hutan akibat daripada pembangunan dan kediaman manusia berdekatan habitat haiwan liar yang terpencil.
Haiwan gajah sangat dekat dengan budaya orang Melayu pada zaman dahulu. Gajah adalah simbol kemegahan dan kemewahan selain digunakan sebagai haiwan tunggangan.
Gajah selalu digunakan dalam majlis istiadat raja-raja Melayu, malah satu ketika dahulu gajah merupakan binatang peliharaan yang wajib bagi raja-raja Melayu zaman dahulu.
Dari sini dapat dilihat yang orang Melayu sudah lama berjinak dengan gajah dan memahami asas kelakuan dan ekologi gajah. Malah pihak British turut menjadikan gajah dalam kegiatan pemburuan dan kesukanan.
Memahami ekologi dan kelakuan gajah sangat penting dalam pemuliharaan spesies ini di habitat liar. Dengan memahami kelakuan dan ekologi, pengurusan populasi gajah dan habitat mereka menjadi mudah.
Di Semenanjung Malaysia, gajah dilaporkan selalu bergerak dalam kumpulan tiga hingga 40 ekor termasuk gajah betina dan anak-anak. Kumpulan gajah selalunya diketuai oleh gajah betina.
Gajah betina juga selalu bersama dengan anak kecil kerana menjaga keselamatan dan anak gajah dapat belajar tentang kehidupan daripada ibunya. Kadang-kadang pergerakan gajah boleh berlaku dalam kumpulan lebih besar.
Tiga habitat utama gajah di Semenanjung Tanah Melayu adalah Taman Negara, Belum Temengor dan Endau Rompin. Gajah memerlukan antara 200 hingga 1,000 kilometer persegi untuk berjalan mencari makanan. Dalam perjalanan gajah memainkan peranan penting dalam ekologi hutan.
Jenis tumbuh-tumbuhan antara faktor menentukan keluasan kawasan legar mereka. Gajah perlu 150 kilogram (kg) sehari makanan yang terdiri daripada buluh, rumput, daun tumbuhan, kulit kayu, buah-buahan dan ubi.
Ada kajian menunjukkan tahi gajah mengandungi 26 peratus serat dan 45 peratus rumput-rumput. Tahi gajah penting dalam lantai hutan. Kumbang tahi gajah membantu mempercepatkan pereputan tahi gajah, menambah baik kandungan tanah dan kitaran nutrient disamping membantu penyebaran biji benih di dalam hutan dan kawalan perosak serta kesihatan persekitaran lantai hutan.
Pada 2011 jurnal Gajah melaporkan anggaran populasi gajah di Semenanjung Tanah Melayu adalah antara 1,223 hingga 1,677 ekor. Paling banyak gajah adalah di Taman Negara iaitu sebanyak 290 hingga 350 ekor, diikuti dengan Kelantan sebanyak 250 hingga 300 ekor, Perak 230 hingga 280 ekor, Johor 130 hingga 180 ekor, Pahang 150 ekor, Terengganu 120 hingga 140 ekor dan Kedah 50 hingga 60 ekor.
Antara tahun 2000 dan 2002, Jabatan Perhilitan melaporkan populasi gajah sebanyak 1,220 hingga 1,460 ekor. Pada tahun 2008, sebanyak 135 hingga 225 ekor gajah di kawasan hutan Belum-Temengor direkodkan.
Kajian populasi dan ekologi gajah perlu ditingkatkan dengan teknologi semasa bagi mendapatkan data yang lebih tepat dan membantu pelan tindakan pemuliharaan gajah kerajaan dan memperkasakan Majlis Biodiversiti Negara.
Hidupan liar memainkan peranan dalam keseimbangan ekologi hutan. Malaysia antara negara yang kaya dengan kepelbagaian biologi di dunia, seharusnya melindungi dan menjaga populasi hidupan liar ini agar sentiasa stabil. Tambahan pula, apabila seluruh dunia bercakap tentang kehilangan kepelbagaian biologi, perubahan iklim dan kesihatan planet. Kajian tentang biologi dan ekologi mesti dilakukan segera untuk membantu pemuliharaan hidupan liar Malaysia amnya dan gajah khususnya.
Prof. Dr. Ahmad Ismail ialah Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM).