Melihat isu berkaitan pencerobohan di tanah hutan simpan atau tanah negeri Pahang yang digunakan untuk tanaman durian Musang King, maka dua peruntukan undang-undang boleh diteliti oleh kerajaan negeri kerana isu hal tanah terletak di bawah kuasa kerajaan negeri.
Undang-undang itu adalah Akta Perhutanan Negara 1984 dan Kanun Tanah Negara 1965. Hal berkaitan hutan simpan kekal termaktub di bawah Akta Perhutanan Negara 1984. Kuasa bagi mewujudkan hutan simpan kekal ini terdapat di bawah akta ini.
Kuasa untuk mewujudkan hutan simpanan kekal
7. (1) Pihak berkuasa negeri boleh menjadikan mana-mana tanah sebagai suatu hutan simpanan kekal dengan menyiarkan dalam Warta suatu pemberitahuan –
menentukan kedudukan dan keluasan tanah itu; dan
mengisytiharkan tanah itu hendaklah menjadi suatu hutan simpanan kekal mulai dari tarikh ditetapkan melalui pemberitahuan itu.
Mulai dari tarikh ditetapkan itu, tanah itu hendaklah menjadi suatu hutan simpanan kekal. Dan pengkelasan hutan simpan kekal ini boleh dibuat dalam beberapa kategori iaitu:
(a) hutan pengeluaran kayu di bawah perolehan berkekalan; (b) hutan perlindungan tanah; (c) hutan tebus guna tanah; (d) hutan kawalan banjir; (e) hutan tadahan air; (f) hutan perlindungan hidupan liar; (g) hutan simpanan hutan dara; (h) hutan lipur; (i) hutan pelajaran; (j) hutan penyelidikan dan (k) hutan bagi maksud persekutuan.
Hutan simpanan sedia ada disifatkan sebagai hutan simpanan kekal iaitu: Mana-mana tanah yang dijadikan hutan simpanan di bawah mana-mana undang-undang hutan terdahulu hendaklah disifatkan sebagai suatu hutan simpanan kekal.
Perbuatan yang dilarang dalam hutan simpanan kekal
81. (1) Melainkan jika dibenarkan di bawah Akta ini, tiada seorang pun boleh, dalam hutan simpanan kekal—
(e) Membersih atau membajak mana-mana tanah untuk tanaman atau apa-apa maksud lain.
Hukuman bagi kesalahan ini adalah di bawah Seksyen 81(2) (c) jika kesalahan itu di bawah perenggan (d), (e), (f) atau (g), didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Akta kedua yang boleh dirujuk adalah lebih luas kuasanya dan lebih tinggi hukumannya jika berlaku sebarang pencerobohan berbanding Akta Perhutanan Negara kerana ia bukan sahaja meliputi hutan simpan kekal tapi kepada mana-mana tanah dipunyai kerajaan negeri.
Di bawah Kanun Tanah Negara 1965 Seksyen 425 menyatakan mana-mana orang menggunakan tanah milik kerajaan tanpa kuasa yang sah menduduki, mendirikan bangunan, membersih, mengali, mengepung, menanam, memotong atau mengalihkan apa-apa kayuan dari mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah lombong adalah merupakan kesalahan.
Tanah kerajaan termasuklah semua tanah yang dipegang Pihak Kerajaan Persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan atau Pihak Berkuasa Berkanun yang menjalankan kuasa yang diberi undang-undang Persekutuan atau negeri. Sekiranya ingkar, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak lebih lima tahun.
Di bawah Kanun Tanah Negara Seksyen 418 memberikan peluang mereka yang terkesan dengan pengusiran untuk membuat rayuan ke mahkamah dalam tempoh tiga bulan dari tarikh diberitahu. Peruntukan ini hanya bagi mereka yang mempunyai alasan di bawah undang-undang. Tapi jika menduduki tanah tanpa izin atau setinggan maka mahkamah tidak akan melayan rayuan itu.
Ini dilihat di dalam kes Sidek Haji Muhamad & 461 Ors. v. Government of the State of Perak & Ors. (1982) yang menyatakan setinggan tiada hak dari segi undang-undang atau ekuiti.
Di dalam kes Lim Kui Siam dan yang lain ( mewakili ahli Persatuan Penduduk kawasan Haji Manan Kluang) v Pentadbir Tanah Kluang.(1995) 1 CLJ 846, hakim menyatakan: Bagi mereka yang tidak punya tanah. Ia bukan hasrat Parlimen menggubal Kanun Tanah Negara supaya setiap orang yang berkehendakkan tanah boleh menyaman kerajaan atau mengambil tindakan secara sendiri. Oleh itu, mahkamah harus mengambil pendirian yang tegas berdasarkan undang-undang.
Oleh itu, Kanun Tanah Negara 1965 digubal bukan untuk mereka yang ingin mendapatkan tanah secara percuma tanpa sebarang kedudukan di dalam pengertian undang-undang.
Berbalik kepada pencerobohan tanah kerajaan Pahang di Raub, tidak ramai lagi dituduh di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara atau apa-apa akta berkaitan.
Isu sama ada mereka adalah penceroboh telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan sebagaimana yang dikatakan oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin. Beliau menegaskan, tindakan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King itu tidak melanggar mana-mana perintah mahkamah.
Permohonan Save Musang King Alliance (SAMKA) sebelum ini ditolak oleh mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan.
“Mereka yang menduduki tanah itu secara haram langsung tidak ada hak ke atas tanah itu,” katanya.
Beliau menjelaskan, tanah itu milik sah kerajaan negeri dan segala tindakan terhadapnya dalam bidang kuasa penuh kerajaan negeri.
Oleh itu, pekebun yang menceroboh harus diambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965. Jika tidak, maka ia tidak menghindar mana-mana pihak lain untuk menceroboh tanah Kerajaan.
Tindakan ini haruslah diambil agar pihak berkuasa negeri tidak dituduh memilih kasih dalam bertindak. Lebih-lebih lagi mereka telah mengaut jutaan ringgit hasil menanam pokok durian yang berkualiti tinggi sedangkan kerajaan tidak mendapat apa-apa daripada industri itu. Malah mereka enggan mengadakan perundingan yang dicadangkan oleh kerajaan negeri.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga menzahirkan rasa dukacita terhadap peningkatan kes pencerobohan tanah dan sepatutnya bumi Pahang dijaga sebaiknya.
“Saya pun naik darah juga, banyak orang menceroboh tanah negeri dan sudah sampai masanya kita berkeras dengan mereka yang menceroboh tanah di Pahang ini,” titah baginda.
Titah Sultan Pahang ini seharusnya dilaksanakan tanpa berlengah untuk mencerminkan keseriusan kerajaan negeri dalam mencegah perbuatan ini sebelum ia hilang kawalan, dan seolah-olah tiada undang-undang boleh menyekatnya.
Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah seorang Pengamal Undang-undang.