Tempias persaingan China-AS

Tempias persaingan China-AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lawatan tiga hari Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping, ke tiga negara Asia Tenggara termasuk Malaysia baru-baru ini menjadi perhatian masyarakat antarabangsa di tengah-tengah kemelut perang dagang antara China dan Amerika Syarikat (AS).

Lawatan Jinping telah lama dirancang. Naratif lawatan menjadi lebih menarik kerana ia dilihat sebagai langkah China untuk mengembangkan pengaruhnya di rantau ini yang juga terkesan dengan kenaikan tarif perdagangan yang dikenakan oleh Presiden Trump.

Bagi kedua-dua negara, hubungan diplomasi moden yang telah memasuki tempoh separuh abad lamanya amatlah bermakna dan perlu ditandai dengan kesungguhan untuk membina hubungan ke tahap yang lebih matang dengan membentuk persefahaman yang lebih kukuh. Walaupun terdapat kritikan terhadap imej China sebagai sebuah negara komunis, perbezaan ideologi politik tidak seharusnya dijadikan penghalang kepada pembukaan ruang yang luas demi mempertingkatkan hubungan diplomasi dan perdagangan antara Beijing dan Kuala Lumpur.

China adalah antara kuasa dunia yang tidak disenangi oleh Barat. Naratif Orientalis Barat sering mengaitkan China sebagai kuasa baharu yang boleh mengancam kestabilan dunia. Tetapi pada hakikatnya negara Barat, terutamanya AS, amat bimbang dengan kebangkitan kuasa baharu dari Timur ini kerana secara tidak langsung kuasa hegemoni yang dimiliki selama ini akan hilang.

China pula sudah mempunyai keyakinan untuk menyaingi kuasa Barat dan mengembangkan pengaruhnya dengan Inisiatif Jalur dan Laluannya (BRI).

Malaysia juga yang pada mulanya agak terpengaruh dengan naratif negara Barat kerana pengalaman pahit berdepan dengan pergerakan bersenjata komunisme yang disokong oleh Beijing pada satu ketika dahulu. Persepsi negatif dan kebimbangan masyarakat Malaysia, terutamanya orang Melayu, terhadap China masih wujud. Namun ia bukan satu indikator khusus untuk kerajaan untuk menggunakan pendekatan dasar luar yang lebih pragmatik.

China adalah rakan perdagangan terbesar kita. Malaysia pula adalah rakan perdagangan terbesar China dalam kalangan negara ASEAN. Jumlah tahunan perdagangan antara kedua-dua negara telah mencecah lebih RM480 bilion pada tahun 2024. Dalam tempoh setahun ini, nilai dagangan mungkin boleh melonjak kepada lebih RM500 bilion.

Keyakinan politik dunia China pula boleh dilihat dengan beberapa tindak balas Beijing terhadap tindakan tarif Washington. Beijing tidak gentar dengan ancaman Washington, malah mula mengarahkan syarikat China untuk membatalkan perjanjian perdagangan dengan syarikat AS antaranya pembelian pesawat Boeing dan pengeksportan nadir bumi. Di dalam bulan yang mendatang dunia akan menyaksikan pihak manakah yang sebenarnya lebih terkedu dengan perang dagang ini.

Namun Kuala Lumpur tidak dapat lari daripada menerima tempias persaingan politik kuasa besar antara Washington dan Beijing. Secara politiknya, Malaysia lebih dekat dengan AS. Di sebalik kritikan dan kadangkala hubungan diplomatik yang tidak selesa antara kedua negara, Washington dan Kuala Lumpur telah membina hubungan yang kukuh sejak Perang Dingin.

Kebangkitan kuasa ekonomi China pula, telah memberi peluang kepada Malaysia untuk mempelbagaikan bukan sahaja rakan dagangnya tetapi juga potensi pasaran yang wujud. Walaupun China dilihat secara berhati-hati, Malaysia tidak mahu terjerumus dalam kancah persaingan kuasa dunia. Itulah sebabnya Malaysia mendahului negara Asia Tenggara, malah AS sendiri, di dalam menjalinkan hubungan diplomatik dengan China lima puluh tahun yang lalu.

Kita tidak menggunakan pendekatan imbangan (balancing) dalam persaingan antara Beijing dan Washington. Pendapat yang menggunakan hujahan pengimbangan adalah tidak betul. Pendekatan pengimbangan hanya boleh dilakukan oleh negara yang mempunyai kuasa hampir setara sedangkan Malaysia tidak mempunyai kesetaraan kuasa pun jika dibandingkan dengan China mahupun AS.

Saya lebih tertarik menggunakan pendekatan lindung nilai politik (political hedging) yang dipopularkan oleh teman saya, Profesor Kuik Cheng Chwee dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di dalam memahami pendekatan negara kecil atau pertengahan terhadap persaingan kuasa-kuasa besar.

Lindung nilai politik, menurut beliau adalah strategi dan tingkah laku sesebuah negara mencari jaminan di bawah situasi ketidakpastian yang tinggi di dalam mengelak daripada memihak dan mengambil langkah yang bertentangan dengan kuasa bersaing.

Strategi tersebut adalah langkah untuk jaminan masa depan melindungi kedaulatan mereka. Ia merupakan pendekatan tidak berpihak tetapi mengambil kira kepentingan yang wujud dengan kuasa-kuasa yang bersaing.

Ini menjelaskan pendirian Malaysia untuk terus mempertingkatkan hubungan perdagangan dengan China. Komitmen ini boleh dilihat dengan beberapa siri ucapan pemimpin kedua negara dan penandatanganan lebih kurang 31 Memorandum Persefahaman (MOU) yang merangkumi aspek sosial, ekonomi, teknologi dan keselamatan.

Kedua-dua negara semakin selesa untuk membicarakan dan membina dialog mengenai keselamatan politik melalui MOU mengenai Inisiatif Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI).

Hakikatnya, bagaimanapun, kedua-dua negara masih belum bersedia untuk membicarakan keselamatan politik yang berkaitan Laut China Selatan. Walaupun isu ini sering dijolok oleh Barat sebagai mempunyai potensi konflik yang lebih besar, Malaysia masih mahu menyelesaikan isu ini melalui pendekatan Code of Conduct ASEAN mengenai Laut China Selatan.

Tidak dapat dinafikan, China masih berusaha untuk memujuk Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara lain melalui inisiatif Joint Development Area (JDA) di kawasan yang dipertikaikan. China diberitakan telah menemui beberapa kawasan minyak di Laut China Selatan dan amat terdesak untuk membangunkannya.

China mahu menggunakan pendekatan yang sama digunakan antara Malaysia dan Thailand. Di dalam kawasan Pembangunan Bersama Thailand-Malaysia, cari gali dan pengeluaran minyak telah dijalankan secara bersama antara kedua negara di Teluk Thailand.

Pendekatan ini yang dicadangkan oleh China tidak sesuai dan akan memberi kesan kedaulatan kepada tuntutan Malaysia terhadap kawasan yang dipertikaikan. Pendekatan JDA tidak akan menyelesaikan isu tuntutan bertindih. Apa akan jadi apabila semua minyak telah habis disedut antara 50 dan 100 tahun lagi? Adakah China akan menggugurkan tuntutannya terhadap Laut China Selatan selepas itu?

Secara ringkasnya, pendekatan hedging Malaysia adalah memastikan peluang dagangan yang disediakan bukan sahaja oleh China tetapi juga AS dimanfaatkan sepenuhnya tetapi dalam keadaan yang sama jaminan keselamatan politik akan terus dikekalkan dengan kuasa Barat terutamanya AS, bagi memastikan kedaulatan negara terjamin.

Setakat ini Malaysia masih belum mempunyai keyakinan keselamatan politik dengan Beijing akibat tindakan perlakuan agresif China di Laut China Selatan.

Prof. Dr. Kamarulnizam Abdullah ialah Felo Utama, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia .(UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya