Siapa layak ganti Anwar? – Kalau awal, nanti ada ‘pancung-memancung’ - Utusan Malaysia

Siapa layak ganti Anwar? – Kalau awal, nanti ada ‘pancung-memancung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

TUJUH tahun mengetuai pentadbiran Negeri Sembilan tanpa sebarang kontroversi membawa imej dan rekod bersih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Rekod itu juga yang beliau bawa sebagai sandaran bagi menawarkan khidmat dan tanggungjawab untuk bersama memimpin parti PKR dalam pemilihan parti itu tidak lama lagi.

Pengaruh dan rekodnya itu akan diuji semula, sama ada beliau akan kekal menjadi pilihan sebagai Naib Presiden dan Ketua Cabang Port Dickson buat penggal kedua.

Sebagai pemimpin senior dalam parti, Aminuddin turut berkongsikan pandangan beliau mengenai persoalan siapakah pengganti ideal dan terbaik untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menerajui parti itu yang sudah mencecah usia 26 tahun.

Ikuti wawancara penuh bersama wartawan Mingguan Malaysia BADRUL HAFIZAN MAT ISA dan ASLINDA NASIR bersama jurugambar AMIR KHALID dan juruvideo ZUID IKH RAL SAMSON.

MINGGUAN MALAYSIA: Memasuki penggal kedua memimpin pentadbiran apa pandangan Datuk Seri mengenai pembangunan di Negeri Sembilan?

Sepanjang pentadbiran hampir tujuh tahun ini, tidak pernah saya terfikir untuk membawa kerajaan negeri sampai ke tahap ini. Kita boleh nampak perubahan berlaku di daerah Seremban serta hampir keseluruhan daerah di Negeri Sembilan. Ini menunjukkan keyakinan pelabur, saya berharap ia akan terus memberikan manfaat besar kepada ekonomi Negeri Sembilan.

Pembangunan rancak kawasan perindustrian juga berlaku, selain dimanfaatkan penduduk sudah ramai juga mula berhijrah ke negeri ini. Ia melibatkan jumlah besar dan ini akan mempercepatkan pembangunan Negeri Sembilan dan kita akan melaluinya dalam masa terdekat.

HUTANG TERKAWAL
Negeri Sembilan pada tahun lalu membentangkan belanjawan berimbang yang sedikit sebanyak menunjukkan keadaan kewangan kerajaan negeri yang stabil dan sihat, apa impaknya?

Banyak pembangunan hari ini memberi sumbangan kepada ekonomi Negeri Sembilan. Walaupun kita ini kecil penduduknya iaitu seramai 1.2 juta orang, tetapi dengan pembangunan yang ada ini cukup untuk kita. Pentadbiran kita setakat ini baik, hutang terkawal, tiada hutang besar sejak mentadbir, setiap tahun kita mampu membayar dengan baik.

Ini perkara positif yang harus dimaklumkan dan ia perlu diteruskan dengan perkembangan ekonomi yang ada pada hari ini di mana kita berhadapan dengan peperangan ekonomi Amerika Syarikat dan China, sudah pasti ia juga akan memberi kesan kepada kerajaan Negeri Sembilan.

Kalau kita lihat pelaburan luar negara dan domestik ke Negeri Sembilan lebih kurang sama, namun penting juga untuk pelaburan domestik lebih besar dan kerajaan negeri mengalu-alukan untuk mereka lebih melabur kerana ia akan memberi kesan positif untuk jangka masa panjang kerana akan bertahan lebih lama dan lebih bersaing jika dibandingkan dengan pelaburan luar negara.

TARIF AMERIKA SYARIKAT
Terjejaskah perindustrian di Negeri Sembilan akibat kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat (AS)?
Pasti akan ada kesan, banyak syarikat yang buat pengeksportan ke AS, tetapi kesan awal kita belum rasai lagi dan kita juga yakin pelabur akan menilai semula pelaburan mereka dengan tarif yang dikenakan sekitar 24 peratus. Kita berharap ini hanya di peringkat awal sebab kita tahu memang akan ada kesan, tetapi bagaimana kesan itu akan berlaku di Negeri Sembilan, kita belum tahu lagi.

Pentadbiran Negeri Sembilan dilihat stabil yang turut memberikan imej dan rekod bersih kepada Datuk Seri, apa rahsianya?
Apabila kita mampu bersama dengan penjawat awam yang melaksanakan tanggungjawab, ia memudahkan kerajaan negeri untuk lebih berperanan dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Sebagai contoh, apabila sesuatu kelulusan yang memerlukan tempoh seminggu, namun dengan kerjasama daripada kakitangan awam dan juga mereka yang terlibat dan mereka memahami inspirasi sebenar kerajaan negeri, maka keputusan dibuat dengan cepat. Kalau mereka tidak memahami aspirasi dan kehendak pentadbiran, ia akan melembabkan kelulusan dan perancangan tersebut.

Selain itu, kerjasama antara kerajaan dan swasta juga merupakan kunci penting untuk melaksanakan tanggungjawab ini, setiap pembangunan di Negeri Sembilan ini juga bergantung kepada swasta, Jadi, kita sentiasa berbincang untuk mempercepatkan proses untuk pembangunan yang diperlukan.

Kebelakangan ini terdapat sedikit isu yang mendapat perhatian negara berlaku di Port Dickson, ironinya, Datuk Seri merupakan wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen kawasan tersebut, bagaimana Datuk Seri menghadapinya?
Berkenaan isu khemah dan kanopi biru di Telok Kemang, ia akan dapat diselesaikan malah kita telah menaik taraf khemah yang digunakan, lebih tersusun dan baik. Saya yakin ia akan diselesaikan sepenuhnya selepas hari raya ini terutama berkenaan lokasi khemah-khemah ini di pasang.

Ini perkara baru yang perlu kita belajar, kita kena berani dalam membuat pembaharuan. Kalau terus duduk dan bersyukur dengan apa yang ada, memang kita takkan ke mana sebab Port Dickson kawasan peranginan negara jadi kita kena merancang perkara-perkara yang memberikan manfaat buat semua, setiap hujung minggu ratusan ribu yang datang ke Port Dickson.

PAK CIK PETAI
Berkenaan kes ‘Pak Cik Petai’ kita kena sedia maklum, penguat kuasa mempunyai tanggungjawab apabila ada aduan, mereka tidak boleh membiarkan mereka sesuka hati berniaga, di tepi jalan, kita ada peraturan. Sebagai negeri pelancongan, kita perlu menyusun dan membetulkan keadaan, kita perlu ikut undang-undang.

Apa yang menyedihkan hari ini adalah apabila pelanggaran undang-undang dilihat istimewa sedangkan sudah ada teguran, tetapi terbawa-bawa dengan emosi, tidak tahu cerita sebenar, kita terus ‘melompat’ dengan pengakhiran cerita tersebut tetapi tidak melihatnya daripada awal.

Saya bukan mahu salahkan ‘Pak Cik Petai’ malah isu ini pun kita sudah atasi segera dan selesaikan dengan baik, tidak semua boleh saya kawal tetapi saya telah meminta penguat kuasa menjalankan tanggungjawab mereka dengan menggunakan peraturan yang ditetapkan. bila berlaku di sebaliknya itu, kita harus selesaikan dengan baik.

Datuk Seri dilihat lebih mempertahankan pihak penguat kuasa? Mungkin selepas ini pendekatan penguatkuasaan perlu berubah?
Saya bukan hendak pertahankan, tetapi kalau mereka tidak menjalankan tanggungjawab, mereka juga bersalah kerana tidak melaksanakan tugas sebaik sahaja aduan diterima. Sebab itu saya selalu ingatkan kepada penguat kuasa supaya mengadakan latihan dan bengkel, bagaimana pelaksanaan itu dapat dibuat dengan baik.

Saya juga telah meminta siasatan dijalankan, bukannya lepas tangan supaya kita mengambil maklum perkara tersebut dan membuat tindakan sewajarnya.

Saya pun dulu orang penguat kuasa, bila kita tegur, ada orang respons dengan kurang baik, kita pun manusia yang ada batas. Pada masa sama, kerja itu tanggungjawab yang harus dilaksanakan.

KERJASAMA PH-BN
Hampir tiga tahun kerjasama dijalinkan di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menerusi Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, bagaimana keadaannya?
Sebelum ini, kita (PH) tidak mengalami gangguan yang menyukarkan kita dan mereka pun menjadi pembangkang yang baik di dalam dan luar Dewan Undangan Negeri (DUN). Hari ini dengan kerjasama Kerajaan Perpaduan, keyakinan itu bertambah lebih baik, keharmonian itu aset penting dan menjadi kunci utama. Malah, sokongan terhadap kita juga melebihi dua per tiga, ini antara perkara yang diberi perhatian kepada pelabur yang datang ke Negeri Sembilan.

Masih ada sentimen rakyat Negeri Sembilan menolak kerjasama tersebut?
Di peringkat awal ya, tetapi sekarang, baik di peringkat Persekutuan atau negeri, kita tidak ada masalah ahli PKR untuk terus menyokong BN. Malah, walaupun kerjasama dengan UMNO DAP dulu agak sukar, tetapi hari ini mereka dapat bekerjasama dengan baik.

Maka sebab itu, saya yakin kedua-dua Presiden iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan melihat PH dan BN ini adalah gabungan kerajaan yang harus dipertahankan.

Adakah dijangkakan timbul persoalan calon Menteri Besar Negeri Sembilan selepas ini?
Masih jauh untuk saya katakan dan jangan sebab perkara ini ia akan merosakkan kerajaan. Kita harus melihat secara keseluruhan terhadap kerajaan yang ada pada hari ini, amat menarik apabila kita melihat contoh di negeri lain walaupun parti lain yang lebih banyak kerusi, tetapi kita serahkan sesuatu jawatan kepada rakan kita.

Jadi, kita kena sentiasa bersangka baik dan kita juga perlu akur apa yang berlaku di setiap negeri, sokongan dan dukungan itu penting untuk membentuk kerajaan stabil, bukan terus merebut siapa menjadi Menteri Besar.

Maknanya, Datuk Seri bersedia jika sebarang perubahan berlaku untuk jawatan Menteri Besar ini?
Kita jangan terlebih-lebih sebab kita ada ketua, jadi kita serahkan kepada kebijaksanaan Presiden.

Apa yang Datuk Seri melihat terhadap isu desas-desus kerjasama membabitkan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)?
Mereka tiada lagi kemampuan untuk bersaing dengan Kerajaan Perpaduan. Kenyataan itu hanyalah untuk memecah belahkan hubungan baik dalam kerajaan, dan saya yakin mereka yang menguar-uarkan BN harus keluar dari Kerajaan Perpaduan.

Adakah perkara itu mampu menjejaskan hubungan PH dengan UMNO?
Itu strategi politik pembangkang. Sebagai sebuah parti politik, kita tidak boleh untuk tidak berbicara setiap detik dan saat tentang isu politik, ia hanyalah cakap-cakap politik yang hanya ingin memberi semangat kepada penyokong mereka supaya tidak lari daripada mereka. Ada yang kata bulan Julai akan bertukar kerajaan, tetapi tidak menjadi juga.

Bagaimana perkembangan PKR di Negeri Sembilan?
Kami di Negeri Sembilan bertambah keahliannya di semua cabang, jadi bila kita melihat sokongan itu semakin ramai dan yang menariknya ahli itu aktif dan menjadi pengundi, ia menggerakkan kami sebenarnya di semua cabang dan keaktifan itu nampak luar biasa.

Itu juga antara usaha kita di peringkat kerajaan, pastinya kita inginkan kekuatan PKR itu dirasai, bila jadi Ketua Kampung, Ahli Majlis, mereka perlu menambah bilangan ahli dan hal ini telah dibuktikan di mana ada sebahagian besar mereka melaksanakan tanggungjawab itu.

Jadi, pertambahan ahli ini akan dapat menunjukkan semua penyokong parti bekerja untuk memastikan parti terus berjalan dengan penuh demokrasi.

Penggal pentadbiran Datuk Seri kali ini dijangkakan lebih singkat kerana kemungkinan pilihan raya dijalankan serentak berbanding sebelum ini, adakah ia memberikan sedikit tekanan?
Saya rasa penggal ini pendek sedikit iaitu empat tahun enam bulan dan kita ada masa dua tahun sahaja lagi. Mahu tidak mahu kita perlu bercerita tentang politik pada pilihan raya akan datang.

Kalau buat pilihan raya secara berasingan pun perbezaan tempohnya adalah enam bulan. Ia tidaklah memberi apa-apa makna pun, jadi lebih baik pilihan raya itu dijalankan secara serentak.

PEMILIHAN PKR 2025
Lebih sengit berbanding pemilihan sebelum ini?
Pada peringkat awal memang saya nampak persaingan itu sengit, tetapi selepas nasihat demi nasihat, saya beritahu kepada semua yang ini adalah pertandingan dalam keluarga besar. Saya tidak melihat pertandingan ini akan merosakkan parti, dan yang penting jangan sentuh peribadi dan jangan rosakkan hubungan selepas pemilihan.

Nampaknya saranan itu dihormati dan ramai yang menawarkan diri untuk berkhidmat demi parti saya berharap selepas pemilihan ini segala ketegangan dapat dikendurkan.

Ada kem dalam parti?
Terlalu banyak kem, tetapi ia tidak merosakkan parti. Yang kita khuatir bila ada dua kem kerana ia akan memberi persepsi yang buruk berbanding banyak kem dalam sesebuah parti. Di Negeri Sembilan, siapa pun menang semua kem saya.

Persaingan merebut jawatan Ketua Cabang Port Dickson dengan Datuk M. Ravi?
Nampaknya keadaan yang berlaku sekarang berjalan dengan harmoni dan kita bersaing secara telus. Kalau tidak terasa bukanlah namanya pemilihan, tetapi yang penting selepas pemilihan kita boleh bekerjasama.

Cabaran di peringkat Pusat?
Apabila kita dapat makluman pertembungan kali ini agak sengit kerana mereka ada jawatan dalam kerajaan, saya memahami keadaan itu.

Cuma pada saya, kita hanya tawarkan tanggungjawab untuk teruskan perkhidmatan. Tugas yang dipikul Naib Presiden amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab memenangkan parti pada pilihan raya akan datang. Saya jangka lebih 10 calon yang akan tawarkan diri pada pemilihan kali ini.

Penyandang Naib Presiden tidak selamat?
Kalah menang itu adat,saya hanya tawarkan diri untuk meneruskan agenda parti. yang paling penting adalah kekuatan parti mesti dipertahankan.

Apa yang paling mencabar pemilihan kali ini?
Kita punya pemilih itu bukan dari satu sayap. Kita ada Pemuda, Wanita dan Cabang. Ketiga-tiga ini mempunyai pengaruh masing-masing. Dulu, hubungan hanya tertumpu di peringkat Cabang. Tetapi sekarang kita juga memerlukan sokongan dari anak muda.

Maksudnya, kalau hilang sokongan dari dua sayap dan hanya berharap dengan Cabang, belum tentu menang. Jadi kita perlu mendapatkan sokongan 30 peratus Pemuda, 30 peratus Wanita dan 40 peratus Cabang. Malah, tidak semua Cabang boleh menguasai sayap dan mereka ada peranan yang cukup berbeza. jadi, di situlah cabarannya.

Pentingkah kerjasama antara pemimpin senior dan muda?
Dengan penggabungan itu ia akan lebih membawa parti ke hadapan, cuma pemimpin muda ini jangan terlalu gelojoh dan biarkan mereka melalui proses dari bawah ke atas, biar mereka mempunyai pengalaman dengan penuh ketelusan dengan kepakaran yang ada.

SURVIVAL PKR
PKR terlalu bergantung dengan Anwar Ibrahim?
Iya, itu paling penting pada hari ini kerana ia juga menunjukkan kesetiaan, perpaduan dan ketaatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kenapa nak kena ada tiga atau empat pemimpin lain? Anwar layak dan mampu meneruskan kepimpinan dengan sokongan dan bantuan daripada kita.

Banyak pihak mempersoalkan, siapakah yang layak untuk menggantikan Anwar bagi memimpin PKR kelak?
Kalau ada pimpinan bayangan daripada awal, akhirnya pancung-memancung akan berlaku serta akan memecah belahkan kita. Lagipun, masih awal untuk kita katakan siapa bakal pengganti Anwar selepas ini.

Malah, gambaran yang diberikan itu juga tidak adil. Kalau ditanya, semua mengaku boleh ganti Anwar, tetapi kalau kita menamakan awal, ia akan mengganggu transisi bakal pengganti dengan permasalahan dalam kepemimpinan

Maksudnya?
Kita perlu belajar dengan apa yang berlaku sebelum ini, menamakan seseorang pemimpin itu dengan lebih awal, ia akan dipancung. kita tidak mahu perkara itu berlaku dalam PKR.

Datuk Seri ada ramalan siapa pemimpin boleh diangkat selepas Anwar?
Kita ini tidak pernah kurang dari segi barisan kepimpinan yang layak untuk memimpin tetapi kita yakin ketika itu Datuk Seri Anwar sendiri akan tentukan pemimpin mana yang boleh meneruskan pentadbiran pada masa akan datang. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN