Selesai isu kuil bukan hanya retorik politik

Selesai isu kuil bukan hanya retorik politik

KEJAYAAN menyelesaikan isu membabitkan perpaduan nasional bukan hanya retorik politik, tetapi satu komitmen nyata yang diterjemahkan melalui tindakan kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA adalah sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang berakar umbi dalam kehidupan masyarakat sejak merdeka. Dalam konteks inilah, prinsip keharmonian antara agama dan kaum menjadi tiang seri kepada kestabilan negara.

Seiring dengan aspirasi Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, komitmen terhadap perpaduan nasional, toleransi agama dan keadilan sosial menjadi tunjang kepada dasar pentadbiran kerajaan hari ini.

Salah satu isu yang mencabar komitmen ini ialah polemik berkaitan Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman yang terletak di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Isu ini menjadi tumpuan umum apabila didedahkan kuil berkenaan dibina atas sebahagian tanah yang dibeli syarikat tekstil terkemuka, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel), daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman merupakan tempat ibadat penganut Hindu yang sudah lama wujud di kawasan berkenaan. Bagaimanapun, timbul isu apabila pemilikan tanah menjadi pertikaian. Tanah tersebut dilaporkan dijual oleh DBKL kepada pihak swasta iaitu Jakel, yang kemudiannya didapati sebahagian pembinaan kuil itu berada dalam lingkungan hak milik mereka.

Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat India khususnya penganut Hindu kerana bimbang rumah ibadat mereka akan dirobohkan atau dipindahkan.

Isu ini cepat mendapat perhatian media dan pemimpin politik kerana menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang memerlukan penyelesaian secara bijaksana serta berhemah.

Dalam menangani isu ini, pendekatan Kerajaan Madani yang dipimpin Anwar jelas memaparkan prinsip kesederhanaan, keprihatinan dan kepentingan menjaga keharmonian antara agama. Anwar tidak membiarkan isu ini menjadi bahan politiking atau disensasikan tanpa asas. Sebaliknya, beliau mengambil pendekatan dialog, rundingan dan penyelesaian damai yang menzahirkan kepekaan terhadap kepentingan semua pihak.

Salah satu langkah utama yang diarahkan oleh Anwar ialah melibatkan semua pihak berkepentingan dalam perbincangan, termasuk pengurusan kuil, pihak Jakel dan DBKL, agar isu tersebut dapat diselesaikan dengan harmoni.

Di sebalik desakan pihak tertentu bahawa pembinaan Masjid Madani di tanah wakaf milik Jakel itu tidak diteruskan, Anwar bertegas bahawa beliau akan merasmikan majlis pecah tanah dan peletakan batu asas bagi pembinaannya kerana keperluan membinanya adalah bagi menampung kapasiti masjid sedia ada yang semakin sesak di kawasan berkenaan.

Kenyataan Anwar bahawa kuil itu perlu dipindahkan dan ia bukanlah rumah ibadat pertama yang telah dipindahkan kerana melanggar undang-undang. Tindakan Anwar itu disambut baik Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, yang menyatakan pendirian Perdana Menteri itu adalah tepat dan wajar disokong.

Dalam masa sama, jawatankuasa kuil juga akhirnya bersetuju berpindah ke lokasi berhampiran dengan Jakel bersetuju membayar kos pemindahan kuil bagi membolehkan perasmian majlis pecah tanah dan peletakan batu asas bagi pembinaannya dibuat pada 27 Mac, lalu.

Dalam majlis itu, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana membantu menyelesaikan isu yang berlarutan selama lebih sedekad ini.

Beliau berkata, “11 tahun kami bersabar berunding. Alhamdulillah, finally you made it, Datuk Seri, you are the man…’ Dengan terbinanya masjid ini, Datuk Seri akan dikenang sampai bila-bila.”

Lebih simbolik lagi, selepas majlis itu, Anwar singgah berjumpa jawatankuasa kuil yang menggambarkan komitmen beliau terhadap prinsip keadilan sosial dan keharmonian antara kaum. Beliau tidak memihak secara semberono, tetapi bertindak sebagai pengantara yang adil dalam memastikan semua pihak mendapat penyelesaian yang menguntungkan tanpa merugikan mana-mana kelompok. Ini adalah cerminan kepada nilai-nilai Malaysia Madani, di mana keharmonian dan toleransi menjadi asas utama pembangunan negara.

Sikap terbuka dan kesediaan untuk mendengar keluhan masyarakat minoriti sambil menjaga kepentingan majoriti ini menyerlahkan sisi kepimpinan beliau yang inklusif dan menyeluruh.

Tidak timbul isu ketegangan kaum atau provokasi agama dalam isu ini kerana kerajaan bertindak proaktif dalam menangani kebimbangan awal dan menjelaskan pendirian dengan telus kepada rakyat.

Sokongan masyarakat terhadap keputusan yang dicapai dalam isu kuil ini menunjukkan rakyat Malaysia secara umumnya menghargai perpaduan dan lebih cenderung kepada penyelesaian damai berbanding konfrontasi. Ia juga membuktikan dialog antara agama dan kaum masih merupakan alat yang ampuh dalam menyelesaikan konflik yang rumit.

Peristiwa ini merupakan manifestasi nyata bagaimana Kerajaan Madani berfungsi dalam realiti masyarakat majmuk. Prinsip-prinsip utama Malaysia Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Semuanya diterapkan dalam penyelesaian isu kuil di Jalan Masjid India ini. Ia menjadi contoh kepada dunia luar bahawa Malaysia mampu mengurus kepelbagaian dengan harmoni.

BUKAN RETORIK
Kerajaan Madani bukan sekadar slogan tetapi satu falsafah kepimpinan yang mengutamakan nilai-nilai kemanusiaan, keadilan dan penyertaan semua pihak dalam proses membuat keputusan. Dalam hal ini, tindakan Anwar memperlihatkan bagaimana kerajaan tidak bertindak mengikut tekanan politik atau kepentingan korporat semata-mata, tetapi mengambil kira kesan jangka panjang terhadap keharmonian sosial.

Syukurlah kes yang berpotensi mencetuskan rusuhan kaum dan agama ini berjaya ditangani dengan cemerlang sehingga menjadikan isu ini cepat reda. Kes kuil ini adalah satu ujian penting terhadap keupayaan Kerajaan Madani dalam mengurus isu sensitif yang melibatkan agama dan kaum.

Melalui kepimpinan yang inklusif, adil dan berhemah, Anwar membuktikan perpaduan nasional bukan hanya retorik politik, tetapi satu komitmen nyata yang diterjemahkan melalui tindakan.-UTUSAN

 

Profesor Madya Dr. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Program Peningkatan Eksekutif Ghazali Shafie (GSEEP), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya