MUKADIMAH
JAWATAN Naib Presiden PKR menjadi semakin sengit apabila dikatakan sehingga tujuh individu dalam kalangan menteri besar dan menteri-menteri berhasrat untuk bertanding dalam pemilihan parti yang akan berlangsung pada 24 Mei depan.
Yang terbaru ialah DR. SATHIA PRAKASH NADARAJAN, satu-satunya calon yang bukan dalam kalangan menteri. Beliau baru sahaja memenangi jawatan Ketua Cabang PKR Hulu Selangor dalam pemilihan parti di peringkat cabang.
Ikuti wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN dalam pertemuan dengan beliau baru-baru ini.
UTUSAN: Apa yang membuatkan Dr. mengambil keputusan untuk bertanding jawatan Naib Presiden?
DR. SATHIA: Kita adalah negara dan parti yang demokrasi. Demokrasi ini boleh menunjukkan yang tidak semestinya yang berkuasa ataupun dalam jawatan atau kedudukan sahaja boleh bertanding. Semua orang boleh asalkan dia mahu melakukan perubahan.
Sasaran saya adalah untuk membawa masuk generasi muda dan profesional dalam politik, generasi masa depan.
Kalau tengok sekarang kebanyakan daripada mereka masih enggan (menyertai politik), boleh kira dengan jari. Minta maaf cakap, kebanyakan yang (sertai politik) mempunyai latar belakang politik melalui ibu bapa atau saudara mara. Saya tidak ada (latar belakang politik). Saya tidak ada kaitan dengan mana-mana ahli politik.
Jadi, persepsi ini, pemikiran ini kena berubah. Sesiapa sahaja boleh asalkan niat dia untuk melakukan perubahan terutamanya kalau masuk politik kerana mahu berkhidmat kepada rakyat, masalah akan selesai. Kalau masuk politik sebagai profesion, itu yang jadi masalah.
Adakah Dr. yakin akan dipilih sebagai Naib Presiden jika dibandingkan dengan calon lain yang lebih dikenali dan memegang jawatan dalam kerajaan?
Itu terpulang kepada akar umbi dan perwakilan serta pimpinan atasan daripada cabang parti. Kita ada 222 perwakilan dan saya juga sebagai Timbalan Setiausaha Agung. Saya percaya ramai yang kenal saya dan saya rasa, saya boleh bagi idea.
Mari kita beri muka baharu peluang, bukan setakat orang yang sama sahaja. Dengan wajah baharu, perkara baharu, ini akan memberi satu keyakinan kepada anak-anak muda dan anggota-anggota muda dan mereka pun ada peluang.
Bila kita tengok orang yang sama sahaja, orang baharu tidak akan timbul. Kita tidak akan ada generasi baharu masuk, generasi yang lama sahaja tiap-tiap penggal. Kalau ada orang macam itu, tidak akan ada perubahan.
Pasal itu dalam mesyuarat saya usulkan, saya kata ketua cabang maksimum lima penggal, lepas itu cukup. Macam cadangan hadkan penggal Perdana Menteri. Ketua cabang pun kita usulkan, jadi semua jawatan-jawatan ini ada had tempoh.
Kalau lama sangat, kita tidak akan dapat generasi baharu, kita tidak akan dapat idea baharu, kita tidak akan bergerak ke depan, jadi ia akan jadi orang yang sama sahaja sampai bila-bila. Ini yang sebenarnya menjatuhkan banyak parti politik. Ini pendapat sayalah.
Kita perlukan persaingan yang sihat. Bukan saya kata kita kena buang semua orang lama, tidak…tetapi sebagai parti kerajaan, kita mesti ada idea-idea dan perkara baharu dan saya boleh menawarkan idea-idea baharu. Macam mana saya nak luahkan idea saya kalau saya bukan siapa-siapa?
Ini salah satu idea saya. Matlamat saya adalah pendidikan percuma, penjagaan kesihatan percuma dan banyak lagi perkara lain jadi untuk mencapai perkara ini, saya perlu pergi lebih jauh lagi.
Apa perubahan yang boleh dibawa sebagai Naib Presiden PKR?
Bila wakili kerajaan, kita ada peluang terhadap apa yang perlu dilaksanakan. Sebagai naib presiden, kita boleh praktis demokrasi dan kita ada kerajaan perpaduan sekarang, gabungan parti kerajaan juga mudah untuk berkomunikasi melibatkan semua komuniti sebab kali ini kita boleh kerjasama dengan Barisan Nasional (BN). Kalau bincang kita boleh dapat idea, anak-anak muda juga kita boleh cari cara macam mana untuk mereka turun padang sama-sama. Apa yang baik, kita terima dan kita belajar. Kita buat penambahbaikan, buat analisis, statistik dan strategi untuk bergerak ke depan.
Adakah wujud penolakan akar umbi apabila beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tewas pemilihan peringkat cabang?
Pemilihan peringkat cabang ini di bawah akar umbi, jadi susah kita nak faham persepsi akar umbi. Macam bila mula-mula saya bertanding pertama kali, masa itu saya memang cuba kenal dengan semua orang. Pihak lawan saya pula pernah jadi ahli Parlimen, saya hanya seorang doktor.
Sekarang, saya jadi ketua cabang dan saya sudah bekerja hampir tiga tahun di Parlimen ini, saya sudah pergi setiap pelusuk di Hulu Selangor. Walaupun Hulu Selangor lagi besar daripada Melaka, saya sudah pergi setiap pelusuk, daripada Sungai Tengi, Sungai Tengi Selatan, Hulu Bernam, Kampung Soeharto, Changkat Asa, Gedangsa sampai ke Sungai Choh, saya sudah pergi ke setiap sudut.
Sekarang kita tahu apa yang mereka perlukan, apa kedudukan mereka jadi di sini saya rasa kita perlukan masa juga dan kita perlu faham apa kehendak masyarakat, itu paling penting bagi saya. Masyarakat tahu siapa yang mereka mahu pilih.
Saya datang ke sini (masuk politik) bukan setakat mahu cari rezeki, saya mahu membuat perubahan dan mereka nampak perubahan. Itu yang kita kena buktikan. Maknanya, bukan sekadar mahu masuk politik sahaja.
Adakah berpolitik ini seperti doktor merawat pesakitnya?
Saya rasa politik ini lebih kepada menguruskan perniagaan. Bagaimana kamu menguruskan situasi dan orang sekeliling. Saya rasa orang yang tidak ada pengalaman menguruskan orang lain tetapi mahu masuk politik, janganlah masuk.
Kalau masuk politik sebab nak beli rumah, nak beli kereta, buat itu buat ini, hala tuju kita akan ke lain.
Saya sudah buat apa yang saya boleh buat. Sekarang saya mahu melakukan perubahan. Kita tengok macam mana nanti.
Adakah pemilihan parti kali ini akan membawa kepada rombakan Kabinet?
Itu saya serahkan kepada Perdana Menteri. Beliau lebih tahu tentang perkara ini. Jika sistem sedia ada berkesan, teruskan. Jika beliau perlukan bantuan, beliau tahu apa yang beliau perlu lakukan.
Bagi saya, saya tidak mahu kompelin. Saya cuma buat apa yang saya perlu buat. Berikan saya tugas sebanyak ini, saya akan buat apa sahaja yang saya boleh lakukan, saya akan buat dan lakukannya. – UTUSAN










