AKHIRNYA, pemilik-pemilik hartanah di Taman Connaught dan Taman Melewar, Kuala Lumpur berjaya mengembalikan status hartanah mereka yang berstatus pajakan (leasehold) kepada pegangan bebas (freehold).
Perjuangan bertahun-tahun lama itu akhirnya membuahkan hasil, khususnya hartanah yang menjadi bukti titik peluh mereka sejak mula melangkah ke alam pekerjaan di kota metropolitan ini. Kini, hasil usaha murni itu boleh dinikmati oleh generasi seterusnya dan dapat dimanfaatkan untuk selama-lamanya.
Isu berkenaan status hartanah sebegini bukanlah satu fenomena baharu, malah telah dibincangkan sejak tahun 70-an lagi. Walau bagaimanapun, hanya sebahagian masyarakat menyedari isu ini dan kedudukannya dari segi undang-undang walaupun perkembangan ini membawa kesan yang amat besar terhadap status pemilikan hartanah.
Hal ini kerana, hartanah berpegangan bebas tidak mempunyai had tempoh, dimiliki untuk selama-lamanya serta mempunyai nilai jualan semula yang amat tinggi.
Asasnya, sesebuah badan tidak mempunyai autoriti atau kuasa yang sah untuk mengurangkan tempoh pemegangan tanah di bawah pegangan bebas kepada pajakan. Hal ini jelas termaktub dalam Kanun Tanah Negara dan pelbagai kes undang-undang yang telah diputuskan mahkamah. Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan juga jelas menyatakan tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.
Kes utama bagi isu ini ialah Pengarah Tanah Dan Galian Wilayah Persekutuan lwn. Sri Lempah Enterprise Sdn Bhd [1979] 1 MLJ 135 yang diputuskan Mahkamah Persekutuan di mana responden, Sri Lempah Sdn. Bhd. telah membuat permohonan pecah bahagi serta tukar syarat tanah.
Selanjutnya, mereka telah dimaklumkan salah satu syarat untuk permohonan tersebut diterima adalah hartanah tersebut perlu menjadi pajakan selama 99 tahun. Responden tidak bersetuju dengan syarat tersebut dan merujuk isu ini kepada mahkamah. Mahkamah Persekutuan memutuskan syarat tersebut tidak sah (ultra vires) kerana ia melangkaui kuasa Jawatankuasa Eksekutif Tanah.
Selain itu, terdapat juga kes yang diputuskan pada 2015 iaitu kes Leo Leslie Armstrong lwn. Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di mana Mahkamah Rayuan memutuskan responden atau orang sebelumnya tidak mempunyai kuasa untuk mengubah tempoh pemegangan tanah perayu kepada pajakan.
Mahkamah Rayuan juga memutuskan kes Sri Lempah tidak pernah menyatakan keputusannya terpakai secara prospektif dan tidak membawa kesan retrospektif. Hal ini bermaksud, sekiranya keputusan Pentadbir Tanah berkenaan pengurangan tempoh pemegangan tanah dibuat sebelum kes Sri Lempah diputuskan, prinsip Mahkamah Persekutuan dalam kes Sri Lempah masih boleh digunakan bagi menunjukkan bahawa keputusan Pentadbir Tanah tersebut adalah tidak sah.
HAK MILIK INDUK
Bagi penduduk Taman Connaught dan Taman Melewar, perjuangan ini bukanlah satu jalan mudah dan memerlukan kajian terperinci bukan sahaja dari sudut perundangan, tetapi juga keterangan melibatkan dokumen berusia puluhan malah ratusan tahun. Perkara ini merupakan pengalaman peribadi saya sendiri bagi permohonan di salah satu hartanah di Kuala Lumpur. Untuk memastikan kejayaan dalam permohonan tersebut, keterangan paling penting adalah Hak Milik Induk yang menunjukkan hartanah tersebut berstatus pegangan bebas.
Walau bagaimanapun, terdapat cabaran apabila rujukan kepada Hak Milik Induk tersebut tidak sama sekali menzahirkan sebarang penjelasan sama ada ia berstatus pajakan atau berpegangan bebas. Bagi mendapat secebis keterangan, tenaga, masa dan idea telah dikerahkan sehingga perlu berkampung di Arkib Negara, Perpustakaan Negara dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi meneliti satu per satu dokumen berusia lebih 60 tahun. Kebanyakan dokumen melibatkan dokumen pra-kemerdekaan.
Pada masa sama, saya dan pasukan menyaksikan perkembangan sistem dan undang-undang hartanah di Kuala Lumpur daripada Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (ketika Kuala Lumpur merupakan sebahagian daripada Selangor) sehinggalah penyerahan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974. Bagai titik cahaya di hujung terowong gelap, kami memperoleh ‘secebis keterangan’ yang dicari- cari selama ini.
Keterangan tersebut yang amat jelas menunjukkan Hak Milik Induk tersebut berpegangan bebas telah membantu kami dalam permohonan dan pihak mahkamah membenarkan permohonan atas asbab ‘secebis keterangan’ tersebut.
Segala penat lelah dalam kes ini bersama harapan-harapan penduduk terbalas, dan saya amat menghargai segala sokongan daripada penduduk. Perjalanan panjang kes ini jelas menunjukkan perjuangan mereka semua memerlukan kecekalan setiap masa.
Tuntasnya, kejayaan yang dicapai penduduk-penduduk ini bukan sahaja mencerminkan kemenangan dari sudut perundangan, tetapi juga memperlihatkan manifestasi semangat juang rakyat dalam menegakkan keadilan. Meskipun laluan yang ditempuh penuh ranjau serta menuntut pelbagai bentuk pengorbanan, hasilnya pasti dinikmati dan diwarisi oleh generasi akan datang untuk selama-lamanya.
Kesedaran serta dorongan kepada semua pemilik hartanah di seluruh negara perlu agar mereka terus memperjuangkan hak secara berhemah, berpaksikan undang-undang dan bertunjangkan semangat kebersamaan khususnya apabila hak yang dicabar.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Ketua Sekretariat Muda Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Penolong Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).