Masjid Madani bukan sekadar mercu tanda tetapi simbol toleransi

Masjid Madani bukan sekadar mercu tanda tetapi simbol toleransi

MASJID Madani menjadi mercu tanda Kuala Lumpur yang bukan hanya dikenali kerana seni binanya yang megah tetapi juga kerana nilai-nilai toleransi dan perpaduan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASJID adalah refleksi keindahan Islam yang turut menyimpan seribu satu kenangan kehidupan beragama masyarakat Malaysia yang pelbagai agama, budaya dan bangsa.

Upacara pecah tanah tapak yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mac lalu merupakan satu lagi detik bersejarah kemenangan hikmah dan kesabaran dalam menyelesaikan pertikaian yang sensitif.

Perdana Menteri menyifatkan penyelesaian secara rahmah, ikhsan dan bukan perseteruan selari dengan nilai yang dibicarakan oleh Ibn Khaldun dalam membina peradaban yang bermula dari kota.

Beliau turut menegaskan masjid memberikan suatu falsafah pembangunan berakar pada akidah Islam yang mengangkat nilai dan akhlak yang baik. Ia juga menghimpunkan bukan sahaja umat Islam tetapi merangkul semua manusia di sekelilingnya dengan penuh kasih sayang.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, Kuala Lumpur terus berkembang sebagai pusat budaya, ekonomi, dan sosial masyarakat berbilang kaum. Dalam usaha memperkukuhkan keharmonian antara masyarakat pelbagai, Masjid Madani yang bakal dibina di Jalan Munshi Abdullah dilihat sebagai simbol baharu perpaduan dan toleransi.

Dengan reka bentuk moden dan lokasi yang strategik, masjid ini bukan sahaja dijangka menjadi mercu tanda penting di Kuala Lumpur, tetapi juga mencerminkan nilai-nilai Islam yang menekankan kesejahteraan bersama.

Dari segi reka bentuk, Masjid Madani akan menjadi sebuah binaan yang menggabungkan seni bina Islam yang kontemporari dengan elemen-elemen moden, menjadikannya salah satu mercu tanda ikonik di Kuala Lumpur.

Dengan ruang solat yang luas dan kemudahan moden, masjid ini bakal menjadi tumpuan umat Islam dan pelancong. Selain itu, masjid ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti perpustakaan, dewan acara, ruang seni dan budaya. Ruang-ruang ini akan digunakan untuk program-program sosial dan pendidikan, menjadikan masjid ini lebih daripada sekadar tempat ibadah tetapi juga pusat interaksi komuniti.

Perlu dinyatakan di sini bahawa ia bukan sekadar sebuah masjid yang biasa, tetapi juga simbol toleransi dan keharmonian dalam masyarakat yang berbilang agama dan etnik. Pembinaannya membawa mesej jelas tentang pentingnya menjaga hubungan yang harmoni antara agama dan kaum.

Salah satu aspek penting dalam projek ini adalah penyelesaian isu perpindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di kawasan tersebut, yang dilakukan melalui perundingan yang teliti dan penuh hikmah. Tindakan ini menunjukkan komitmen untuk menjaga kepentingan semua pihak tanpa menjejaskan keharmonian sosial.

Selain dari berfungsi sebagai tempat beribadah, Masjid Madani juga bakal berfungsi sebagai sebuah pusat komuniti, di mana pelbagai program yang melibatkan masyarakat pelbagai kaum dan agama dapat dilaksanakan.

Ia bukan sahaja akan menjadi tempat ibadat, tetapi juga sebuah ruang yang menyatukan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang. Dengan menganjurkan program pendidikan, kebudayaan, dan sosial, masjid ini akan menjadi platform untuk memperkukuhkan hubungan antara umat Islam dan bukan Islam. Ini menjadikannya sebuah mercu tanda yang tidak hanya merujuk kepada kekuatan agama, tetapi juga kepada kekuatan sosial dan budaya.

Dari segi nama masjid ini dilihat mengangkat prinsip-prinsip madani yang merupakan sebuah konsep yang digagaskan oleh kerajaan untuk memajukan negara berdasarkan nilai-nilai kesederhanaan, keadilan dan kesejahteraan bersama.

Sebagai contoh, prinsip ini akan diterjemahkan dalam pengurusan masjid yang inklusif, memberi ruang kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang memperkayakan pemahaman mereka tentang Islam serta nilai-nilai universal seperti kemanusiaan dan kebajikan.

Penting untuk diungkapkan di sini bahawa masjid ini merupakan inisiatif besar yang melibatkan sumbangan daripada Jakel Group (Jakel), sebuah syarikat terkemuka dalam industri tekstil di Malaysia.

Inisiatif ini adalah impian allahyarham Datuk Jakel, pengasas Jakel, yang berhasrat untuk memberi kembali kepada masyarakat melalui projek ini. Sebagai peneraju utama projek, Jakel memainkan peranan penting dalam memastikan pembinaan masjid ini dilaksanakan dengan penuh ketelitian dan penghormatan terhadap keharmonian sosial.

Sumbangan Jakel melambangkan komitmen syarikat tersebut terhadap kesejahteraan masyarakat dan juga dalam menyokong agenda negara untuk membina masyarakat yang lebih bersatu serta inklusif.

Kehadiran Masjid Madani di Kuala Lumpur bukan sahaja dijangka menjadi sebuah mercu tanda keagamaan, tetapi juga simbol perpaduan yang melambangkan identiti Malaysia sebagai negara yang menghargai keharmonian antara pelbagai kaum dan agama.

Dengan ciri-ciri moden dan peranan sosial yang inklusif, masjid ini berpotensi menjadi destinasi yang bukan sahaja dikunjungi oleh umat Islam, tetapi juga masyarakat pelbagai latar belakang yang ingin melihat sendiri usaha Malaysia dalam memupuk perpaduan.

ASPIRASI
Secara keseluruhannya, Masjid Madani bukan sahaja sekadar bangunan fizikal, tetapi juga sebuah lambang aspirasi negara untuk membina masyarakat yang bersatu padu, saling menghormati dan hidup dalam keadaan yang aman.

Ia berpotensi menjadi mercu tanda Kuala Lumpur yang bukan hanya dikenali kerana seni binanya yang megah, tetapi juga kerana nilai-nilai toleransi dan perpaduan yang dibawanya.

Kehadirannya patut disambut dengan penuh rasa syukur oleh seluruh umat Islam dan masyarakat yang cintakan keamanan dan kedamaian.-UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Abd. Hakim Mohad ialah pensyarah di Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN