INITIATIF pemakaian lencana Jalur Gemilang di sekolah kerajaan amat tepat sekali. Ini kerana ia dikeluarkan pada masa yang tepat sekali dengan terjadinya satu siri kesalahan pada bendera negara kita sejurus selepas pengumumannya.
Juga ia sangat diperlukan memandangkan kurang dan barangkali tiadanya langsung pengetahuan tentang Jalur Gemilang oleh sesetengah pihak. Walaupun dengan mudahnya kesalahan ini mahu disabitkan dengan prasarana digital yang bermasalah, ia sebenarnya masih merupakan tanggungjawab manusia untuk menyemaknya secara manual agar benar-benar betul.
Tujuan pemakaian lencana Jalur Gemilang untuk terus memupuk selain mempertingkat lagi perasaan sayangkan negara dalam kalangan golongan muda, tidak boleh diperlekeh, apatah lagi dipandang sinis. Ini kerana walaupun ia bersifat hanya sebahagian kecil daripada proses keseluruhan patriotisme, ia masih bermanfaat dalam pelbagai cara, baik yang kecil mahupun besar.
Antaranya selaku langkah awal kepada anak kecil untuk memupuk rasa kekitaan sesama sendiri, selain keterikatan kepada negara sebagai tanah air. Manakala ia lambang negara untuk golongan remaja. Bagi yang lebih tua pula, ia adalah kedaulatan dan penghormatan di samping kebanggaan sebagai rakyat yang setia.
Oleh itu, apa-apa bendera sekali pun, termasuk syarikat mahupun pertubuhan, apatah lagi yang negeri dan negara, ia melambangkan entiti yang diwakilinya. Dalam hal ini, ia dikibarkan dengan penuh kemegahan oleh syarikat, pertubuhan, negeri dan negara berkenaan.
Sehubungan ini, ia direka dengan istimewanya untuk membawa maksud khusus tertentu melalui lambang dan warna yang dipilih khas. Untuk ini, ia wajib wujud dalam bentuk yang diwartakan pada sesuatu masa. Dalam pada ini, ia masih boleh diubah tetapi secara rasmi selepas berlakunya sesuatu peristiwa signifikan.
Ini berlaku pada bendera negara kita pada bucu bintang dan jalurnya. Kedua-duanya ditambahkan daripada 11 pada waktu kemerdekaan kepada 13 ketika Persekutuan Malaysia tertubuh. Ia akhirnya menjadi 14 apabila Wilayah Persekutuan mahu ikut dikira sebagai anggota pentadbiran negara bertaraf negeri tersendiri.
Dengan setiap entiti yang wujud, iaitu anak bulan, bintang berbucu 14 dan jalur yang juga 14 jumlahnya, selain warna kuning, biru, merah dan putih, ia tidak boleh sesekali diubah dalam apa-apa jua cara, waima atas alasan kreativiti sekali pun. Begitulah juga dengan letak susun setiap satu entiti serta warnanya.
Walaupun ia yang didakwa dilakar oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga wujudnya bentuk baharu pada siri kesalahan terkini, ia masih tidak boleh diterima dengan sewenang-wenangnya. Sehubungan ini, ia hendaklah disiasat sedalam-dalamnya untuk mengetahui sebabnya.
Dalam hal ini, kesalahan yang didakwa disebabkan teknologi AI tidak boleh dilepas tangan begitu sahaja. Ia harus digalas tanggungjawabnya kerana ia wajib disemak secara berperingkat oleh sebilangan pihak pada draf terakhir sebelum betul-betul dimuktamadkan. Itulah prosedur pengendalian lazim yang apabila diikuti dengan penuh hemat, tidak mudah menyebabkan wujudnya kesalahan, sama ada yang kecil, apatah lagi yang besar.
Natijahnya di sini ialah kebarangkalian prosedur ini tidak diikuti sepenuhnya adalah sangat tinggi. Ini kerana mana mungkin sebilangan pihak berbeza yang ditugaskan untuk menyemak boleh kesemuanya terlepas pandang. Oleh itu, tindakan sewajarnya wajib dikenakan dalam semua kes kesalahan terkini terhadap Jalur Gemilang, tanpa mengira taraf pihak yang melakukan.
Sehubungan ini, bukan sahaja amat malang ia berlaku di agensi kerajaan yang secara teorinya adalah pendaulat amanah negara.
Dengan ini, Jalur Gemilang dan segala lambang negara pasti akan dilindungi sebaik-baiknya. Ini kerana ia berada di bawah penjagaan pihak yang kompeten lagi dipercayai tentang hal dan urusan negara.Juga ia sangat memalukan. Ini kerana agensi kerajaan terbabit merupakan agen terutama dalam proses pembentukan negara bangsa.
Dengan ia sendiri melakukan kesalahan kepada Jalur Gemilang, ia sewajarnya tiada lagi kewibawaan untuk dipertanggungjawab amanah itu.
Sesungguhnya kesalahan ini yang berlaku dalam sektor awam adalah jauh parah daripada yang dalam sektor swasta. Ini kerana sebagai sektor negeri dan negara, ia sesungguhnya adalah pemerintah itu sendiri. Dalam hal ini, ia terdiri daripada tenaga kerja yang dilatih khas untuk bukan sahaja mendukung, juga menitipkan segala amanah negara.
Dengan ini, kerajaan tempatan, negeri atau wilayah serta pusat, termasuklah semua unit di bawahnya, wajib memastikan setiap satu amanah negara dititip sebaik-baiknya. Ini kerana kerajaan perlu memberi jaminan kepada rakyat selain memastikan keselamatan setiap satu amanah negara itu selalu terjaga dengan baik.
Dalam hal Jalur Gemilang, bukan sahaja polis, tentera dan yang seumpama itu perlu lebih cakna. Malah semua pihak, baik dalam bidang pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan awam lain, wajib selalu mempunyai keprihatinan serupa terhadap amanah negara.
Walaupun sektor swasta yang merupakan bahagian penting dalam ekonomi negara, ia tidak berada di bawah kawalan pemerintah. Oleh itu, ia tidak tertakluk secara langsung kepada keprihatinan sedemikian, lebih-lebih yang sosial.
Dengan ini, sektor swasta kurang atau kekadang tidak cakna langsung dalam banyak perkara nasional yang tidak kena-mengena dengan ehwal kebendaan, khususnya keuntungan wang. Maka berlakulah lebih banyak kejadian ketidakcaknaan olehnya terhadap amanah negara, termasuklah kesalahan terhadap Jalur Gemilang.
Apa-apa jua, sama ada sektor awam atau swasta, bendera waima hanya yang syarikat atau pertubuhan, apatah lagi negeri dan negara, tidak boleh sesekali diperlaku dengan cara tidak wajar. Ini kerana ia cerminan kepada nilai budaya tertentu. Antaranya pernyataan makna perlambangan tertentu, evolusi sejarah signifikan dan segala macam lain yang nyata lagi sah di Malaysia.
PUPUK SEMANGAT CINTAKAN NEGARA
Untuk initiatif pemakaian lencana bendera, khususnya filsafat Jalur Gemilang, pertama-tamanya ia adalah identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat. Bagi kanak-kanak sekolah yang baharu memakainya, ia permulaan pengalaman praktikal untuk memupuk dan menjiwai kedua-dua identiti itu.
Selain ini, amalan baharu ini pasti memberi mereka rasa identiti kumpulan kerana semua kanak-kanak memakainya. Dengan ini, ia ikut memupuk perpaduan negara kerana semua etnisiti terlibat. Juga integrasi nasional sebab tiga wilayah dalam Malaysia terlibat sama.
Jauh lebih penting ialah pemakaian lencana Jalur Gemilang memberi mesej kerakyatan kepada kanak-kanak sekolah bahawa mereka semua adalah satu komuniti nasional sebagai bangsa Malaysia yang bersatu.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










