PENDEDAHAN bahawa kira-kira 50 peratus daripada sembilan juta isi rumah berpendapatan rendah bakal berdepan dengan tanggungan pinjaman atau hutang yang tinggi selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri berikutan perbelanjaan berlebihan perlu diberi perhatian yang serius.
Walaupun isu meminjam untuk menyambut perayaan bukan suatu perkara yang baharu dalam kalangan anggota masyarakat kita namun apabila ia mula menjadi berlebihan sehingga membebani peminjam dengan kadar hutang yang tinggi maka perlu ada langkah intervensi yang sewajarnya. Jika tidak, kita khuatir ramai yang akan tertekan dek dikejar pemiutang selain berisiko tinggi untuk diisytihar muflis.
Hakikatnya, walaupun pihak kerajaan menyediakan pelbagai bantuan tunai namun desakan hidup, beban hutang sedia ada membabitkan komitmen bulanan yang tinggi untuk keperluan seperti sewa atau bayaran ansuran rumah serta kereta selain kos sara hidup yang tinggi menjadi faktor utama rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana membuat pinjaman sama ada dengan institusi kewangan yang rasmi mahupun dengan ceti haram.
Ini terbukti apabila sebelum Aidilfitri lagi telah didedahkan jumlah pinjaman peribadi di Malaysia telah mencapai 84.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di samping 70,000 orang daripada kira-kira 1.6 juta penjawat awam telah pun berhutang menjelang 1 Syawal. Secara realitinya, sebahagian besar rakyat kita sedang berhadapan dengan masalah keterhutangan yang cukup serius.
Ironinya, keseronokan menyambut hari lebaran mula pudar dalam sekelip mata apabila masing-masing terbayang dan tertekan dengan keperluan untuk membuat bayaran balik hutang yang tinggi setiap bulan selepas ini. Keadaan bertambah membimbangkan untuk kelompok yang tersalah langkah apabila membuat pinjaman dengan ah long yang sememangnya menekan peminjam dengan kadar bunga yang sangat tinggi sehingga menyebabkan jumlah pinjaman bertambah berlipat kali ganda.
Umpama nasi sudah menjadi bubur, tiada guna kita sesali kesilapan membuat pinjaman untuk menampung keperluan perbelanjaan musim perayaan. Justeru, apa yang penting sekarang ialah kita perlu berfikiran waras dan tenang menghadapi dugaan mencari jalan untuk melangsaikan hutang secara bijak, berhemat dan berhati-hati.
Paling penting, jangan sesekali membuat pinjaman baharu kononnya untuk melangsaikan hutang sedia ada kerana ia akan jadi umpama gali lubang tutup lubang di mana jumlah hutang akan terus bertambah dan teknik ini tidak akan menyelesaikan masalah pokok yang kita sedang hadapi sekarang.
Antara langkah awal yang boleh dilakukan ialah peminjam perlu segera memulakan sesi perbincangan dengan pemberian pinjaman baik institusi kewangan mahupun ah long agar boleh dirancang kaedah pembayaran balik yang lebih fleksibel dan mengikut kemampuan semasa berdasarkan pendapatan sedia ada.
Ini penting kerana penyedia pinjaman perlu dimaklumkan kesukaran yang sedang dihadapi supaya mereka boleh memberikan pilihan yang terbaik kepada peminjam.
Kita juga berharap penyedia pinjaman akan lebih bertimbang rasa dan memahami desakan hidup para peminjam yang bukan hendak culas atau lari dari tanggungjawab. Wajar wujudkan situasi menang-menang supaya penyedia pinjaman tetap mendapat bayaran ansuran dan pada masa sama peminjam tidak terlalu terbeban.
Penyedia pinjaman juga boleh pertimbangkan pemberian moratorium untuk satu tempoh yang wajar bagi memberi ruang kepada peminjam untuk lebih stabil selepas sambutan Aidilfitri sebelum memulakan proses bayaran semula pinjaman.
Hakikatnya, hutang tetap hutang dan wajib dibayar. Maka, para peminjam bukan sahaja tiada pilihan malah perlu berusaha keras untuk melangsaikan hutang masing-masing. Untuk itu, perlu ada ikhtiar bagi menambah pendapatan sampingan bulanan. Ini boleh dilakukan melalui kerja-kerja sampingan khususnya selepas waktu pejabat agar dapat mengurangkan beban kewangan bulanan.
Selain itu, para peminjam juga perlu bijak mengurus kewangan pasca perayaan agar perancangan dan perbelanjaan lebih teratur dan berhemat. Kita tahu berapa jumlah pendapatan bulanan dan berapa jumlah pinjaman yang perlu dibayar, maka uruskanlah kewangan masing-masing dengan bijak.
Kita juga berharap beban hutang tinggi yang ada tidak memberi sebarang tekanan berlebihan kepada peminjam dan keluarga khususnya dalam konteks kesihatan mental dan emosi. Jangan bertindak terburu-buru atau membuat sebarang tindakan yang tidak sewajarnya.
Jangan juga isu ini mengganggu keharmonian rumah tangga dan keluarga sehingga ahli keluarga dijadikan mangsa keadaan. Kita khuatir jika peminjam terutamanya yang memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga gagal mengawal dan mengurus emosi ia boleh memberi pelbagai kesan seperti membawa kepada penderaan dan perceraian.
Diharap pihak kerajaan juga dapat meneliti secara serius isu keterhutangan serius dalam kalangan rakyat seperti ini yang boleh memberikan pelbagai kesan sosial dalam masyarakat. Pihak kerajaan misalnya boleh bertindak sebagai orang tengah dan pemudahcara dalam sesi rundingan antara peminjam dan institusi kewangan.
Kita juga berharap pihak berkuasa akan melindungi peminjam yang mungkin akan menjadi mangsa kekejaman ah long kerana gagal membayar kadar ansuran yang telah ditetapkan.
Jabatan-jabatan kerajaan juga diharap cakna dengan warga kerja yang sedang berhadapan dengan masalah keterhutangan yang serius. Hal ini penting kerana isu ini bukan sahaja mengganggu fokus kerja pegawai malah boleh menjejaskan prestasi perkhidmatan organisasi secara keseluruhannya.
Pada masa sama, kita berharap pihak kerajaan dapat memperkenalkan inisiatif jangka panjang sebagai jalan penyelesaian untuk isu pinjaman khususnya di musim perayaan. Hal ini penting kerana harus diingat isu kos sara hidup yang tinggi dan pendapatan yang tidak mencukupi tidak mungkin dapat diselesaikan dalam satu malam.
Tatkala menunggu segala inisiatif ekonomi dan kebajikan kerajaan mula membuahkan hasil, perlu juga ada pendekatan alternatif sebagai kemudahan kepada rakyat. Justeru, dicadangkan kerajaan menubuhkan sebuah tabung pinjaman khusus musim perayaan dengan kadar caj perkhidmatan serta jadual pembayaran balik yang lebih fleksibel kepada mana-mana individu baik penjawat awam mahupun pekerja swasta serta pekerja sendiri.
Melalui tabung ini, kerajaan boleh tetapkan jumlah maksimum pinjaman dengan mengambil kira segala perbelanjaan dan komitmen hutang sedia ada sebelum meluluskan jumlah pinjaman yang bersesuaian. Tabung ini boleh menyelamatkan rakyat dari ah long dan juga risiko diisytihar muflis.
Semoga isu hutang selepas perayaan ini dapat ditangani secara bijak dengan bantuan dan kerjasama semua pihak yang terlibat. Kita tidak mahu jumlah rakyat yang muflis terus bertambah disebabkan hutang perayaan seperti ini. – UTUSAN
NOOR Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).










