Jangan cemar Syawal dengan maksiat

Jangan cemar Syawal dengan maksiat

DALAM kegembiraan meraikan Syawal, janganlah kita diperdaya oleh syaitan yang baru dilepaskan daripada belenggu sepanjang Ramadan untuk melakukan maksiat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMAT Hari Raya Aidilfitri diucapkan kepada semua pembaca akhbar Utusan Malaysia. Semoga Allah menerima amalan kita sepanjang Ramadan.

Yang lebih penting, bagaimana memastikan segala amal baik sepanjang bulan yang berkat itu dapat diteruskan dalam kegembiraan kita menyambut Syawal.

Sudah menjadi kebiasaan di negara ini menyambut hari raya puasa selama sebulan. Maka akan penuhlah jadual seharian kita dengan jemputan rumah terbuka terutama pada hujung minggu. Kadang-kadang ada empat ke lima jemputan sehari pada Sabtu dan Ahad.

Begitulah meriahnya sambutan hari lebaran di Malaysia walaupun hari raya Aidilfitri sebenarnya hanya pada 1 Syawal. Namun, tidaklah menjadi kesalahan dan sudah menjadi uruf (kebiasaan) umat Islam di negara kita meraikannya selama sebulan. Malah, ada kalanya, terlajak meraikannya dalam bulan Zulkaedah.

Hari raya adalah saat dan ketika umat Islam bergembira dan berseronok. Ini adalah kegembiraan dan keseronokan bagi orang yang beriman di dunia seperti hamba yang dilepaskan oleh tuannya.

Di dalam Islam, ada dua hari raya yang telah disyariatkan. Ini sebagaimana hadis ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah. Penduduk Madinah telah menyambut dua perayaan. Lalu Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari

Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. (Riwayat Ahmad)

ELAK BUAT MAKSIAT

Dalam kegembiraan meraikan Syawal, janganlah kita diperdaya oleh syaitan yang baru dilepaskan daripada belenggu sepanjang Ramadan untuk melakukan maksiat.

Maksiat yang kadang-kadang kita tidak perasan melakukannya kerana ‘dihias cantik’ oleh syaitan.

Realitinya, ujian sebenar keimanan seseorang mukmin itu bermula pada Syawal. Ini kerana pada bulan ini hawa nafsu kembali bebas.

Janganlah hendaknya kita biarkan ia bermaharajalela dalam diri sehingga kita tewas.

JANGAN TINGGAL SOLAT

Sibuk macam mana pun kita, jangan tinggal solat. Solat itu tiang agama dan membezakan orang beriman dan kufur. Usahakan juga supaya kita tidak melengah-lengahkan solat.

Hukum melewatkan solat adalah makruh. Ia boleh membawa kepada haram jika solat fardu itu terkeluar sebahagian daripada fardu tersebut ke waktu lain maka dia melakukan dosa besar.

Rasulullah SAW pernah ditanya: Apakah amalan-amalan yang lebih utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada awal waktunya. (Riwayat Abu Daud)

Imam al-Zahabi di dalam kitabnya Al-Kabair berkata: Solat diumpamakan seperti pertalian hamba dengan Tuhannya, yang mana orang yang memutuskan pertalian itu dikira berdosa besar. Apatah lagi jika dia mengingkari kewajipannya atau memperkecilkan-kecilkan orang yang mengikat pertalian itu sehingga boleh dianggap kafir, jika tidak perlu bertaubat dan kembali kepada TuhanNya.

Sa’ad bin Abi Waqqas r.a berkata: Aku pernah bertanya kepada Rasulullah tentang orang yang melalaikan solatnya. Maka Baginda menjawab: Iaitu mengakhirkan waktu solat (daripada waktunya yang asal sehingga sampai kepada waktu solat yang lain).

Mereka itu tetap dinamakan orang-orang yang menunaikan solat iaitu sebagai musalliin. Akan tetapi kerana mereka telah mensia-siakan dan mengakhirkan waktu solat tersebut, maka mereka diancam dengan neraka Wail, iaitu seksaan yang teramat pedih di dalamnya. (Riwayat Baihaqi)

PERGAULAN BEBAS BUKAN MAHRAM TERMASUK BERSALAM
Ada orang yang suka mengambil kesempatan atas alasan bermaaf-maafan bagi ‘menghalalkan’ sentuhan lelaki dan perempuan yang bukan mahram semasa Aidilfitri atau rumah terbuka.

Walaupun bersalaman adalah amalan mulia sesama jantina dan yang mahram bagi menunjukkan rasa kasih dan akrab, Islam melarang perbuatan bersalaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram waima apa pun alasan termasuk semasa hari raya.

Ingatlah amaran Nabi SAW dalam sabda baginda yang bermaksud: Sekiranya dicucuk kepala salah seorang kamu dengan jarum daripada besi itu adalah lebih baik buat dirinya berbanding dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya. (Riwayat Al-Tabrani)

Demikian juga Saidatina Aishah r.ha berkata yang bermaksud: Demi Allah, tangan Rasullullah SAW tidak pernah disentuh oleh wanita (bukan mahram) sekali pun dalam baiah (perjanjian, Mereka hanya membaiah dengan ucapan sahaja (Riwayat Bukhari)

MENGUMPAT
Islam adalah agama yang amat menjaga kehormatan dan kemuliaan seseorang insan sama ada orang itu muslim atau bukan muslim. Justeru, Islam mengharamkan perkara-perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang seperti mengumpat. (rujuk Surah al-Hujurat ayat 12)

Ayat ini menjelaskan pengharaman mengumpat sehingga diumpamakan seperti memakan daging saudaranya. Imam al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan ghibah (mengumpat) diumpamakan seperti memakan daging kerana mengumpat itu bererti menyiat-nyiat kehormatan seperti memakan dan menyiat-nyiat daging. Perumpamaan seperti ini sesuai dengan cara orang Arab berkomunikasi. (Tafsir al-Maraghi, 139-140/26)

Mengumpat dijelaskan menerusi sabda Nabi SAW yang bermaksud: Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat?.” Para sahabat berkata: Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya. Nabi SAW bersabda: “Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.” (Riwayat Muslim)

Menurut Imam Nawawi dalam kitabnya Riyadh al-Solihin, mengumpat yang dibenarkan adalah dengan tujuan yang sahih dan syarie antaranya membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim; membantu dalam menentang perkara yang munkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar dan menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.

Termasuk dalam mengumpat adalah perbuatan menyebar mesej yang seumpama dengannya melalui laman-laman sosial. Hindarilah daripada mendapat dosa kering akibat keterlanjuran yang dilakukan oleh tangan-tangan kita.

ELAK PEMBAZIRAN

Dalam mengadakan atau menghadiri rumah terbuka, pastikan menjaga adab dan tidak membazir terutama semasa mengambil makanan.

Ambil dengan kuantiti yang sedikit dahulu. Kalau sedap dan kena dengan tekak kita, boleh tambah kemudian. Jangan terus ambil banyak dan kemudiannya tidak habis dan terpaksa dibuang.

Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), sebanyak 90,000 tan makanan dibazirkan dan dibuang di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan tahun lalu. Kita semua bertanggungjawab untuk menghentikan pembaziran ini.

Lagipun, kita makan untuk hidup bukannya hidup untuk makan. Apabila terlalu banyak makan, badan jadi semakin berat dan makin malas dan bergerak. Nak beribadat pun makin malas.

Dalam kesibukan berhari raya, jangan lupa berpuasa sunat enam hari pada Syawal. Lebih baik mulakan awal agar tidak terlepas mendapat pahala yang amat besar iaitu seolah-olah berpuasa setahun.

Ini dijelaskan dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun. (Riwayat Muslim)

Bagi yang menganjurkan rumah terbuka, bolehlah buat jemputan bermula pukul 3 petang hingga waktu Isyak untuk turut memberi peluang meraikan mereka yang berpuasa enam. – UTUSAN

MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN