‘Bukan negeri malaikat’

‘Bukan negeri malaikat’

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PORTFOLIO Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah dilihat sangat penting dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu diterajui Pas yang melaungkan agenda Islam dalam terasnya.

Antara langkah besar dilaksanakan Terengganu adalah hukuman sebat di khalayak bagi pesalah syariah, namun ia mengundang kritikan kerana ada menganggapnya kejam, tidak berkeperimanusiaan dan melanggar hak asasi manusia.

Kerajaan Negeri Terengganu turut menerima kritikan dan teguran berhubung kebenaran penganjuran program-program yang dikatakan mempunyai elemen hiburan berlebihan atau kurang sesuai dengan sensitiviti Ramadan.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SHARIZA ABDULLAH dan KAMALIZA KAMARUDDIN bersama jurufoto, PUQTRA HAIRRY mendapatkan MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI yang sudah hampir dua tahun diberi tanggungjawab memegang portfolio berkenaan.

Anak sulung Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas itu turut memperjelas kenyataannya apabila menyifatkan khidmat bapanya masih perlu untuk mengemudi Pas menjelang pemilihan parti itu, September ini.

UTUSAN: Hampir dua tahun memegang portfolio Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, apa kekangan atau cabarannya?

MUHAMMAD KHALIL: Bila bercakap tentang dakwah, ia berkait dengan masalah dalam masyarakat. Ia sentiasa ada tanggapan masyarakat di luar Terengganu, bila Pas perintah di Terengganu seolah-olah Terengganu ini negeri malaikat. Tidak ada orang buat salah, buat silap, semuanya betul. Semuanya molek belaka.

Itu satu tanggapan yang tidak betul. Keutamaan di peringkat portfolio, kita nak pastikan supaya perkara yang bercanggah dengan Islam tidak berlaku di tempat umum secara terbuka.

Kalau buat maksiat, buat salah silap, mungkar dalam rumah, di tempat yang kita tidak tahu, itu urusan dia dengan Allah. Tetapi kalau di tempat terbuka, kita pastikan ia tidak berlaku. Itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan kena ambil tindakan.

Hukuman sebat permulaan kepada pelaksanaan hukum syariah di Terengganu?

Ia adalah hukuman sebat di luar penjara, istilah yang lebih tepat. Bila kita laksanakannya, kita dapat respons sangat positif daripada masyarakat di luar sana dan di luar Terengganu.

Sehinggakan pada hari pelaksanaan itu, ramai orang luar Terengganu pun datang. Mereka ingat buat di khalayak ramai semua boleh tengoklah.

Apa yang penting ialah political will (kemahuan politik) yang ada pada kerajaan negeri.

Kita cuba sedaya-upaya buat, laksanakannya ikut batas yang kita ada. Ia sudah dilaksanakan sejak puluhan tahun, orang tidak tahu jadi penambahbaikan yang kita buat, laksanakan di luar penjara supaya masyarakat tahu beza hukuman sebatan sivil dan syariah Islam.

Dari segi susun atur pentadbiran Terengganu di bawah Pas, apa beza gerak kerja berbanding di bawah UMNO?

Bagi Pas, dalam prinsip kita, apa yang baik kita teruskan dan buat penambahbaikan. Yang tidak baik, kita tinggalkan. Kita bersikap politik matang sejahtera. Sebenarnya, zaman pentadbiran UMNO, memang ada program-program, aktiviti-aktiviti Islam yang dijalankan yang kita teruskan atau perkasakan.

Cuma bezanya pemerintahan negeri bawah Pas ini, kita letak agenda Islam paling utama. Ia berbeza dengan UMNO kerana UMNO parti nasionalis, adapun Islam ini seolah-olah perkara sampingan.

Bagi Pas, Islam adalah paling tinggi, sebab itu kita lihat portfolio ini penting bagi kerajaan negeri yang merentasi portfolio-portfolio lain.

Contohnya, kami baru selesai mesyuarat garis panduan bukan sahaja enakmen syariah Islam tetapi melibatkan pelancongan, sukan, budaya, ekonomi dan pelaburan.

Ramadan lalu, timbul kontroversi berhubung penganjuran program-program yang dikatakan mempunyai elemen hiburan berlebihan.

Persepsi masyarakat di luar seolah-olah Terengganu ‘suci sesucinya’. Tiada yang tidak betul. Itu persepsi yang tidak betul. Itu yang saya tekankan, yang menjadi keutamaan kerajaan negeri adalah pastikan tiada benda yang bercanggah Islam dibuat secara terbuka. Macam mana kita nak tahu?

Daripada aduan, dari situ kita ambil tindakan, sebab itu saya buat kenyataan baru-baru ini, saya cakap terima kasih yang tegur dan kita ambil tindakan dari pihak yang berkenaan iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pelancongan.

Bila bercakap pasal hiburan, Islam tidak larang kita berhibur tetapi Islam memandu kita dalam aspek hiburan. Contohnya, tidak bercampur ikhtilat lelaki dan perempuan. Kedua, muzik dan lirik yang diketengahkan adalah lirik tidak lalai.

Contohnya, kalau haram di sisi syarak menyeru sisi mungkar macam trash death metal, itu jelas tidak boleh.

Kenapa tidak tegaskan dari awal, bila sudah kena tegur baru hendak pertimbang semula?

Pertamanya, kita sudah ada garis panduan. Contohnya, malam Jumaat, tidak boleh buat aktiviti hiburan. Itu sudah ada buat garis panduan secara umum. Cuma benda ini berlaku spontan di luar bidang kuasa kita, sebab itu kita terima aduan dan teguran. Undang-undang sivil pun sama, kalau ada teguran, kemudian ada tindakan.

Berhubung pemilihan Pas sempena Muktamar September ini. YB tawarkan diri apa-apa jawatan?

Kita dalam Pas amalkan demokrasi. Amalan yang kita lakukan adalah Mmesyuarat Agung Pas kawasan akan cadangkan pemimpin untuk parti. Itu proses kita, bukan calonkan diri kita.

Jika dicalonkan, mungkin jawatan lebih tinggi?

Itu kita tengoklah nanti. Yang penting, bagi kita berkhidmat untuk parti tidak kisah di peringkat pusat, negeri atau cawangan.

YB tidak boleh lari dikaitkan sebagai anak Presiden Pas. Ada yang melihatnya ia memberi laluan mudah (berada dalam kepemimpinan).

Sebenarnya ramai anak pimpinan Pas tetapi tidak jadi pemimpin pun. Tidak boleh kata saya ada laluan mudah kerana anak Tok Guru (Abdul Hadi), tidak semestinya begitu.

Cuma saya rasa bersyukur kerana dapat bimbingan daripada ayahanda, bukan sahaja aspek ilmu agama malah aspek perjuangan sejak dari awal. Saya ceburi diri dalam Pas ini secara rela, sepenuh masa sejak zaman Pemuda. Bagi saya, berkhidmat dalam parti tidak semestinya ada jawatan, itu prinsip saya.

Sebelum ini YB mengatakan khidmat Tok Guru sebagai Presiden Pas masih perlu. Apakah rasionalnya? Apakah kenyataan ini dibuat atas dasar seorang anak atau ahli parti?

Saya kira dalam mana-mana parti di Malaysia, Pas paling ke depan. Kita ukur pencapaian pilihan raya umum (PRU) lepas dengan jumlah kerusi dan kemenangan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri-negeri.

Jadi, secara logiknya tiada sebab ahli Pas untuk menuntut Tok Guru Presiden tidak kekalkan jawatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×